Posted on April 8, 2021
Proton Perdana lebih sinonim sebagai sebuah model mercu untuk Proton. Semenjak pelancaran generasi pertama, Proton Perdana Accordana diposisikan sebagai sebuah model eksekutif bagi penyokong jenama tempatan yang bercitarasa premium.
Sebagai sebuah model mercu jenama automotif tempatan, Proton Perdana Accordana dilengkapi dengan ciri-ciri terbaik pada harga yang lebih menarik. Ia juga digunakan sebagai kenderaan rasmi sesetengah jabatan awam sebelum ditukarkan kepada model Proton X70.
Oleh sebab penukaran tersebut, Proton Perdana kini boleh didapati secara terpakai pada harga yang sangat rendah. Malah, iklan-iklan Proton juga sudah tidak menampilkan Proton Perdana, hanya model PIES sahaja. Oleh itu, adakah berbaloi untuk membeli Proton Perdana Accordana ini secara terpakai?
Latarbelakang Proton Perdana
Melangkah terus kepada subjek artikel, Proton Perdana Accordana (generasi kedua) ini dilancarkan secara rasmi pada 2013 untuk kegunaan kerajaan. Seperti yang diketahui ramai, Proton Perdana ini dibangunkan berasaskan model Honda Accord generasi ke 8.
Pada 2016, Proton Perdana menerima kemaskini facelift dengan tawaran enjin 2.0 liter dan 2.4 liter. Hal ini bermakna, Proton Perdana menjadi model pertama Proton yang dilengkapi dengan enjin 2.4 liter, kapasiti enjin paling besar untuk Proton (ketika artikel ini ditulis).
Model ini menjadi model Proton Perdana untuk pasaran orang awam.
Model ini juga tidak menggunakan transmisi punch CVT seperti model Proton yang lain, mengekalkan transmisi 5 kelajuan automatik daripada Honda. Malah, kebanyakan komponen Proton Perdana juga diambil ‘bulat-bulat’ daripada Honda Accord kerana Honda tidak membenarkan sebarang perubahan ketara dalam model rebadge mereka.
Hal ini termasuklah tiada talaan Proton Ride & Handling yang menjadi sebutan peminat Proton. Proton juga mendakwa Proton Perdana adalah 50 kg lebih berat berbanding Honda Accord G8 dan juga lebih panjang (4,950 mm Honda Accord vs 4,999 mm Proton Perdana 2.0L vs 5,020 mm Proton Perdana 2.4L).
Masalah Proton Perdana generasi kedua
Tidak mengejutkan, Proton Perdana berasaskan Honda Accord generasi ke 8 kurang bermasalah kerana diasaskan oleh model dan trenkuasa yang sudah terbukti. Dengan jumlah pengeluaran yang rendah, tinjauan kami mendapati tidak banyak masalah major pada model ini.
Antara masalah yang dikongsikan oleh pemilik adalah masalah stereng kuasa hidraulik. Simptom masalah ini adalah pusingan stereng terasa sedikit keras.
Antara punca masalahnya adalah kebocoran minyak stereng kuasa yang memerlukan penyelenggaraan yang rapi. Kos penukaran bagi masalah ini adalah sekitar RM 500 ke atas.
Selain daripada itu, terdapat juga masalah elektronik kecil seperti sensor yang tidak berfungsi. Mungkin berpunca daripada kualiti pemasangan tempatan yang faham-faham sahajalah.
Bergantung kepada alat ganti, ia mungkin boleh diselesaikan dengan kos serendah RM 150 dan ke atas.
Hanya catalytic converter sahaja yang dikatakan berlaku pada Proton Perdana dengan jarak melebihi 250,000 km perbatuan. Kos baikpulih masalah ini serendah RM 300 untuk menggantikannya.
Semak juga status masalah beg udara yang pernah meliputi beberapa model Proton Perdana generasi kedua ini. Proton pernah memanggil balik produk ini untuk menukar beg udara tersebut.
Tinjauan pasaran terpakai
Proton Perdana generasi kedua ini boleh didapati pada harga serendar RM 60k dalam pasaran varian enjin 2.0 liter. Harga baharu kereta ini bermula daripada RM 113k.
Model | Harga Baharu | Harga Terpakai | Kadar Penurunan |
Proton Perdana 2.0 (2016) | RM 103,930 | RM 55,000 | 7.85% setahun |
Proton Perdana 2.4 (2016) | RM 126,850 | RM 65,800 | 8% setahun |
Harga pasaran terpakai ini nampak sangat memihak kepada pembeli. Walaubagaimanapun, sedikit tips yang boleh dikongsikan adalah periksa model di kedai kereta terpakai dengan sangat teliti dan buat perkiraan sebaiknya.
Status ‘bekas kenderaan rasmi kerajaan’ bukan suatu jaminan bahawa Proton Perdana tersebut kurang digunakan, malah, mungkin sebaliknya berlaku.
Kesimpulan
Ruang adalah kemewahan dan sedan segmen D dari Proton ini mampu memberikan anda ruang yang sangat luas. Selain itu, Proton Perdana ini juga mempunyai ketahanan yang sangat baik kerana diasaskan oleh jenama Honda yang terbukti handal.
Apa pandangan anda?