Sebuah kereta dicuri setiap satu jam 15 minit di Malaysia, menurut Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC). Ini bermakna, sejumlah 20 kenderaan dicuri setiap hari pada 2020. Lebih mengejutkan, model kereta yang kerap kali dicuri bukanlah kereta mewah, tetapi Proton Wira yang telah tamat pengeluarannya pada 2009. Pertama kali diperkenalkan pada 1993, ini bermakna produksi Proton Wira telah berlangsung selama 16 tahun!
Mengikut logik, semestinya alat ganti untuk model kereta ini bersepah dan mudah untuk dicari, betul tidak? Jawapannya akan mengejutkan. Nak tahu sebabnya? Jom kami rungkaikan.
1. Proton telah menghentikan pengeluaran alat ganti Wira
Menurut pengeluar alat ganti Proton, pihak mereka beranggapan bahawa pengeluaran alat ganti bagi model lama sudah tidak lagi berbaloi, jadi mereka hanya ingin memberi fokus yang lebih untuk penghasilan alat ganti model Proton yang baru.
Tambahan pula, terdapat banyak alat ganti kenderaan dari model Mitsubishi yang boleh digunakan pada Proton Wira, jadi kenapa perlu mereka hasilkan lagi?
Jawapannya agak ironik sebenarnya. Oleh sebab kerana Proton Wira menggunakan asas daripada Mitsubishi Lancer, maka banyaklah peminat kereta yang ingin mengubahsuai model ini.
Ambil contoh, enjin – daripada enjin aspirasi natural 1.3 liter 4G13, 1.8 liter MIVEC 4G93, sehinggalah enjin 2.0 liter 4G63 dari Lancer Evolution, memang tiada batas tentang apa yang kamu boleh lakukan dengan Wira ini.
Untuk rekod, Proton Wira antara model kereta paling laris yang pernah dihasilkan oleh Proton. Sebanyak 952,215 model Wira terjual sepanjang 16 tahun pengeluarannya dari 1993 hingga 2009.
2. Harga alat ganti Wira mahal, walaupun terpakai
Sebagai contoh, enjin kosong 1.5 liter 4G15P boleh dijual pada harga RM 1,500 sehinggalah RM 2,000. Kotak gear? RM 1,000 untuk manual manakala unit automatiknya pula berharga RM 1,300.
Cermin belakangnya pula boleh dijual pada harga RM 350 dan panel meter, terutamanya varian manual dengan RPM dan speedometer bermula pada harga RM 300. Ini belum lagi meter dari varian spesel seperti 1.8 EXi, Thomas Cup Edition, Special Edition (SE) dan sebagainya yang boleh mencecah RM 800.
Ini tidak termasuk komponen-komponen lain – pemegang pintunya sahaja pun masih boleh dijual pada harga RM20 seunit. Jadi tidak hairanlah Proton Wira menjadi sasaran utama memandangkan segala apa yang ada padanya boleh dijadikan alat ganti.
3. Mudah untuk dipecah masuk
Kebanyakkan kereta dari zaman 90an menggunakan kunci jenis turun naik dengan ‘knob’ pin pintu di atas. Apa yang pencuri kena buat adalah, cabut getah ‘lining’ di luar tingkap kereta tersebut, kemudian ambil besi atau dawai yang boleh diselit di antara tingkap itu dan jolok sambil tarik batang mekanisma kunci tersebut sehinggalah ‘knob’ itu naik ke atas. Mudah saja bukan?
Jangan salah faham pula! Kami bukan nak ajar kamu bagaimana untuk mencuri Wira, tetapi teknik ini sudah diketahui ramai orang.
Bagaimana pula jika ada sistem penggera (alarm)? Mudah saja – kamu boleh matikan bunyi itu melalui kotak fius di bawah kolum stereng ataupun di bahagian enjin.
Maklumlah ‘wiring’ pada zaman itu pun ringkas sahaja, bukan macam kereta zaman sekarang yang penuh dengan sistem elektronik.
4. Elak daripada senang di cam ketika melakukan jenayah
Selain daripada alat ganti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah mengatakan bahawa model Proton Wira ini juga antara pilihan utama penjenayah. Sebab nya senang – kerana terlalu banyak model ini di jalan raya kita, maka ia agak sukar untuk di cam.
Kalau tak percaya, carian “Proton Wira jenayah” di laman sesawang Google mengeluarkan pelbagai jenis berita yang melibatkan model sedan ini seperti kes dadah, rompakan, samun dan sebagainya. Paling kelakar, ada perompak yang guna Wira untuk sumbat empat ekor lembu!
Anda pemilik Proton Wira? Jaga-jaga!
Saya sendiri pun menggunakan Proton Wira sebagai kenderaan harian saya, dan apa yang dikatakan dalam senarai ini memang benar-benar belaka.
Apa pandangan anda?