Pernahkah kamu terfikir dan tertanya kenapa manusia perlu tidur? Sekiranya ia tidak cukup, apa kesannya terhadap tubuh badan kita semua? Jom teruskan membaca perkongsian kepentingan cukup tidur!
Tidur adalah suatu proses istirahat semula jadi bagi semua jenis kehidupan di bumi dan ia sangat penting untuk kesihatan tubuh badan.
Ketika tidur, tubuh badan kita semua akan dapat rehat yang sangat diperlukan setelah bekerja sekian waktu – sama konsepnya seperti sebuah mesin di kilang.
Tempoh manusia perlu tidur pula berbeza-beza bergantung kepada usia, jantina dan keadaan kesihatan tubuh badan individu itu sendiri, jadi tiada angka yang tetap.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), tempoh manusia perlu tidur berdasarkan:
Bayi: Memerlukan tidur 14 – 17 jam sehari
Budak: Memerlukan tidur 12 – 16 jam sehari
Kanak-kanak: Memerlukan tidur 11 – 14 jam sehari
Kanak-kanak prasekolah: Memerlukan tidur 10 – 13 jam sehari
Kanak-kanak bersekolah: Memerlukan tidur 9 – 12 jam sehari
Remaja: Memerlukan tidur 8 – 10 jam sehari
Dewasa: Memerlukan tidur 7 – 9 jam sehari
Sekiranya manusia tidak dapat tidur yang cukup pula, mungkin ada bahaya yang bakal tiba!
Ada kajian menemui bahawa wanita cenderung untuk tidur lebih lama berbanding golongan lelaki, meskipun sebabnya masih belum dapat dipastikan.
Kepentingan tidur yang cukup, jika tidak ini bahayanya!
Sehingga kini, masih lagi tiada angka yang dapat ditetapkan untuk menyatakan berapa lama manusia mungkin boleh bertahan tidak tidur.
Pun begitu, waktu yang paling lama pernah direkodkan adalah selama 264 jam atau sekitar 11 hari meskipun ia tidaklah harus menjadi panduan buat kita semua.
Ini kerana wujud bahaya yang bakal tiba pada diri jika tidak tidur, berikut adalah ulasannya:
Jika tidak tidur 24 jam
Tidak tidur untuk tempoh satu hari bukanlah satu perkara yang biasa meskipun ia disebabkan oleh faktor seperti bekerja, belajar atau menjaga anak yang sedang sakit.
Menurut kajian, mereka yang terlepas untuk tidur selama 24 jam boleh disamakan dengan mereka yang mabuk dengan konsentrasi alkohol dalam darah 0.10%.
Selain itu, wujud juga beberapa kesan sampingan lain jika tidak tidur 1 hari termasuklah:
- Mengantuk dengan teruk
- Lemah memori
- Cepat marah
- Sukar menilai perbuatan
- Sukar membuat keputusan
- Masalah pendengaran dan penglihatan
- Tekanan pada otot bertambah
- Koordinasi tangan-mata berkurang
- Risiko berlaku kemalangan adalah tinggi
Tak tidur 36 jam
Ia hanya akan menyebabkan tubuh badan lebih penat dan tegang lantas menjejaskan kesihatan. Inilah kepentingan cukup tidur buat manusia.
Sekiranya kamu tidak tidur selama lebih 36 jam, kitaran tidur-jaga akan terganggu lantas beberapa jenis hormon seperti kortisol dan insulin juga akan terjejas.
Kesannya, ia mungkin akan membuat tubuh badan anda mengalami simptom-simptom ini:
- Ketidakstabilan hormon
- Kepenatan kronik
- Kehilangan motivasi
- Kehilangan konsentrasi
- Sukar untuk berfikir
- Sukar untuk bercakap
- Keralatan pada sistem dan fungsi tubuh badan
Jika tidak tidur 48 jam
Selepas hampir 2 hari tidak tidur, kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk berjaga dan mungkin mengalami tidur mikro yang berlaku dengan sekejap.
Ketika ini, otak kamu akan berada dalam situasi sedang tidur namun tubuh badan kamu masih jaga lantas menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan yang teruk.
Dalam pada itu, sistem imun tubuh badan juga akan mengalami keralatan dan kerosakan lantas meningkatkan risiko pelbagai jenis jangkitan atau penyakit.
Jika dibiarkan, sel-sel natural killer (NK) yang sangat penting untuk sistem imun akan jadi lemah sekali gus mendatangkan bahaya pada tubuh badan manusia.
72 jam
Kebanyakan manusia yang tidak tidur hampir 72 jam akan mengalami situasi di mana keinginan untuk tidur menjadi amat tinggi dengan rasa teramat mengantuk.
Pelbagai fungsi otak sudah berada pada tahap sangat rendah seperti memori, konsentrasi dan lain-lain lantas menyebabkan manusia menjadi seakan tidak normal.
Bukan itu sahaja, emosi juga akan terganggu sekali gus menyebabkan ketidakstabilan mood, stres, kemurungan, kegelisahan atau paranoia yang teruk.
Paling menakutkan, kamu juga mungkin akan mengalami halusinasi di mana wujudnya ilusi yang tidak benar seperti penampakan hal-hal yang bersifat ghaib.
Jangan terbiasa dengan tabiat tidak tidur!
Kamu sudah tahu akan kepentingan cukup tidur, kan? Jadi, adakah kamu ingin terus membiarkan diri tidak mendapat cukup rehat?
Mungkin ada individu yang sudah terbiasa tidak tidur lantas menjadi tabiat yang sangat tidak sihat akibat pelbagai faktor termasuklah kondisi seperti insomnia.
Angka 264 jam atau 11 hari yang telah dinyatakan di atas tadi hanya rekod paling tinggi di mana manusia mampu bertahan dengan tidak tidur.
Pun begitu, ia tidak harus dijadikan sebagai panduan kerana tubuh badan kamu mungkin tidak mampu untuk bertahan selama itu sebelum datang bahaya atau maut.
Oleh itu, sila segera berjumpa doktor jika kamu gagal untuk tidur meskipun baru sahaja 1 hari ya?
Artikel ini ditulis oleh Ahmad Farid untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?