Posted on December 29, 2021
Varian baru virus COVID-19 terus bertambah seiring dengan peningkatan jumlah mutasi pada virus tersebut. Baru-baru ini, varian baru pula membuat kemunculan sulungnya di Afrika Selatan. Menurut kajian varian Omicron lebih bahaya dan lebih pantas merebak berbanding Delta.
Ini yang kamu perlu tahu berkenaan perkembangan varian baru virus COVID-19 di seluruh dunia.
Nama varian baru virus COVID-19
Kemunculan varian baharu virus COVID-19 sebelum ini dinamakan mengikut kod-kod tertentu.
Namun, sesetengah pihak merujuk sesuatu varian baru ini berdasarkan kepada nama kawasan di mana virus tersebut pertama kali muncul.
Sebagai contoh, varian B.1.1.7 telah disebut sebagai varian UK memandangkan ia pertama kali dikesan di United Kingdom pada September 2020.
Namun, panggilan sesuatu varian yang merujuk kepada sesuatu kawasan ini boleh menggalakkan sentimen rasis atau prejudis terhadap penduduk yang berasal dari kawasan tersebut.
Menurut Ed Feil, profesor dalam bidang evolusi mikrob di University of Bath, keadaan ini berpotensi membuatkan negara-negara di seluruh dunia tidak berminat untuk berkongsi data penemuan varian baharu kerana bimbangkan sentimen prejudis yang boleh memburukkan nama negara mereka.
Menurut Ed Feil lagi, tiada jaminan bahawa kaitan varian baru dengan nama kawasan ini benar-benar tepat.
Ini kerana, varian virus COVID-19 dapat menyebar dengan mudah sebelum ia mula dikesan di kawasan tersebut.
Oleh itu, pemberian nama varian virus COVID-19 berdasarkan kawasan ia pertama kali dikesan telah dihentikan.
Ia kini telah diberikan dengan nama baharu bagi menghentikan sebarang stigma atau prejudis yang dikaitkan dengan nama sesuatu negara atau kawasan.
Setiap varian COVID-19 juga telah dimasukkan kepada tiga kategori iaitu sama ada kategori variant of interest (VOI), variant of concern (VOC) dan juga alerts for further monitoring.
Varian baru COVID-19 dalam kategori VOI
Variant of interest (VOI) adalah kategori varian yang memiliki salah satu daripada ciri-ciri di bawah ini:
- Perubahan genetiknya dianggarkan boleh mempengaruhi sifatnya untuk mudah menular dan memburukkan keadaan penyakit
- Terdapat bukti bahawa varian ini telah menyebabkan penularan COVID-19 dalam beberapa kluster jangkitan yang dikesan di beberapa negara
Varian yang termasuk dalam kategori ini memerlukan satu atau lebih analisis lanjutan termasuklah mengenal pasti urutan kod genetiknya dan menilai kadar kebolehjangkitannya.
Berikut ialah beberapa varian virus COVID-19 yang termasuk dalam kategori VOI:
- Eta atau B.1.525. Ia dikesan buat pertama kalinya di beberapa negara seperti United Kingdom dan Nigeria pada Disember 2020.
- Theta atau P.3. Ia dikesan pertama kalinya di Filipina pada Januari 2021.
- Iota atau B.1.526. Ia dikesan buat pertama kali di Amerika Syarikat pada November 2020.
- Kappa atau B.1.617. Ia dikesan pertama kalinya di India pada Oktober 2020.
- Lambda atau C.37. Dikesan buat pertama kali di Peru pada Disember 2020.
- Mu atau B.1.621. Dikesan pertama kali di Colombia pada Januari 2021.
Varian baru COVID-19 dalam kategori VOC
Variant of concern (VOC) pula kategori varian yang perlu diberikan langkah berjaga-jaga yang lebih ketat.
Varian ini varian yang sebelumnya telah memenuhi ciri-ciri VOI dan telah terbukti mempunyai ciri yang berpengaruh terhadap salah satu daripada keadaan di bawah ini:
- Ia lebih mudah menular
- Mempunyai perubahan yang boleh mempengaruhi tahap keterukan sesuatu penyakit
- Menyebabkan penurunan keberkesanan langkah pencegahan jangkitan sedia ada termasuklah vaksinasi, terapi dan diagnosis
VOC memerlukan satu atau lebih tindakan yang aktif untuk mencegahnya.
Salah satunya adalah melalui pemberitahuan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan penguasa kesihatan tempatan atau wilayah untuk mengekang penyebaran.
Selain itu, makluman ini berperanan untuk meningkatkan kajian keberkesanan vaksin sedia ada terhadap varian ini.
Berikut ialah beberapa varian virus COVID-19 yang termasuk dalam kategori VOC:
- Alpha atau B.1.1.7. Ia pertama kali dikesan di United Kingdom pada September 2020.
- Beta atau B.1.31. Ia dikesan buat pertama kalinya di Afrika Selatan pada Mei 2020.
- Gamma atau P.1. Ia telah dikesan pertama kali di Brazil pada November 2020.
- Delta atau B.1.617.2. Ia buat pertama kali telah dikesan di India pada Oktober 2020.
- Varian Omicron atau B.1.1.529. Varian Omicron ini buat pertama kalinya dikesan di Afrika Selatan pada November 2021.
Varian baharu COVID-19 dalam kategori alerts for further monitoring
Jenis varian yang termasuk dalam kategori ini adalah varian dengan petunjuk yang memicu risiko pada bila-bila masa sahaja.
Namun, ia belum mempunyai bukti yang jelas berkenaan kesan penularan dan pengawalan varian tersebut.
Oleh sebab itu, varian yang termasuk dalam kategori ini memerlukan pemantauan dan penilaian berulang sehingga bukti baru mengenainya dijumpai.
Varian baru yang termasuk dalam ketegori ini ialah C.1.2 yang dikesan buat pertama kalinya di Afrika Selatan pada bulan Mei 2021.
Buat masa ini, varian C.1.2 tidaklah begitu membimbangkan dan masyarakat disarankan untuk tidak panik.
Apakah Omicron lebih bahaya?
Kemunculan varian baharu seperti varian Omicron baru-baru ini telah mengingatkan kita untuk terus menjaga SOP seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal. Sama ada Omicron lebih bahaya atau tidak, kita perlu tunggu perkembangannya.
Ini kerana, varian-varian baharu seperti ini belum lagi diketahui dengan jelas berkenaan kesannya apabila telah dijangkiti.
Boleh jadi ia kurang atau lebih berbahaya berbanding varian sebelumnya.
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Wa’iz untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?