Loan kereta 9 tahun akan mengakibatkan harga kereta tak lepas nilai pasaran.
Memang tak dinafikan, ramai yang bergelut dengan kesan pandemik COVID-19. Ada yang hilang pekerjaan dan sudah tak mampu membayar komitmen bulanan, termasuklah pinjaman kenderaan. Keadaan sekarang terlalu mendesak, ramai juga yang berhasrat ingin meringankan beban dan menjual semula kereta yang dimiliki.
Begitulah yang dilihat oleh pengusaha perniagaan kenderaan terpakai seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star baru-baru ini. Pengusaha di Johor Bahru menglihat peningkatan dalam pertanyaan penjualan kereta dari pemilik sehingga 30% sejak bulan September lalu setelah moratorium pinjaman berakhir.
Segelintir daripada pemilik juga berhasrat untuk ‘trade in’ kereta mereka dengan yang lebih murah. Ada juga yang mahu menjual semula kereta yang dimiliki baru saja kurang dari dua tahun.
Tapi, dalam ramai-ramai pemilik yang berhasrat untuk menjual kereta mereka, hampir separuh daripada mereka membatalkan niat kerana nilai kereta mereka lebih rendah daripada kos bayaran balik penuh kepada bank. Contohnya, hutang pinjaman dengan bank masih lagi berbaki RM 70,000 dan nilai pasaran kereta mereka sudah turun ke RM 60,000.
Selain daripada terpaksa berbelanja lebih untuk menjual kereta mereka yang belum habis dibayar, mereka yang mahu membayar pinjaman penuh secara ‘lump sum’ lebih awal daripada tempoh pinjaman perlu tahu tentang “Rule of 78” yang dikenakan oleh bank seperti yang pernah kami bincangkan dalam artikel ini.
Presiden Persatuan Sewa-Beli Motor dan Syarikat Kewangan Johor, Lum Chen Fook juga memberitahu akhbar itu yang industri pelancongan tidak menjangkakan yang industri itu akan pulih dalam masa terdekat. Oleh itu, van yang dahulunya digunakan untuk membawa pelancong semakin banyak terlepas ke pasaran kenderaan terpakai.
Jika dirujuk pada artikel kami baru-baru ini, permintaan bagi van dan pacuan empat roda (4×4) dikatakan semakin meningkat di Lembah Klang kerana semakin ramai yang mahu memulakan perniagaan seperti servis penghantaran barang, jualan bazar, dan sebagainya.
Merujuk kepada fenomena dalam pasaran kereta terpakai lebih-lebih lagi dalam konteks ini, kami seringkali nasihatkan pembeli kereta untuk mengurangkan tempoh pinjaman mereka semasa membuat pinjaman dari bank.
Usahakanlah dan rancang untuk mengehadkan tempoh pinjaman kereta kamu kepada 5 atau 7 tahun dan bukannya 9 tahun kerana nilai kenderaan selalunya tidak dapat bertahan, ditambah pula dengan kadar cengkeram/bunga yang lebih tinggi jika tempoh pinjaman lebih lama.
Seperti yang kami ceritakan dalam artikel tentang “Rule of 78” tersebut; jika kamu terpaksa membuat loan kereta 9 tahun kerana pendapatan sudah diregangkan cukup-cukup untuk tempoh hampir sedekad ini, kamu sebenarnya tak mampu beli kereta tersebut. Fikir-fikirkanlah.
Nak jual kereta secara ‘sambung bayar’? Jangan, kami dah beri amaran tentang risikonya yang juga sebenarnya salah disisi undang-undang.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?