Proton Putra ciptaan Proton paling anggun pernah dihasilkan. Malah, ramai berpendapat bahawa ia antara Proton terbaik pernah dikeluarkan. Namun begitu, produksinya hanya bertahan 4 tahun sahaja iaitu dari 1996 hingga 2000.
Untuk itu, mari kita lihat 8 sebab kenapa Proton Putra begitu disanjungi dalam kalangan sejarah automotif tempatan.
1. Kembarnya dijual di Amerika sebagai Dodge
Bukan Proton sahaja yang ambil Mitsubishi Mirage Asti dan gantikannya dengan logo milik sendiri. Tiga tahun sebelum Proton Putra diperkenalkan, syarikat Dodge terlebih dahulu telah menjalinkan kerjasama dengan Mitsubishi.
Chrysler juga tidak terkecuali. Hasilnya, Mitsubishi Mirage Asti juga dijual di pasaran Amerika sebagai Plymouth ataupun Eagle. Apapun, kedua-dua jenama karam sebelum tibanya zaman milenium.
Sambutan Dodge Colt/Plymouth Colt dan Eagle Summit agak hambar kerana ia dianggap sekadar kereta bajet sahaja.
2. Proton Putra dipasang sekali dengan Citroen Xantia
Proton Putra sebenarnya dibuat di kilang sama yang menghasilkan Citroen Xantia, iaitu antara kereta Perancis paling futuristik pernah dijual di Malaysia. Proton Wira dan Iswara dibuat di kilang Proton di Shah Alam, manakala Putra pula dipasang di Pekan, Pahang.
Kilang yang dimiliki oleh DRB-HICOM itu dahulunya dikenal sebagai Automobile Manufacturers Malaysia (AMM) Sdn Bhd. Selain Putra, model-model awal untuk Satria, Wira Aeroback, dan Tiara juga dipasang di kilang tersebut.
Oleh kerana itu, model yang dibina dari kilang itu dijual secara berasingan di bawah pengedar USPD (Usahasama Proton DRB). Model yang dipasang oleh kilang Proton di Shah Alam pula dijual oleh EON. Tidak lama selepas itu, Proton Edar ditubuhkan bagi menggabungkan kedua-dua pengedar tersebut.
3. Enjin 1.8L yang menjadi dambaan ‘tuner’
Proton Putra diperkenalkan dengan enjin 4G93P 1.8L DOHC 16 injap yang menghasilkan 140 PS dan 164 Nm tork. Kelajuan tertinggi pula mampu mencecah 220 km/j. Harganya ketika itu ditawarkan pada RM 68,887. Proton menyasarkan jualan bulanan sehingga 210 unit.
Sebagai sportscar yang berharga mampu milik, sambutan Proton Putra cukup menggalakkan. Malah, penerimaannya semakin meningkat apabila hadirnya Hyundai Coupe yang berharga sekitar RM 86,000.
Enjin tersebut kemudiannya beransur pada Satria GTi dan Wira 1.8 EXi (C995). Selain manual 5 kelajuan, transmisi automatik 4 kelajuan juga turut ditawarkan.
4. Putra ada nama lain di pasaran luar negara
Selain di tanah air sendiri, Proton juga mahu menunjukkan kehebatan mereka di persada dunia. Dalam era 90-an, Proton mulakan eksport mereka ke pasaran Eropah Barat seperti Jerman dan Perancis. Di sana, Satria dan Wira masing-masing dikenal sebagai 300 dan 400 Series.
Begitu juga dengan Putra yang mana ia memakai nama 418. Namun begitu, usaha Proton dalam pasaran Eropah yang pandu belah kiri tidak menggalakkan langsung. Perkara ini menyebabkan mereka menarik diri sepenuhnya, iaitu pada lewat tahun 90-an.
Pasaran Australia juga tidak menggunakan nama Putra. Di sana, ia dipanggil sebagai Proton M21, iaitu kod nama Putra sendiri. Walaupun ulasan yang mereka beri sangat positif, ia masih tidak cukup untuk meyakinkan pembeli di sana.
5. Putra spec UK ada varian Evolution
Kerjasama Proton dengan Mitsubishi bukanlah sesuatu yang asing tetapi pengedar Proton di Britain mengorak satu langkah ke hadapan dengan menawarkan varian yang cukup istimewa dalam kalangan peminat tegar.
Umumnya, Putra di UK dikenal sebagai Persona Coupe ataupun Coupe tetapi pada 1999, Proton UK memperkenalkan Proton Coupe Evolution 16v.
Model yang eksklusif untuk pasaran UK ini datang dengan kit badan istimewa, rim Momo bersaiz 15 inci, roda stereng Momo, dan kerusi bucket Recaro N-Joy. Selain itu, enjinnya dinaik taraf ke 150 PS. Malangnya, yang masih ada pada hari ini barangkali tinggal 5 sahaja.
6. Ada versi lumba di pasaran UK
Pelancaran varian Evolution sebenarnya tidak cukup menaikkan imej Proton di UK. Apa yang mereka perlukan adalah sukan permotoran.
Sebelum bertanding dalam perlumbaan British Touring Car Championship, Proton memperkenalkan Proton Coupe Cup pada 1998. Ia menggunakan asas Coupe Evolution tetapi dengan beberapa modifikasi untuk membentuk senjata di litar perlumbaan. Beratnya pun hanya 950 kg.
Malangnya, persaingan tersebut hanya bertahan setahun sahaja walaupun sudah beberapa kali dikemaskini. Menariknya, beberapa unit masih ada di UK tetapi ia hanya dibenarkan untuk litar sahaja.
Malah, kereta yang tinggal juga sempat bertanding dalam beberapa siri perlumbaan yang mana sesetengahnya menjadi juara kejohanan yang diceburi.
7. Proton Putra hampir bertanding dalam perlumbaan rali WRC
Selain berlumba di litar, Proton juga berminat dalam dunia rali. Memandangkan mereka ada sejarah yang kuat dengan Wira dan Iswara PERT, agak logiklah kalau mereka juga mensasarkan Putra ke World Rally Championship.
Untuk itu, Proton telah bekerjasama dengan Prodrive untuk menghasilkan jentera rali berasaskan Putra. Enjin 4G93 yang ada dinaik taraf ke kapasiti 2.0L dan turbo anti-lag yang mana hasilnya dapat menghembuskan 304 PS dan 400 Nm tork.
Walaupun sudah bersedia untuk membuat debut pada WRC musim 1998, projek tersebut dihentikan secara sekelip mata. Apapun, satu prototaip telah dihasilkan. Ia dijaga dengan rapinya di bawah Proton Motorsports.
8. Jualan Proton Putra semakin menjadi-jadi setelah keluarannya dihentikan sepenuhnya
Proton Putra telah dianggap sebagai kereta klasik tempatan setelah keluarannya dihentikan pada tahun 2000. Disebabkan itulah ia kembali mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Menariknya pada 2004, Proton membuka semula jualan Putra bagi menghabiskan stok yang tinggal. Walau bagaimanapun, ia tidak lagi datang dengan kerusi Recaro, roda stereng dan tombol gear Momo. Sebaliknya, ia hadir dengan spec Proton yang lebih konvensional.
Konklusi
Walaupun keluarannya hanya sekejap, Putra tetap dianggap sebagai salah satu daripada ciptaan Proton dan kereta tempatan yang paling agung pernah dihasilkan.
Artikel ini ditulis oleh Faisal untuk WapCar
Apa pandangan anda?