Posted on February 4, 2021
Seperti yang dijanjikan, review Samsung Galaxy S21 menyusul selepas rencana unboxing nya kami paparkan minggu lepas. Apakah kebaikan dan keburukan yang saya dapati daripada model terbaru telefon pintar Samsung ini?
Seminggu berlalu setelah saya menulis tentang unboxing telefon Samsung Galaxy S21 ini. Saya telah berkesempatan menggunakannya selama seminggu. Reviu Samsung Galaxy S21 saya ini tidak akan membuat sebarang perbandingan dengan model terdahulu atau telefon pintar lain sebaliknya hanyalah berdasarkan pemerhatian dan penggunaan selama seminggu saya sahaja. Tentunya banyak juga pengguna yang mungkin sudah beberapa hari menggunakannya sejak diedarkan lewat 29 Januari lalu kepada yang sudah pre-order telefon ini tetapi reviu ini mungkin berguna untuk sesiapa yang masih sedang memikirkan sama ada mahu mendapatkan atau tidak telefon ini.
Perbincangan ramai tentang Galaxy S21 ini tentulah tentang pelapik plastik di bahagian belakang telefon. Sama dengan model Note 20 dan S20 FE. Ada yang tidak setuju ada pula yang suka. Bagi saya, ini adalah tindakan bijak kerana ini bermakna ia tahan lebih lama berbanding penggunaan gelas. Ini kerana ia akan lebih kalis calar dan jatuh. Lagi pula trend sekarang ini ialah kita semua akan menggunakan pelindung plastik pun untuk telefon kita, maka sebenarnya penggunaan material plastik ini tidak sepatutnya menjadi masalah atau topik perbincangan.
DISPLAY HEBAT & PENGGUNAAN BATERI
Skrin Galaxy S21 memaparkan saiz 6.2-inch Flat FHD+ dan dilengkapi Dynamic AMOLED 2X, Infinity-O Display (2400×1080) dan
adaptive 120Hz refresh rate (48~120Hz). Maka bagi saya ia sungguh hebat kerana kelajuannya menakjubkan. Tiada lagging atau masa menunggu. Saya juga suka dengan permukaan rata telefon ini yang sungguh memudahkan pergerakan jari.
Let’s talk about the battery. Menggunakan bateri 4000mAh setelah menggunakannya seminggu, saya dapati ketahanan baterinya bagus. Apalagi dalam zaman ini di mana kita menggunakan WiFi di kebanyakan tempat maka, penggunaan bateri tidak berapa membimbangkan (ia membantu dalam memelihara hayat bateri telefon). Pada kebanyakan hari, bateri saya akan tinggal 15 peratus menjelang senja dan kalau saya perlu makan malam di luar, saya akan perlu mengecas telefon ini.
Sistem kamera
Pemproses gambar HDR telefon Samsung sememangnya tidak dinafikan handal. Mungkin bagi sesetengah, kurang gemar dengan kebaikan ini kerana merasakan gambar-gambar daripada Samsung Galaxy S21 terlalu sharp sehingga nampak sedikit palsu. Saya sendiri kurang gemar tetapi saya tahu terlalu ramai antara teman-teman yang merasa bahawa ciri ini sesuatu yang hebat. Lagi pun reputasi kamera telefon Samsung memang begini maka kebanyakan yang membeli telefon Samsung akan menjangkakan ciri ini. Gambar-gambarnya terang dan memuaskan.
Bonus dalam telefon ini ialah kualiti 8K Snap pada videonya. Ini bermakna untuk menangkap gambar daripada klip video telefon ini akan memudahkan kerana gambar-gambar itu takkan bergegar, kabur atau tidak memuaskan. Ini bagus untuk mereka yang banyak memuat naik video di media sosial atau Youtube dan melakukan rakaman menggunakan telefon. Thumbnail kamu tidak akan ada masalah lagi dengan telefon ini!
Memori dan processor
Review Samsung Galaxy S21 ini diteruskan pula dengan memori dan processor. Tiada masalah dalam bab ini kerana bagi saya ia cukup besar dan laju. Anak saudara saya bermain game tanpa masalah dengan telefon ini. Cukup memuaskan. Ada yang melahirkan rasa tak puas hati tentang ketiadaan slot kad memori SD pada telefon ini tapi jika semua kita ada kemudahan cloud, ini seharusnya tidak menjadi masalah langsung.
Pendapat peribadi saya tentang Samsung Galaxy S21 ialah sekiranya kamu ingin upgrade telefon daripada model lama yang lebih daripada dua atau tiga tahun dahulu, sememangnya telefon ini adalah solusi terbaik kerana ciri-ciri hebatnya adalah lebih baik daripada telefon kamu itu for sure. Telefon ini juga jatuh dalam kategori premium bagi Samsung maka ia nyata pelaburan terbaik. Untuk membeli layari laman web Samsung.
Apa pandangan anda?