Selain sakit belakang dan sakit lutut, sakit badan lain yang turut menjadi masalah kepada ramai orang adalah sakit bahu. Kesakitan di bahagian bahu ini mampu mengganggu kualiti hidup dan juga produktiviti seseorang.
Sakit bahu yang dialami ramai
Terdapat pelbagai penyakit atau kecederaan yang boleh menyebabkan bahu kamu sakit. Berikut antara 5 penyebab sakit bahu yang lazim:
1. Kekakuan bahu (frozen shoulder)
Rasa kaku di bahagian bahu atau nama saintifiknya adhesive capsulitis, lazimnya berlaku sekitar usia 50 hingga 60-an.
Insiden keadaan ini sebelum usia 40 tahun amat jarang dan wanita didapati lebih banyak menghidapinya berbanding lelaki.
Kadar prevalens sepanjang hayat untuk kekakuan bahu untuk populasi umum adalah sekitar 2 hingga 5%.
Antara simptom untuk keadaan ini adalah:
- Sakit bahu yang teruk.
- Terhad dalam jurang pergerakan sendi bahu, seakan-akan kaku.
Simptom-simptom di atas bertambah teruk secara beransur-ansur sebelum kemudiannya surut. Progres penyakit ini boleh mengambil masa sekitar tiga tahun. Rasa sakit ini boleh menjadi sangat teruk sehingga mengganggu waktu tidur.
Terdapat beberapa penyakit atau keadaan yang boleh meningkatkan risiko kamu menghidapnya. Antaranya adalah:
- Diabetes.
- Strok (angin ahmar).
- Pasca pembedahan membuang payudara.
- Penyakit jantung.
- Penyakit Alzheimer.
- Hipertiroid.
2. Kecederaan otot rotator cuff
Otot-otot rotator cuff (RC) seperti supraspinatus, infraspinatus, teres minor dan juga subscapularis memainkan peranan penting dalam menstabilkan sendi bahu.
Di samping itu, ia juga membolehkan kamu menghasilkan pergerakan seperti mengangkat dan memusingkan lengan.
Kecederaan kepada otot-otot ini bukan sahaja akan mengganggu pergerakan bahu, ia juga mengakibatkan rasa sakit dan tidak selesa yang berpanjangan.
Kecederaan otot-otot RC boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu:
Keradangan tendon (tendinitis) – Disebabkan oleh penggunaan berlebihan otot-otot RC. Pemain tenis yang kerap melakukan servis atas kepala dan juga pengecat yang kerap menjangkau, adalah kumpulan individu berisiko tinggi untuk mengalaminya.
Keradangan bursa (bursitis) – Keadaan ini disebabkan oleh keradangan bursa. Bursa adalah kantung berisi cecair yang terletak di antara tendon otot-otot RC dan tulang di bawahnya.
Otot-otot RC terkoyak – Keadaan ini disebabkan oleh kecederaan akut dan/atau penggunaan otot bahu yang berlebihan. Tendon otot-otot RC boleh mengalami regangan yang melampau sehingga terkoyak. Koyakan ini boleh jadi separa atau sepenuhnya.
Simptom untuk kecederaan otot-otot RC adalah seperti berikut:
- Pergerakan sendi bahu yang terhad.
- Sakit bahu ketika ingin mencapai sesuatu yang lebih tinggi daripada paras kepala.
- Sakit bahu khususnya di waktu malam.
- Bahu menjadi semakin lemah perlahan-lahan.
- Kesukaran dalam menyentuh bahagian belakang badan.
3. Osteoartritis sendi bahu
Seperti sendi lain dalam badan, sendi bahu juga boleh mengalami osteoartritis. Ia boleh disebabkan oleh faktor primer (genetik, usia dan jantina) atau faktor sekunder seperti sejarah kecederaan otot-otot RC, jangkitan, kecederaan sukan dan juga bahu terkehel.
Hakisan pada kapsul rawan pada permukaan sendi boleh mengakibatkan rasa sakit yang sinonim dengan osteoartritis bahu. Rasa sakit bahu ini boleh bertambah teruk apabila melakukan sesuatu.
Dengan peredaran masa, rasa sakit boleh menjadi lebih teruk dan boleh berlaku ketika rehat atau tidur.
4. Bahu terkehel
Apabila terkena impak yang kuat kepada bahu, tulang humerus boleh terkehel dan terkeluar daripada soket sendi bahu.
Dalam keadaan yang serius, bahu yang terkehel ini boleh mengakibatkan kecederaan kepada tisu lain dan juga saraf.
Jika kamu kerap mengalami bahu terkehel, kamu boleh mengalami ketidakstabilan sendi yang kronik. Antara simptom bahu terkehel adalah seperti berikut:
- Kecacatan jelas pada bahagian bahu.
- Bengkak pada bahagian bahu.
- Rasa sakit bahu yang teruk.
- Tidak mampu untuk menggerakkan sendi bahu.
Selain itu, seseorang juga boleh mengalami rasa kebas, lemah dan renjatan pada bahagian yang tercedera.
Merawat punca sakit bahu
Berikut rawatan bagi setiap punca sakit bahu lazim yang dibincangkan dalam bab sebelum ini:
Kekakuan bahu
Ubat tahan sakit atau ubat antikeradangan tidak berasaskan steroid (NSAIDs) boleh digunakan untuk mengawal rasa sakit yang dialami. Contoh ubat yang dimaksudkan termasuklah aspirin dan juga ibuprofen.
Selain penggunaan ubat, doktor mungkin akan merujuk kamu kepada ahli fisioterapi untuk melakukan beberapa senaman dan regangan. Dalam sesetengah kes, terdapat juga rawatan tambahan yang mungkin digunakan seperti:
- Suntikan kortikosteroid ke dalam sendi.
- Suntikan air suling steril ke dalam sendi untuk meregangkan sendi.
- Prosedur artroskopik.
Punca sakit bahu: Kecederaan otot-otot RC
Untuk kecederaan otot-otot RC, rawatan boleh melibatkan rawatan di rumah, penggunaan ubat sehinggalah prosedur pembedahan tertentu.
- Merehatkan sendi bahu yang terjejas dengan menggunakan anduh
- Meletakkan pek sejuk atau pek panas pada bahagian bahu
- Senaman untuk mengembalikan jurang pergerakan otot bahu
Kamu juga boleh mengambil ubat NSAIDs untuk membantu mengawal kesakitan. Dalam sesetengah keadaan, prosedur tambahan seperti suntikan kortikosteroid, mungkin diperlukan untuk menangani rasa sakit yang dialami.
Untuk kecederaan yang teruk, pembedahan mungkin diperlukan dan antara pembedahan yang dilakukan untuk kecederaan ini adalah:
- Pemulihan tendon artroskopik.
- Pemulihan tendon terbuka.
- Pemindahan tendon.
- Penggantian sendi bahu.
Osteoartritis bahu
Dari segi rawatan di rumah, kebanyakannya adalah sama dengan rawatan untuk punca sakit bahu yang lain. Prosedur pembedahan yang boleh dilakukan untuk penyakit ini termasuklah:
- Artroskopi
- Artroplasti (penggantian sendi)
- Artroplasti beserta pembuangan tulang
Bahu terkehel
Bahu yang terkehel memerlukan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi tambahan. Antara rawatan akut yang digunakan adalah:
- Reduksi tertutup (secara manual).
- Imobilisasi.
- Reduksi melalui pembedahan.
Penggunaan ubat tahan sakit mungkin diperlukan untuk mengawal rasa sakit bahu yang dialami selepas rawatan akut diberikan. Selain itu, rehabilitasi bahu bersama dengan ahli fisioterapi juga akan dilakukan ketika fasa pemulihan.
Penting untuk diingatkan bahawa sakit pada bahagian sendi badan perlu dirawat dengan segera bagi mencegah komplikasi yang tidak diingini.
Artikel ini ditulis untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?