Posted on November 4, 2026

Apabila menyebut tentang percutian ke China, destinasi seperti Beijing, Shanghai dan Guangzhou pastinya antara yang pertama terlintas di fikiran. Namun, semakin ramai rakyat Malaysia kini mula melihat China daripada perspektif berbeza. Bukan sekadar membeli-belah atau meneroka kota metropolitan, tetapi mencari pengalaman yang lebih dekat dengan alam semula jadi, budaya dan kehidupan masyarakat tempatan.
Terletak di wilayah Yunnan, Lijiang merupakan antara destinasi yang wajar diberikan perhatian. Dikelilingi pergunungan yang mengagumkan, perkampungan tradisional masyarakat Naxi dan landskap alam semula jadi yang cukup mempesona, bandar ini menawarkan suasana yang jauh berbeza daripada kesibukan kota-kota besar China.

Bersama sekumpulan rakan media dan pencipta kandungan, Stail berpeluang menghabiskan lima hari di sini dengan menginap di Club Med Lijiang. Sejujurnya, apabila mempunyai masa percutian yang terhad, perkara terakhir yang kita mahukan ialah jadual perjalanan terlalu padat sehingga tiada ruang untuk menikmati destinasi itu sendiri. Kita mahu meneroka, tetapi dalam masa sama mahu berehat dan menikmati masa bersama.


An all inclusive stay
Club Med Lijiang menjadi pilihan yang cukup tepat dengan konsep all-inclusive, apabila hampir segala keperluan sepanjang percutian sudah tersedia di dalam resort. Biliknya luas dan selesa, manakala pilihan makanan pula tersedia sepanjang hari, daripada sarapan pagi hinggalah makan malam, minum petang dan hidangan lewat malam.

Malah, jika tiba-tiba terasa lapar pada waktu yang tidak dijangka, kita boleh meminta mi segera untuk dihantar ke bilik. Satu kemudahan ringkas yang mungkin kedengaran biasa, tetapi cukup dihargai apabila berada jauh dari rumah.
Apa yang paling kami nantikan setiap pagi sebenarnya ialah pemandangan di luar bilik. Bayangkan bangun dengan panorama pergunungan, langit biru dan udara segar yang menyambut hari. Kebetulan, perjalanan ini berlangsung ketika Kuala Lumpur sedang berdepan keadaan jerebu. Jadi, berada di Lijiang terasa seperti melarikan diri seketika daripada kesibukan kota. Selepas lima hari, pemandangan yang sama masih tidak pernah membosankan.

Selain menikmati suasana alam semula jadi, terdapat juga pelbagai aktiviti yang boleh dicuba sepanjang berada di resort. Kami berpeluang beriadah dengan aktiviti berbasikal, mengenali seni penyediaan teh menerusi aktiviti pembuatan teh, malah mencuba pengalaman bergambar dengan mengenakan pakaian tradisional China. Aktiviti sebegini memberikan sedikit kelainan kepada pengalaman percutian, terutama apabila dapat mencuba sesuatu yang dekat dengan budaya tempatan.
Selain persekitarannya yang mendamaikan, layanan kakitangan Club Med juga meninggalkan kesan tersendiri. Kami berpeluang menikmati makan tengah hari bersama kakitangan Malaysia yang bekerja di sana. Malah, kakitangan Indonesia turut begitu teruja apabila mengetahui kami dari Malaysia dan berpeluang berbual dalam Bahasa Melayu. Walaupun berada jauh dari tanah air, interaksi kecil seperti ini membuatkan kami berasa cukup dialu-alukan. Ia memberikan sentuhan mesra yang menjadikan pengalaman menginap lebih daripada sekadar sebuah percutian.

Menariknya, keseronokan di Club Med tidak terhenti apabila matahari terbenam. Setiap malam, tetamu boleh menikmati persembahan hiburan berbeza yang dianjurkan di resort, daripada pertunjukan komedi dan akrobatik hinggalah malam bertemakan sukan. Suasananya cukup meriah dan menjadi peluang untuk berkumpul, ketawa serta menikmati malam bersama rakan-rakan. Selepas seharian meneroka Lijiang, hiburan sebegini menjadi pelengkap yang menyeronokkan tanpa perlu keluar mencari aktiviti lain.
Meneroka Keindahan Lijiang
Satu lagi kelebihan Club Med Lijiang ialah lokasinya yang memudahkan tetamu meneroka beberapa tarikan paling menarik di kawasan ini. Tidak perlu berpindah-pindah hotel atau menghabiskan terlalu banyak masa menguruskan perjalanan.

Antara yang paling hampir ialah Baisha Ancient Town, sekitar 5 hingga 10 minit dari resort. Sebagai antara penempatan tertua masyarakat Naxi, kawasan ini terkenal dengan lorong tradisional, hasil sulaman tempatan dan mural bersejarah yang memperlihatkan kekayaan warisan budaya Lijiang.

Jika inginkan suasana lebih meriah, Shuhe Ancient Town boleh dikunjungi dalam kira-kira 15 hingga 20 minit. Sementara itu, Dayan Ancient Town atau Lijiang Old Town mengambil masa sekitar 25 hingga 35 minit. Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kawasan ini cukup mempesonakan dengan jalan berbatu, terusan air yang mengalir di celah bangunan tradisional serta kincir air ikonik yang menjadi antara mercu tanda Lijiang. Berjalan di sini memberikan gambaran lebih dekat tentang sejarah dan kehidupan masyarakat tempatan.

Lebih menarik, Dayan Ancient Town juga cukup meriah apabila menjelang malam. Kawasan ini dipenuhi pengunjung, dengan deretan kedai, gerai makanan dan pasar malam yang menawarkan pelbagai barangan serta makanan tempatan. Bagi pelancong Muslim, terdapat juga beberapa pilihan makanan halal di sekitar kawasan ini, walaupun jumlahnya tidak begitu banyak. Jadi, jika berkunjung pada waktu malam, bolehlah mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan sambil mencari hidangan yang sesuai.

Namun, jika ada satu tarikan yang benar-benar mencuri perhatian sepanjang berada di Lijiang, pastinya Jade Dragon Snow Mountain atau Yulong Snow Mountain. Terletak kira-kira 35 hingga 50 minit perjalanan dari Club Med Lijiang, rangkaian pergunungan ini merupakan antara landskap semula jadi paling ikonik di Yunnan. Dengan puncak-puncak gunung yang diselaputi salji dan panorama alam yang terbentang luas, keindahannya memang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Antara lokasi yang menarik untuk diterokai ialah Spruce Meadow atau Yunshanping, sebuah padang rumput alpine yang terletak di kawasan pergunungan pada altitud tinggi. Dikelilingi hutan konifer yang menghijau, kawasan ini menawarkan suasana yang cukup berbeza daripada kesibukan bandar. Dari sini, pengunjung boleh menikmati pemandangan Jade Dragon Snow Mountain yang begitu mengagumkan, dengan deretan puncaknya menjadi latar semula jadi yang sempurna.
Apa yang membuatkan pengalaman ini lebih istimewa ialah perubahan landskap yang dapat dinikmati sepanjang perjalanan. Daripada kawasan hutan yang menghijau sehinggalah ke padang rumput terbuka dengan latar pergunungan bersalji, setiap sudut seolah-olah menawarkan pemandangan baharu. Tidak hairanlah kawasan ini menjadi antara lokasi pilihan untuk menikmati keindahan alam semula jadi Lijiang.

Satu lagi pengalaman yang tidak patut dilepaskan ialah menyaksikan Impression Lijiang, sebuah persembahan kebudayaan berskala besar yang berlangsung di kaki Jade Dragon Snow Mountain. Namun, apa yang menjadikan persembahan ini lebih istimewa bukan sekadar pentas semula jadinya yang cukup mengagumkan, tetapi juga individu yang menghidupkan setiap babak.
Menariknya, persembahan ini menampilkan kira-kira 500 penduduk tempatan dari 16 kampung dan pekan sekitar Lijiang, mewakili lebih daripada 10 kumpulan etnik termasuk Naxi, Bai dan Yi. Mereka bukan sekadar mempersembahkan tarian dan muzik, tetapi turut membawa elemen budaya, tradisi serta kehidupan masyarakat masing-masing ke atas pentas.
Dengan iringan muzik tradisional, gerak tari beramai-ramai dan Jade Dragon Snow Mountain yang menjadi latar semula jadi, Impression Lijiang terasa lebih daripada sekadar sebuah persembahan untuk hiburan pelancong. Ia membuka ruang untuk kita mengenali warisan budaya masyarakat tempatan melalui mereka sendiri.

Dengan pelbagai tarikan ini, Lijiang sebenarnya menawarkan pengalaman yang cukup lengkap untuk mereka yang ingin mengenali China daripada sudut berbeza. Lebih menarik, kebanyakan lokasi utama boleh diterokai sebagai perjalanan sehari sebelum kembali berehat di resort. Bagi perjalanan singkat, kemudahan seperti ini sememangnya memberikan perbezaan besar.
Sebuah Perjalanan Yang Lebih Bermakna
Lima hari di Lijiang terasa cukup pantas berlalu, malah masih banyak yang belum sempat diterokai di Club Med Lijiang sendiri. Terdapat pelbagai aktiviti dan fasiliti di dalam resort yang boleh dinikmati tanpa perlu ke mana-mana. Pastinya, pengalaman meneroka setiap kemudahan dan aktiviti menarik di sini akan kami kongsikan dalam artikel seterusnya yang memberi fokus khusus kepada fasiliti Club Med Lijiang.

Apa yang pasti, perjalanan kali ini membuka mata kami bahawa China mempunyai lebih banyak sisi menarik daripada yang sering kita lihat. Lijiang menawarkan gabungan alam semula jadi, warisan UNESCO dan budaya tempatan dalam suasana yang lebih perlahan, jauh daripada kesibukan kota besar. Dengan Club Med sebagai tempat persinggahan, meneroka destinasi yang mungkin asing bagi pelancong Malaysia terasa jauh lebih mudah, selesa dan mesra.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman menginap dan tawaran di Club Med Lijiang, layari Club Med Lijiang.




















.gif)

Apa pandangan anda?