Posted on December 17, 2020
Perodua Alza salah satu kereta baru tertua di Malaysia yang anda boleh beli, tetapi ia masih lagi menjadi salah satu MPV kegemaran rakyat Malaysia. Pasaran MPV kini kian menurun kerana ramai keluarga Malaysia inginkan sebuah SUV.
MPV ini baru saja mencapai umur 11 tahun (dilancarkan pada 23 November 2009), walaupun saudara Jepunnya iaitu Toyota Passo Sette dan Daihatsu Boon Luminas adalah produk yang tidak mendapat sambutan di negaranya. Kedua produk ini dijual selama 4 tahun sahaja, dari 2008 sehingga 2012.
Jadi apakah resipi rahsia yang membuatkan Perodua Alza satu kejayaan besar, berbanding saudaranya dari Jepun? Dalam rencana kami kali ini, kita akan melihat sejarah saudara JDM Alza dan sebab kenapa ia produk yang mendapat jualan hambar.
Mengikut trend masa itu
Sebenarnya, Passo Sette/Boon Luminas mempunyai resipi yang cukup lengkap untuk menjadi produk yang berjaya di Jepun kerana segmen MPV kompak amat popular pada masa itu. Passo Sette adalah kembar OEM Boon Luminas, di mana Daihatsu menerajui pembangunan MPV kompak pertamanya.
Seperti namanya, kedua MPV berkongsi platform dengan Toyota Passo/Daihatsu Boon/Perodua Myvi generasi pertama dan kedua (casis dipanjangkan). Nama ‘Sette’ bermaksud tujuh dalam bahasa Itali sementara Luminas mungkin berasal dari kata ‘luminous’ (bercahaya).
Kedua Passo Sette dan Boon Luminas dilengkapi dengan enjin 1.5 liter 3SZ-VE 4 silinder petrol dipadankan dengan transmisi 4 kelajuan automatik. Ia juga dijual dengan opsyen pacuan roda depan atau semua roda. Jadi apa masalahnya?
Sebab #1: Tiada pintu gelangsar
Penggunaan pintu gelangsar adalah fungsi paling penting bagi pasaran MPV di Jepun. Tak kisahlah operasinya manual atau automatik, janji pintunya gelangsar kalau nak berjaya di Jepun.
Lihatlah model MPV kompak lain yang popular pada masa itu seperti Honda Freed dan Toyota Sienta. Keduanya menggunakan pintu gelangsar.
MPV digunakan untuk mengangkut keluarga dan disebabkan Jepun mempunyai populasi yang kian tua, maka banyak MPV digunakan untuk membawa orang tua. Oleh sebab itu pintu gelangsar lebih mesra pengguna. Malangnya Passo Sette/Boon Luminas tidak ada ciri ini, terus mengugat jualannya.
Namun jika kamu tetap membelinya, Passo Sette/Boon Luminas dilengkapi dengan akses bukaan pintu yang jauh lebih luas berbanding pintu kereta biasa (sehingga 70-darjah) bagi menyenangkan akses ke barisan ketiga.
Sebab #2: Kempen pemasaran yang teruk
Menariknya, Daihatsu dan Toyota mempunyai cara pemasaran yang sangat berbeza walaupun model kereta serupa. Pendekatan pemasaran Daihatsu untuk Boon Luminas sangat menyeronokkan dan pelik dengan menampilkan haiwan yang bercakap. Memang tipikal cara iklan Jepun.
Tetapi, cara Toyota menyebabkan jualan yang teruk. Bila Toyota memikirkan demografi untuk Passo Sette, pasukan pemasaran mereka membuat keputusan untuk mensasarkan jualan MPV ini kepada wanita di dalam lingkungan usia 30 dan 40-an.
Memang tak salah cara, cuma masalahnya wanita yang digambarkan dalam iklan itu kaya dan mempunyai gaya hidup yang tidak realistik. Walaupun menggunakan model popular, iklan itu dikritik hebat dan menjadi salah satu iklan kereta paling teruk di Jepun.
Sampah di negara sendiri, emas di negara orang?
Setahun selepas Passo Sette/Boon Luminas dilancarkan di Jepun, Perodua melancarkan Alza di Malaysia. Kamu semua tahulah apa jadi selepas itu.
Rakyat Malaysia tak kisah yang Alza datang dengan pintu konvensional kerana ia membuatkan harga Alza berpatutan. Interiornya pula memang Jepun habis, memikat hati rakyat Malaysia.
Dari sudut pandangan pembeli Jepun, Passo Sette/Boon Luminas bukan MPV yang berbaloi untuk dibeli dek kerana pesaing lain menawarkan opsyen yang lebih baik atau memang disebabkan kempen pemasaran yang gagal.
Namun, dari perspektif pembeli Malaysia, Alza menawarkan nilai yang baik. Walaupun ia sudah menunggu lama untuk digantikan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?