Posted on August 13, 2026
Kalau anda perasan, shio pan semakin mudah ditemui di bakeri-bakeri sekitar Kuala Lumpur. Roti dari Jepun yang pada asasnya dibuat dengan doh bermentega dan garam ini mungkin nampak ringkas, tetapi teksturnya yang rangup di luar, lembut di dalam dan rasa masin yang cukup-cukup membuatkan ramai susah untuk berhenti pada satu.
Menariknya, setiap bakeri ada cara tersendiri menghasilkan shio pan. Ada yang kekal dengan versi klasik, ada yang menambah keju atau bawang putih, manakala yang lain lebih menitikberatkan tekstur doh dan rasa mentega.
Jadi, kalau anda sedang mencari shio pan sedap di KL, berikut antara tempat yang boleh dimasukkan dalam senarai bakery hopping hujung minggu anda.

1. Cikkiah
Untuk yang belum pernah dengar nama Cikkiah, kiosk kecil di Taman melawati ini mungkin antara tempat yang menarik untuk anda cuba.
Mereka memang terkenal dengan shio pan, dengan beberapa pilihan seperti Garlic Cheese dan Hot Honey Cheese yang antara kegemaran pelanggan. Kalau bernasib baik, kadang-kadang ada juga Butter Tteok untuk dicuba.
Psst… kalau tak nak kecewa, kami cadangkan buat tempahan awal secara online. Shio pan yang dihasilkan setiap hari agak terhad, jadi selalunya shio pan mereka habis terjual dalam masa kurang dari satu jam.
Alamat: Kiosk No, 46, Jalan Melawati 4. Taman Melawati. 53100 Kuala Lumpur

2. Universal Bakehouse
Universal Bakehouse sudah lama menjadi antara nama yang sering disebut oleh pencinta roti dan pastri di KL. Jadi, tidak hairanlah shio pan mereka turut menjadi salah satu yang dicari.
Versi klasik mereka sangat simple, tapi sedap. Luar sedikit rangup, dalam pula lembut dan buttery. Tak perlu banyak topping atau inti pun, sebab rasa mentega dan garamnya dah cukup buat shio pan ni menarik.
Kalau datang ke Universal Bakehouse dengan niat nak beli satu shio pan saja, jangan terlalu yakin. Ada macam-macam sourdough, pastri dan roti lain yang nampak menarik. Besar kemungkinan anda akan keluar dengan beg pembelian yang penuh.
Alamat: G-24, The Campus Ampang, Jalan Kolam Air Lama, Mukim Hulu Kelang, 68800 Ampang, Selangor.

3. Adough Atelier
Terletak di Sri Hartamas, Adough Atelier merupakan satu lagi nama yang boleh dimasukkan dalam senarai jika anda sedang memburu shio pan terbaik di KL.
Shio pan dengan warna keemasan, bahagian luar yang sedikit rangup dan tekstur dalam yang lembut. Garam kasar di atasnya pula memberikan rasa masin yang cukup untuk melengkapkan rasa mentega tanpa membuatnya terlalu berat.
Psstt.. Padankan shio pan anda dengan secawan kopi untuk kombinasi yang ringkas tapi cukup memuaskan.
Alamat: 24, Jalan Sri Hartamas 8, Taman Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur.

4. Flying Solo
Kalau anda berada di sekitar Taman Melawati dan suka cafe hopping, apa kata singgah ke Flying Solo.
Selain shio pan mereka turut menawarkan pilihan bakeri dan makanan yang pelbagai, cafe ini sangat sesuai untuk anda yang nak luangkan masa bersama rakan-rakan. Mereka menyediakan board games, UNO dan pelbagai permainan lain untuk pelanggan.
Alamat: 6A, Jalan H 3, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur.

5. KLCG Confectionery & Bakery
Kalau anda memang selalu dengar tentang makanan KLCG, kali ini boleh cuba pula shio pan mereka. Ada Classic Salt Bread dan Garlic Cream Cheese, dua pilihan dengan rasa yang berbeza.
Classic lebih simple dan buttery, sementara Garlic Cream Cheese lebih creamy dengan rasa bawang putih yang lebih kuat. Sesuai buat mereka yang gemarkan rasa savoury.
Alamat: 204A, Jalan Ampang, Kampung Datuk Keramat, 50450 Kuala Lumpur.









.gif)
.gif)

Apa pandangan anda?