Posted on January 6, 2026

Yogyakarta bukan sekadar destinasi budaya dan sejarah. Di tengah nadi kota yang sarat dengan seni, warisan dan jiwa tradisi ini, tersembunyi satu pengalaman gastronomi moden di Soirée, restoran elegan di Hotel Marriott Jogjakarta.


Direka sebagai ruang makan kontemporari dengan suasana santai namun eksklusif, Soirée menampilkan interpretasi masakan Barat dengan sentuhan moden. Setiap hidangan diolah dengan ketelitian, menjadikan pengalaman menjamu selera di sini lebih daripada sekadar makan — ia satu perjalanan rasa.
Baca : Meneroka Jiwa Yogyakarta di Marriott Hotel: Lokasi Strategik & Pesona Sunrise Borobudur

Pembuka Selera

Hidangan bermula dengan Bone Marrow Soup, satu sajian yang kaya dan comforting. Kuahnya pekat dengan rasa daging yang mendalam, sementara sumsum tulang yang lembut memberikan dimensi rasa yang mewah dan memuaskan. Ia menjadi pembuka selera yang tepat, menyiapkan deria untuk hidangan seterusnya. Mushroom Soup pula tampil dengan rasa cendawan dan krim yang seimbang — tidak terlalu berat, namun cukup berlapis untuk meninggalkan impresi elegan pada setiap suapan.

Pasta, Pizza & Makanan Laut Dengan Sentuhan Mewah
Antara hidangan yang paling menonjol ialah Spaghetti Lobster. Pasta yang dimasak al dente dipadankan dengan lobster segar, disaluti sos yang berkrim namun masih ringan untuk lidah, membiarkan rasa manis semula jadi makanan laut itu menjadi fokus utama.
Untuk pencinta klasik Itali, Margherita Pizza di Soirée membuktikan bahawa kesederhanaan mampu memberi kepuasan tersendiri. Doh nipis dengan tekstur yang tepat, dipadankan dengan sos tomato segar dan keju yang seimbang, menjadikan hidangan ini ringkas namun benar-benar memuaskan.
Untuk hidangan laut, Pan-Seared Barramundi dan Grilled King Prawn menyerlahkan kualiti bahan yang digunakan. Barramundi terasa segar dengan isi yang lembut dan berjus, manakala King Prawn pula padat, manis dan beraroma, mencerminkan tahap kesegaran yang tinggi. Setiap suapan memberi gambaran jelas tentang citarasa terpilih yang melambangkan eksklusiviti hotel ini.
Piihan Daging Premium Untuk Peminat Steak

Rib Eye MB 4/5 adalah pilihan ideal buat mereka yang menghargai keseimbangan antara tekstur dan rasa. Setiap potongan daging hadir dengan taburan lemak yang sekata, menghasilkan rasa yang kaya dan lembut pada setiap suapan. Dimasak tepat mengikut tahap kematangan yang diminta, rib eye ini menyerlahkan karakter daging tanpa perlu ‘overpowering’ sos atau perasa. Ia disajikan bersama asparagus panggang yang rangup dan segar, serta kentang lenyek berkrim yang halus — satu padanan klasik yang melengkapkan keseluruhan rasa daging premium ini.
Sirloin MB 9 menyerlah sebagai pilihan buat pencinta steak dengan rasa yang lebih berani dan karakter tersendiri. Teksturnya lebih padat dengan marbling yang kaya, menghasilkan profil rasa daging yang mendalam namun seimbang. Dimasak dengan ketepatan tinggi, setiap potongan mengekalkan kelembutan serta jus daging yang sempurna. Padanan asparagus panggang dan mash potato berkrim melengkapkan hidangan ini dengan sentuhan klasik, menjadikannya satu pengalaman steak yang elegan dan memuaskan.


Sarapan Pagi: Perpaduan Tradisi & Global
Pengalaman gastronomi di Hotel Marriott Jogjakarta tidak terhenti pada makan malam. Sarapan buffet di sini menjadi refleksi keunikan Jogja itu sendiri — pertembungan tradisi dan citarasa antarabangsa.
Pilihan nasi gudeg dan nasi liwet memberi penghormatan kepada warisan kulinari tempatan, lengkap dengan pelbagai jenis sambal yang membangkitkan selera. Pada masa sama, tetamu turut dimanjakan dengan aneka pastri segar, stesen sushi, pilihan klasik sarapan barat serta pilihan jamu untuk sentuhan kesihatan ala Jawa.
Baca : Pengalaman STAIL-ish Dan Mewah di Yogyakarta Marriott Hotel


Pengalaman Yang Lebih Dari Sekadar Hidangan
Secara keseluruhan, Soirée di Hotel Marriott Jogjakarta bukan sekadar tempat untuk menjamu selera — ia adalah pengalaman gastronomi lengkap yang memadukan rasa, suasana dan layanan dengan penuh sofistikasi. Dari hidangan Barat mewah pada waktu malam sehingga buffert sarapan yang menampilkan kepelbagaian citarasa tempatan dan antarabangsa – membuktikan versatiliti kulinari hotel ini, menjadikan ia sebuah destinasi sempurna untuk setiap momen istimewa atau sekadar menikmati hidangan dengan penuh gaya.
Untuk maklumat lanjut sila ke www.marriott.com





















.gif)

Apa pandangan anda?