Apakah petanda badan kurang protein? Dan apakah kesannya kepada tubuh kita? Dari mana sumber protein terbaik patut kita perolehi?
Protein sememangnya sangat penting untuk tubuh manusia. Ia bantu membina dan memperbaiki tisu, menyokong sistem imun, menyeimbangkan cecair badan, dan membantu mengangkut oksigen ke seluruh badan.
Adakah kamu mengambil protein yang secukupnya setiap hari? Jika tidak pasti, apakah petanda badan kurang protein?
Secara ringkasnya protein salah satu daripada tiga kelas makanan utama.
Protein terdiri daripada rantaian panjang asid amino iaitu ‘blok bangunan’ sel.
Sel memerlukan protein untuk berkembang dan memperbaiki diri.
Badan kita mengeluarkan 11 asid amino dan 9 jenis asid amino penting yang lain, harus diambil melalui pemakanan.
Protein boleh didapati dalam pelbagai jenis makanan, antaranya seperti daging, ikan, ayam, telur, kekacang dan produk tenusu.
Di samping itu, keperluan harian protein yang disyorkan ialah 7 gram untuk setiap 20 paun berat badan, menurut National Academy of Medicine.
Kenal pasti petanda badan kurang protein
#1 Sering berasa keletihan dan lemau
Penyelidikan menunjukkan, jika kamu tidak memperolehi sumber protein secukupnya hanya dalam masa seminggu, otot yang bertanggungjawab untuk postur dan pergerakan boleh terjejas terutamanya jika berumur 55 tahun ke atas.
Dari masa ke masa, kekurangan protein akan membuat kamu kehilangan jisim otot, mengurangkan daya kekuatan, keseimbangan badan yang lebih sukar dikekalkan dan memperlahankan tahap metabolisme.
Hal ini juga berisiko menyebabkan anemia, apabila sel kamu tidak mendapat oksigen mencukupi lantas kalian akan lebih mudah berasa penat.
#2 Kelaparan
Simptom ini mungkin antara tanda yang paling ketara. Protein membantu membuatkan kamu kenyang.
Ia adalah salah satu punca kalori, selain daripada karbohidrat dan lemak.
Kajian menunjukkan, mengambil makanan yang mengandungi protein akan membantu kamu berasa lebih kenyang sepanjang hari.
#3 Perubahan emosi
Otak menggunakan bahan kimia, dikenali sebagai neurotransmiter yang berfungsi untuk menyampaikan maklumat antara sel.
Kebanyakan neurotransmiter terhasil daripada asid amino, yang juga blok bangunan protein.
Jadi, kekurangan protein dalam pengambilan diet pemakanan menjejaskan badan menghasilkan neurotransmiter dengan mencukupi dan ia sekali gus akan menjejaskan cara otak berfungsi.
Contohnya, tahap dopamin dan serotonin yang rendah, boleh menyebabkan kamu berasa tertekan atau menjadi terlalu agresif.
Petanda badan kurang protein #4 Menjadi kurang berotot
Sekiranya kamu kerap melakukan senaman resistance (yang diketahui mendorong pertumbuhan otot) tetapi mendapati hasil yang tidak memberangsangkan, ada kemungkinan kamu kurang protein.
Sememangnya, protein penting untuk membina dan memelihara otot, menurut Alicia Galvin, ahli diet pemakanan Sovereign Laboratories.
Pandangan Galvin disokong oleh banyak kajian yang menunjukkan diet protein yang lebih tinggi dikaitkan dengan jisim otot yang lebih besar, manakala yang rendah protein dikaitkan dengan kehilangan otot.
#5 Badan semakin berlemak, terutamanya bahagian perut
Menurut pakar diet dan jurulatih kesihatan Cassie Christopher, turun naik kadar gula darah dikaitkan dengan kenaikan berat badan dan kesukaran dalam menurunkan berat.
Tambahan itu, makan protein dengan cukup adalah penting untuk menstabilkan kadar gula darah.
Beberapa kajian menunjukkan pengambilan protein yang lebih tinggi meningkatkan tahap hormon yang menahan rasa lapar sambil mengurangkan hormon yang menyebabkan rasa lapar, dan penekanan selera makan dikaitkan dengan peningkatan berat badan.
Akhirnya, badan kamu akan menghabiskan lebih banyak kalori untuk mencerna protein berbanding nutrien makro lain seperti karbohidrat.
Kesan ‘termik’ itu berlanjutan setelah kamu mencerna makanan protein tinggi tertentu.
Menurut kajian The Journal of the American College of Nutrition, menunjukkan pengambilan protein yang tinggi meningkatkan metabolisme, termasuk jumlah kalori yang dibakar setiap hari secara keseluruhan.
#6 Rambut dan kuku rapuh tanda kurang protein
Protein adalah elemen penting bagi rambut dan kuku, maka kekurangan protein boleh menyebabkan kuku dan rambut menjadi lebih rapuh dan pecah dari masa ke masa.
Setelah beberapa bulan tidak memdapat protein yang cukup, kamu juga berisiko mengalami keguguran rambut, menurut American Academy of Dermatology.
Ini kerana tubuh telah menghentikan pertumbuhan rambut bagi mengekalkan simpanan proteinnya.
Petanda badan kurang protein #7 Sukar tidur
Tidak mendapat tidur yang mencukupi dan insomnia juga kadangkala mempunyai kaitan dengan paras gula dalam darah yang tidak seimbang, kenaikan kortisol dan kemerosotan dalam penghasilan serotonin.
Perubahan gula dalam darah pada siang hari berlanjutan sehingga pada waktu malam.
Tambah lagi, karbohidrat memerlukan insulin yang mencukupi berbanding lemak dan protein.
Oleh itu, dengan makan makanan berprotein sebelum tidur dapat membantu pengeluaran trytophan dan serotonin. Ia sekali gus memberikan kesan minimum pada paras glukosa.
Di samping itu, protein juga melambatkan penyerapan gula semasa makan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?