Ada yang kata soya galakkan fibroid dalam tubuh wanita. Sejauh mana kebenaran kata-kata ini?
Apabila bercakap mengenai masalah fibroid rahim, pasti ada yang mengaitkannya dengan pemakanan, antaranya adalah makanan yang mengandungi soya.
Persoalannya, adakah pengambilan soya berbahaya, atau sebaliknya bermanfaat buat penghidap fibroid?
Soya, antara makanan tumbuhan yang cukup kontroversi dan menjadi perdebatan segelintir pihak yang menyatakan ia berbahaya dan penyebab masalah fibroid, endometriosis bahkan kanser payudara!
Malah terdapat beberapa kajian yang menyokong soya sebagai punca kepada penyakit-penyakit wanita ini, tetapi ada juga penyelidikan yang membuktikan sebaliknya.
Yang mana harus kita percaya? Jika anda berminat untuk ketahui jawapannya, teruskan membaca!
Apa itu fibroid?
Fibroid rahim, atau istilah perubatannya leiomyoma adalah ketumbuhan jinak, dalam bentuk tunggal atau berganda yang boleh tumbuh di dinding atau otot rahim.
Fibroid merangkumi sel otot dan tisu penyambung berserat (fibrous connective tissue).
Gabungan komposisi ini yang memberi pelbagai simptom seperti sakit di pangkal rahim, senggugut, masalah pendarahan tidak normal dan sakit ketika bersenggama.
Menurut Dr. Andrew Weil, pengasas dan pengarah Pusat Perubatan Integratif Andrew Weil di University of Arizona, soya mengandungi campuran phytoestrogens yang mempunyai kesan estrogenik dan antiestrogenik.
Ini bermaksud, sementara beberapa phytoestrogens mempunyai kesan seperti-estrogen dan meningkatkan tahap estrogen di dalam badan, yang lain pula menyekat kesannya dan menurunkan kadar estrogen.
Tahap isoflavones yang tinggi, komponen phytoestrogens soya, secara teorinya mampu merangsang pertumbuhan kanser payudara dan kondisi yang berhubung kait kepada estrogen seperti fibroid dan endometriosis.
Namun menurutnya juga, hanya kerana soya mengandungi phytoestrogen, ini tidak bermaksud bahawa soya bakal merangsang sel-sel sensitif estrogen.
Berdasarkan bukti epidemiologi, iaitu bukti kejadian penyakit pada populasi yang berlainan, menunjukkan soya melindungi wanita daripada masalah berkaitan dengan estrogen.
Sebenarnya, kesan estrogenik soya adalah lemah berbanding estrogen semula jadi dalam tubuh wanita, hanya 1/100 hingga 1/1000 dari estradiol.
Wanita Asia mengambil sekitar 20 hingga 80 mg isoflavones setiap hari berbanding wanita di Amerika yang hanya berjumlah kurang daripada 5mg.
Satu penyelidikan menarik di Jepun pula mengkaji sama ada diet tinggi makanan soya meningkatkan kadar histerektomi (prosedur pembedahan membuang rahim) akibat fibroid dalam kalangan wanita perimenopaus.
Ternyata keputusannya tidak ada wanita yang mengalami masalah fibroid rahim mahupun endometriosis!
Penyelidik mendapati daripada 1,172 wanita yang menyertai kajian itu, kadar histerektomi paling rendah adalah pada individu yang dietnya mengandungi makanan berasaskan soya paling banyak.
Tambahan lagi, Dr. Weil percaya bahawa makanan berasaskan soya seperti edamame, tauhu, tempe atau susu soya lebih cenderung untuk ‘membantu’ berbanding menyakitkan.
Oleh itu, dia mengesyorkan 1 hingga 2 hidangan berasaskan soya sehari, termasuk juga wanita yang menghidap kanser payudara.
Walau bagaimanapun, dia tidak mengesyorkan suplemen soya dek kandungan isoflavones yang tinggi dan kekurangan bukti yang menjamin keselamatan jangka panjang.
Apa yang harus kamu elak?
Senarai berikut adalah antara makanan yang harus dielak kerana dikhuatiri mampu memburukkan lagi kondisi pesakit, antaranya:
#1 Gula
Makanan bergula dan karbohidrat ringkas boleh mencetuskan atau memburukkan lagi masalah ketumbuhan fibroid.
Mereka yang gemarkan makanan manis mempunyai kadar gula dalam darah yang tinggi, yang boleh mengakibatkan badan menghasilkan terlalu banyak insulin.
Perkara ini berbahaya, kerana insulin yang berlebihan boleh menyebabkan kenaikan berat badan dan mempengaruhi pertumbuhan fibroid.
Elakkan karbohidrat halus dan gula tambahan seperti:
- Glukosa
- Dekstrosa
- Maltosa
- Sirap jagung
- Sirap jagung fruktosa tinggi
- Roti putih, nasi, pasta, dan tepung
- Soda dan minuman bergula
- Kerepek kentang
- Keropok
- Bar tenaga
#2 Makanan yang berisiko mengganggu hormon
Beberapa makanan mengandungi bahan semula jadi yang dapat ‘meniru’ hormon estrogen di dalam badan, yang disebut sebagai fitoestrogen.
Sebilangan makanan lain pula mengandungi hormon tambahan atau mampu mencetuskan badan untuk menghasilkan lebih banyak estrogen.
Jika diambil dalam kuantiti yang banyak, kesan negatif yang bakal berlaku terhadap badan juga bertambah tinggi.
Untuk hasil terbaik dalam menguruskan fibroid, cuba hadkan makanan dan minuman berikut dalam diet kamu:
- Daging tinggi lemak dan diproses: Daging merah terutamanya yang diproses mengandungi hormon tambahan, terutamanya estrogen
- Makanan tinggi kandungan garam: Makanan masin menyulitkan hati untuk membuang toksin dan menyeimbangkan hormon badan
- Karbohidrat ringkas: Makanan berwarna putih seperti pasta, roti putih, nasi putih, dan kek berisiko mengubah kadar estrogen dan boleh menyebabkan saiz fibroid membesar!
- Kafein: Terlalu banyak kafein memberi ‘stres’ tambahan pada hati, menyukarkan organ untuk berfungsi dengan baik dan berisiko mengganggu keseimbangan hormon
- Alkohol: Pengambilan alkohol yang berlebihan menyebabkan keradangan pada badan dan penurunan fungsi imun. Mengurangkan alkohol dapat bantu meningkatkan keseimbangan hormon yang sihat
Kesimpulannya, kata-kata soya galakkan fibroid itu tidak berasas sama sekali. Walau bagaimanapun, kami sarankan anda mendapatkan konsultasi doktor jika ada sebarang kebimbangan berkenaan diri anda.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?