Posted on October 19, 2021
Setiap kali hendak membeli kereta recond Jepun, pengedar-pengedar pasti akan beritahu bahawa kereta tersebut telah dijaga dengan baik. Katanya sebab budaya dan tabiat orang di sana. Malah, kebanyakan pengedar kereta recond akan bagitahu kamu bahawa kereta tersebut ada ramai pembeli kerana perbatuannya rendah. Adakah ia sekadar helah ataupun orang Jepun memang jarang memandu?
Juga baca: Toyota Vellfire bakal jadi ‘rare’ dalam pasaran recond, permintaan di Jepun menurun!
Cara penggunaan di Jepun
Satu kajian yang dijalankan melaporkan bahawa kereta penumpang peribadi di Jepun dipandu sekitar 10,575 km setiap tahun. Sebagai perbandingan, tinjauan yang dibuat oleh MIROS mendapati bahawa pemilik kereta di Semenanjung Malaysia memandu sehingga 28,000 km setiap tahun. Kiranya hampir 3 kali ganda.
Tetapi pasti ada sebab kenapa rakyat Jepun tidak memandu sekerap kita.
Memandu di Jepun agak mahal
Secara purata, minyak petrol di Jepun berharga sekitar 1.37 USD/liter (RM 5.70). Kos meletak kenderaan di negara itu pula berada dalam julat 100 JPY (RM 3.80) untuk setiap 15 minit. Malah untuk kawasan bandar, harganya boleh mencecah sehingga 1,000 JPY (RM 38) setiap jam. Disebabkan inilah mereka lebih gemar menggunakan pengangkutan awam.
Lagipun, sistem pengangkutan awam di Jepun adalah antara yang terbaik di dunia. Segalanya tepat, mudah dan praktikal.
Kiranya, pengangkutan awam sahaja sudah cukup memuaskan. Bukan setakat tidak leceh, malah ia juga menjimatkan poket rakyat.
Kereta recond Jepun dijamin perbatuan yang rendah. Betul ke?
Kita sudah sedia maklum bahawa pemilik kereta di Jepun sememangnya kurang memandu berbanding negara kita. Tetapi kereta recond Jepun tidak semestinya memiliki perbatuan yang rendah.
Cara paling mudah untuk mengira standard perbatuan ialah kereta yang berusia lima tahun sepatutnya sudah berjalan sekurang-kurangnya 50,000 km. Kiranya paling kurang pun 10,000 km setiap tahun. Kalau bacaannya lebih rendah, macam tak logik pula kan?
Laporan jualan (Auction report)
Selain daripada firasat sendiri, pembeli zaman sekarang juga mempunyai kemudahan untuk periksa ketulenan perbatuan kereta tersebut melalui laporan Auction dari Jepun.
Penjual boleh memberi satu salinan kepada kamu tetapi mereka tetap boleh menipu laporan tersebut. Satu laporan Auction yang asal hanya berharga RM 50. Jadi, lebih baik kamu dapatkannya sendiri.
Laporan Auction sahaja tidak cukup. Perbatuan masih boleh ditipu
Perbatuan kereta boleh ditipu awal-awal lagi iaitu sebelum kereta tersebut masuk ke dalam Auction. Di sinilah bergunanya Japanese Registration Certificate. Setiap kereta yang hendak dieksport ke luar Jepun perlu melakukan nyahdaftar dengan Japanese Transport Authority (MLIT).
Yang menariknya, segala maklumat yang relevan akan tertera dalam dokumen nyahdaftar tersebut, termasuklah sejarah ‘shaken‘. Secara teknikal, shaken ini adalah pemeriksaan keselamatan kenderaan yang wajib dibuat setiap dua tahun. Melihat kepada Japanese Registration Certificate di atas, kamu akan perasan bahawa ada selang dua tahun di antara kedua-dua bacaan odometer. Ini memberitahu bahawa shaken dijalankan secara berkala.
Tetapi kalau selang shaken yang dibuat itu tidak sampai dua tahun, berkemungkinan terdapat cubaan dari penjual untuk padamkan rekod asal daripada tertera dalam sijil tersebut.
Jadi, abaikan sahajalah kereta yang ada Japanese Registration Certificate sebegitu. Apapun, perlu dimaklumkan bahawa Japanese Registration Certificate berharga sekitar RM 500 sekiranya anda mahu dapatkannya.
Konklusi kereta recond Jepun
Walaupun persepsi mengenai pemandu di Jepun kurang menggunakan kereta itu benar, tidak semestinya kamu tidak perlu berhati-hati. Lakukan siasatan yang lebih mendalam dan jangan termakan dengan kata-kata jurujual. Mereka buat kerja mereka, kamu buat kerja kamu.
Juga baca: Pengedar Kereta Tutup Menjelang Ogos: Sales Assistant Hilang Kerja
Tetapi kalau kamu nak tahu, pengedar yang telus dan jujur juga sebenarnya ada. Cuma, tidak salah untuk lakukan sedikit kaji selidik demi melindung diri daripada sebarang penipuan yang mana ia melibatkan pembelian kereta recond yang kamu minat.
Artikel ini ditulis oleh Faisal untuk WapCar
Apa pandangan anda?