Posted on November 20, 2026

Bila bercakap tentang percutian musim sejuk, Jepun dan Korea Selatan mungkin antara destinasi pertama yang terlintas di fikiran. Namun, China juga mempunyai sebuah destinasi yang cukup istimewa untuk diterokai, iaitu Yunnan. Terletak di barat daya China, wilayah ini menawarkan gabungan landskap pergunungan bersalji, perkampungan tradisional dan warisan budaya yang masih terpelihara. Kali ini, pengembaraan kami membawa kami ke Lijiang, sebuah bandar bersejarah yang cukup mempesona dengan keunikan seni bina, budaya masyarakat tempatan serta keindahan alam semula jadinya. Lebih daripada sekadar menikmati cuaca dingin, perjalanan ini membuka peluang untuk mengenali satu lagi sisi menarik China yang mungkin belum pernah kamu pertimbangkan sebagai destinasi percutian musim sejuk.

Perjalanan dari Kuala Lumpur dimulakan dengan penerbangan AirAsia AK101 menuju ke Kunming, ibu kota Yunnan, yang mengambil masa sekitar empat jam. Sepanjang penerbangan, antara hidangan yang wajib dicuba pastinya Uncle Chin’s Chicken Rice daripada Santan. Sajian nasi ayam ini cukup mengenyangkan dan menjadi pilihan tepat untuk mengisi perut sebelum memulakan pengembaraan.

Setibanya di Kunming, perjalanan kami diteruskan ke Lijiang dengan menaiki kereta api berkelajuan tinggi dari Kunming Railway Station. Perjalanan mengambil masa kira-kira 3 jam 29 minit, namun tidak terasa terlalu panjang apabila dapat menikmati pemandangan landskap Yunnan yang silih berganti sepanjang perjalanan.

Selain lebih selesa, perjalanan menggunakan kereta api juga menjadi pilihan praktikal untuk ke Lijiang tanpa perlu menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya. Sebaik tiba di Lijiang Railway Station, kami mengambil DIDI untuk menuju ke hotel. Pilihan teksi juga tersedia di sekitar stesen, jadi tidak sukar untuk mendapatkan pengangkutan ke destinasi seterusnya.
Berikut Kami Konsikan Lokasi Wajib Lawati di Lijiang
Merokai Perkampungan Tradisional Baisha Old Town
Tidak lengkap rasanya berkunjung ke Lijiang tanpa menerokai perkampungan tradisionalnya. Baisha Old Town menjadi persinggahan pertama kami untuk mengenali lebih dekat kehidupan masyarakat tempatan, khususnya etnik Naxi yang cukup sinonim dengan sejarah dan kebudayaan wilayah ini.

Suasana di Baisha Old Town terasa lebih tenang dan sederhana, dengan deretan bangunan tradisional, lorong-lorong kecil serta kedai tempatan yang masih mengekalkan identiti asalnya. Tidak terlalu sibuk dengan deretan premis komersial seperti yang boleh ditemui di Dayan Old Town, Baisha memberikan pengalaman berbeza untuk menikmati sisi lebih tradisional Lijiang.
Menariknya, Baisha bukan sekadar sebuah perkampungan lama biasa. Ia pernah menjadi pusat politik, ekonomi dan kebudayaan masyarakat Naxi sebelum perkembangan Dayan Old Town. Malah, kawasan ini merupakan antara tiga penempatan bersejarah yang membentuk Tapak Warisan Dunia UNESCO Old Town of Lijiang, bersama Dayan dan Shuhe.
Keunikan seni bina tradisional, warisan budaya serta pengaruh pelbagai etnik yang masih dapat dilihat sehingga hari ini menjadikan Baisha cukup istimewa. Bagi yang gemarkan barangan unik, inilah antara lokasi menarik untuk mencari cenderamata, produk kraftangan tempatan dan aksesori termasuk barangan jed (jade). Jika kamu sedang mencari buah tangan dari Lijiang, bolehlah luangkan sedikit masa untuk melihat-lihat koleksi yang ditawarkan di sepanjang deretan kedainya.

Di Baisha, kami sempat singgah di Muslim Waiyiren Niupaigo Hot Pot Restaurant untuk menikmati hidangan panas yang sesuai dengan cuaca dingin di Lijiang. Agak mencabar untuk memilih makanan kerana kebanyakan menu ditulis dalam bahasa Cina. Mujur pemilik restoran sudi membantu mencadangkan beberapa hidangan. Kami akhirnya memilih daging hiris untuk hot pot bersama sup tulang daging.
Daging yang dimasak panas-panas di dalam sup terasa begitu menyelerakan, lebih-lebih lagi selepas perjalanan dari Kunming. Untuk enam orang, jumlah yang dibayar sekitar RM200 sahaja. Bukan sahaja mengenyangkan, malah harganya juga cukup berbaloi.

Selesai makan, kami berjalan-jalan di sekitar Baisha sebelum singgah di Princess Naxi Yak Fresh Milk Tea untuk mencuba minuman berasaskan susu yak yang cukup sinonim dengan kawasan pergunungan ini. Rasanya agak unik dengan sedikit rasa hanyir yang mungkin tidak menepati selera semua orang. Walaupun bukan minuman yang akan kami pesan sekali lagi, pengalaman mencubanya tetap menarik sebagai sebahagian daripada penerokaan cita rasa tempatan Lijiang.
Wajib Ke National Park Lijiang
Jika ada satu destinasi yang wajib dimasukkan dalam senarai perjalanan ke Lijiang, pastinya Jade Dragon Snow Mountain National Park. Terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Lijiang, kawasan pergunungan ini merupakan antara tarikan paling ikonik di Yunnan. Ia menampilkan rangkaian 13 puncak gunung yang membentang dari utara ke selatan, dengan puncak tertingginya, Shanzidou, mencapai ketinggian sekitar 5,596 meter dari aras laut.

Keindahan pergunungan ini menjadi tarikan utama pengunjung dari seluruh dunia. Namun, apa yang menarik, taman negara ini turut menempatkan beberapa lokasi dan pengalaman yang berbeza untuk diterokai. Antaranya termasuk Jade Dragon Snow Mountain, Gan Haizi, Spruce Meadow, Blue Moon Valley serta persembahan kebudayaan terkenal, Impression Lijiang. Setiap tarikan menawarkan pengalaman tersendiri, menjadikan kunjungan ke sini cukup lengkap untuk mereka yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi dan warisan budaya Yunnan.
Jade Dragon Snow Mountain
Antara tarikan utama di taman negara ini pastinya Jade Dragon Snow Mountain. Untuk menikmati pemandangan pergunungan dari altitud tinggi, pengunjung boleh menaiki Big Cableway menuju ke Glacier Park yang terletak sekitar 4,506 meter dari aras laut. Sepanjang perjalanan menggunakan kereta kabel, landskap pergunungan yang semakin jelas kelihatan pasti membuatkan kamu tidak sabar untuk tiba di puncak.

Sebaik tiba di stesen atas, pengunjung boleh meneruskan perjalanan melalui laluan bertangga ke kawasan pemandangan yang mencapai sekitar 4,680 meter dari aras laut. Pada ketinggian ini, pergerakan mungkin terasa lebih mencabar kerana kandungan oksigen yang semakin rendah. Tangki oksigen turut disediakan untuk membantu pengunjung yang mengalami ketidakselesaan akibat altitud. Pastikan juga memakai kasut yang selesa dan mempunyai cengkaman baik, selain bergerak mengikut kemampuan sendiri tanpa terburu-buru.
Segala usaha untuk sampai ke kawasan pemandangan ini pastinya berbaloi apabila disambut panorama gunung bersalji, hamparan glasier dan langit terbuka yang cukup memukau. Melihat sendiri keindahan rangkaian puncak Jade Dragon Snow Mountain memberikan pengalaman berbeza, jauh lebih mengagumkan berbanding sekadar melihatnya menerusi gambar.

Impression Lijiang
Jika berkunjung ke Lijiang, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Impression Lijiang. Bagi kami, ini antara pengalaman paling menarik sepanjang berada di sini. Bukan sekadar persembahan nyanyian dan tarian tradisional, pertunjukan berskala besar ini membawa penonton lebih dekat dengan budaya, kehidupan dan warisan masyarakat tempatan.
Diarahkan oleh pengarah terkenal China, Zhang Yimou bersama Wang Chaoge dan Fan Yue, keistimewaan Impression Lijiang terletak pada barisan penghiburnya yang terdiri daripada penduduk kampung sekitar Lijiang sendiri. Mereka bukan pelakon profesional, sebaliknya masyarakat tempatan daripada pelbagai kumpulan etnik termasuk Naxi, Bai dan Yi yang mempersembahkan lagu, tarian serta tradisi warisan komuniti masing-masing. Inilah yang menjadikan persembahan ini terasa lebih dekat dengan kehidupan sebenar masyarakat di sini.

Lebih menarik, pentas terbukanya menggunakan Jade Dragon Snow Mountain sebagai latar semula jadi. Bayangkan menyaksikan ratusan penghibur dalam busana tradisional, diiringi muzik dan nyanyian yang menggambarkan budaya tempatan, sementara rangkaian gunung bersalji berdiri megah di belakang mereka. Gabungan persembahan dan keindahan alam semula jadi ini menjadikan Impression Lijiang satu pengalaman yang cukup istimewa dan sukar dilupakan.
Satu tip kecil sekiranya kamu berpeluang menonton persembahan ini, jangan lupa membawa topi dan memakai sunscreen. Memandangkan ia berlangsung di kawasan terbuka, cahaya matahari boleh terasa agak terik walaupun suhu persekitaran dingin. Jadi, pastikan kulit mendapat perlindungan secukupnya sepanjang menikmati persembahan.

Spruce Meadow
Jika Jade Dragon Snow Mountain menawarkan pemandangan gunung bersalji yang cukup mengagumkan, Spruce Meadow pula memperlihatkan sisi alam Yunnan yang lebih tenang dan mendamaikan. Dikenali juga sebagai Yunshanping, kawasan padang rumput alpine ini terletak sekitar 3,240 meter dari aras laut, dikelilingi hutan pokok spruce yang menghijau dengan Jade Dragon Snow Mountain berdiri megah sebagai latar belakang.
Untuk sampai ke sini, pengunjung perlu menaiki kereta kabel sebelum meneruskan penerokaan di kawasan padang rumput. Sebaik tiba, suasananya terasa cukup berbeza. Hamparan hijau yang luas, barisan pokok tinggi dan udara pergunungan yang dingin menjadikan lokasi ini sesuai untuk berjalan santai sambil menikmati panorama sekeliling. Tidak perlu melakukan pendakian yang mencabar untuk menikmati keindahannya, cukup sekadar meluangkan masa meneroka kawasan ini dan mengabadikan beberapa foto dengan latar pergunungan yang cukup mempesona.
Bagi kami, Spruce Meadow menawarkan pengalaman yang lebih santai selepas meneroka kawasan Glacier Park. Jika sebelum ini tumpuan lebih kepada puncak gunung dan glasier, di sini pula kami dapat menikmati keindahan alam dari sudut yang berbeza.

Blue Moon Valley
Satu lagi lokasi yang tidak boleh dilepaskan ialah Blue Moon Valley. Dikenali dengan warna airnya yang biru kehijauan, kawasan ini sering menjadi antara lokasi paling menarik untuk dirakam sepanjang kunjungan ke taman negara ini.
Keunikan warna airnya berkait dengan kandungan mineral serta keadaan semula jadi kawasan pergunungan tersebut. Aliran air yang jernih melalui beberapa tasik kecil dan kawasan air terjun menghasilkan pemandangan yang cukup mempesona. Lebih menarik, latar belakang gunung bersalji menjadikan kontras warna air biru, batuan cerah dan puncak gunung kelihatan begitu menakjubkan.

Bagi penggemar fotografi, Blue Moon Valley sememangnya antara lokasi yang perlu diberikan masa lebih. Setiap sudut menawarkan pemandangan berbeza dan tidak hairanlah kawasan ini menjadi antara tarikan pilihan pengunjung ketika berada di Lijiang.
Secara keseluruhannya, Jade Dragon Snow Mountain National Park menawarkan pengalaman yang cukup lengkap dalam satu destinasi. Daripada menikmati pemandangan gunung bersalji dari altitud tinggi, menyaksikan persembahan budaya masyarakat tempatan sehinggalah meneroka padang rumput alpine dan tasik biru yang mempesona, semuanya memperlihatkan sisi berbeza keindahan Yunnan.
Dayan Old Town & Zhongyi Night Market – Menyelami Kehidupan Malam Lijiang

Selain keindahan alam semula jadi, Lijiang turut menawarkan pengalaman menarik menerusi bandar lamanya, Dayan Old Town. Dengan lorong-lorong berbatu, seni bina tradisional Naxi dan deretan kedai yang menjual cenderamata serta kraftangan tempatan, kawasan ini mempunyai suasana tersendiri, lebih-lebih lagi apabila menjelang malam.

Untuk meneroka cita rasa tempatan pula, singgahlah ke Zhongyi Night Market. Pasar malam ini menawarkan pelbagai pilihan buah-buahan tempatan yang mungkin jarang ditemui di Malaysia, selain deretan gerai makanan dengan sajian yang cukup pelbagai. Ada hidangan yang biasa kita temui, tetapi terdapat juga pilihan lebih unik seperti ulat sagu dan kerengga untuk mereka yang ingin mencuba sesuatu di luar kebiasaan.

Selain makanan, kami turut menemui pelbagai produk tempatan seperti cendawan kering, rempah-ratus, teh dan kopi yang sesuai dijadikan buah tangan. Menariknya, terdapat juga sebuah gerai makanan halal di sini, namun kami tidak berkesempatan untuk mencuba hidangannya.
Secara keseluruhannya, Zhongyi Night Market memberikan gambaran menarik tentang kepelbagaian makanan dan produk tempatan Lijiang. Jika berkunjung ke sini, luangkan sedikit masa untuk berjalan-jalan dan meneroka sendiri apa yang ditawarkan.

Mengabadikan Kenangan Dalam Busana Tradisional

Selain meneroka keindahan Lijiang, kami turut mengambil peluang mencuba busana tradisional masyarakat tempatan menerusi sesi fotografi profesional. Menariknya, perkhidmatan ini mudah ditemui di sekitar Dayan Old Town dan Baisha Town, dengan pilihan busana daripada pakaian tradisional etnik Naxi hinggalah gaya klasik China yang sering dilihat dalam drama sejarah.
Kebanyakan pakej turut merangkumi solekan dan dandanan rambut mengikut busana pilihan sebelum sesi fotografi dijalankan di lokasi menarik sekitar kawasan tersebut. Untuk pengalaman kami di Baisha Town, pakej yang dipilih berharga sekitar RM140. Namun, dengan banyak penyedia perkhidmatan yang menawarkan pilihan berbeza, ada baiknya kamu melihat beberapa pakej terlebih dahulu sebelum membuat tempahan.

Bagi kami, foto-foto ini bukan sekadar kenangan percutian, tetapi juga cara untuk membawa pulang sedikit pengalaman budaya Lijiang. Siapa tahu, apabila melihatnya semula beberapa tahun nanti, setiap gambar ini mampu mengimbau kembali momen sepanjang pengembaraan kami di sini.
Penerbangan Pulang Dengan Airasia

Selepas beberapa hari menerokai keindahan Lijiang, tibalah masa untuk kami mengucapkan selamat tinggal kepada Yunnan. Dari Lijiang, kami kembali ke Kunming dengan menaiki kereta api berkelajuan tinggi sebelum menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. Walaupun perjalanan ini sudah sampai ke penghujungnya, setiap pengalaman yang dikumpul sepanjang berada di sini pastinya menjadi kenangan manis untuk dibawa pulang.
Bagi yang merancang percutian musim sejuk ke China, Yunnan khususnya Lijiang sememangnya destinasi yang wajar dipertimbangkan. Daripada panorama pergunungan bersalji dan perkampungan tradisional hinggalah keunikan budaya serta cita rasa tempatan, setiap sudutnya menawarkan sesuatu yang berbeza untuk diterokai. Bagi kami, Lijiang bukan sekadar destinasi untuk menikmati suasana musim sejuk, tetapi sebuah tempat yang membuatkan kami ingin mengenali lebih banyak sisi menarik China.

Dengan penerbangan terus AirAsia dari Kuala Lumpur ke Kunming, perjalanan ke Yunnan kini lebih mudah dan praktikal. Jadi, jika kamu sedang mencari destinasi percutian musim sejuk yang sedikit berbeza daripada kebiasaan, mungkin inilah masanya untuk memasukkan Yunnan dalam senarai perjalanan seterusnya. Mana tahu, pengembaraan kamu di sini bakal mencipta kenangan yang sama indahnya!

Untuk merancang perjalanan, layari laman web AirAsia MOVE bagi membuat tempahan serta menyemak promosi dan tawaran tambang terkini. Menariknya, AirAsia MOVE bukan sekadar platform untuk menempah tiket penerbangan. Kamu juga boleh menguruskan pelbagai keperluan perjalanan lain seperti eSIM, insurans perjalanan, tempahan hotel dan pengangkutan lapangan terbang. Semuanya tersedia dalam satu platform untuk menjadikan perancangan percutian lebih mudah, lancar dan menyeronokkan. Kini, hanya tinggal pilih tarikh dan destinasi seterusnya!



















.gif)

Apa pandangan anda?