Stress eating? Bukan makan kerana stres tapi makan yang boleh menghilangkan stres. Terdapat banyak cara untuk menghilangkan stres. Ada yang keluar berjalan-jalan dan ada juga yang hanya tidur seharian. Bagaimana pula jika guna strategi makanan penghilang stres? Adakah makanan hilangkan stres ini berkesan?
Makanan penghilang stres
Stres yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan mental, tetapi juga keadaan fizikal.
Kajian menunjukkan, jika kamu mengalami stres yang kronik, ia akan meningkatkan risiko untuk mengalami penyakit jantung dan kemurungan.
Namun, kamu tidak perlu risau. Ada sesetengah makanan penghilang stres yang boleh membantu anda mengawal stres tersebut.
Kami senaraikan beberapa jenis makanan hilangkan stres.
Stress eating 1: Serbuk matcha
Serbuk matcha adalah sejenis serbuk yang dihasilkan daripada daun teh hijau yang dikisar halus.
Dalam serbuk matcha, terdapat kandungan L-theanine, sejenis asid amino bukan protein yang kaya dengan kandungan anti stres.
Serbuk matcha kaya dengan kandungan L-theanine memandangkan pohonnya dibesarkan di bawah teduhan, yang meningkatkan kandungan L-theanine ini.
2: Ubi keledek
Ubi keledek adalah sejenis sumber karbohidrat yang kaya dengan pelbagai nutrisi lain. Apabila kamu memakan ubi keledek, ia boleh membantu merendahkan hormon kortisol dalam tubuh.
Hormon kortisol adalah hormon penyebab stres berlaku. Antara kandungan nutrien yang terdapat dalam ubi keledek ialah vitamin C dan juga potasium.
Kedua-dua nutrien ini sangat berkesan dalam melawan stres yang kamu alami.
3: Kimchi
Kimchi adalah sejenis makanan tradisional masyarakat Korea.
Ia sejenis hidangan sayuran yang difermentasi atau ditapai, yang biasanya dihasilkan daripada sayur kubis, lobak putih, daun bawang dan serbuk cili.
Disebabkan ia ditapai, ia kaya dengan kandungan bakteria baik yang disebut sebagai probiotik.
Kajian menunjukkan, probiotik mampu mengurangkan kadar stres dan keresahan yang dialami oleh seseorang.
4: Telur
Telur salah satu sumber protein yang baik dan amat bernutrisi.
Sebiji telur yang kamu makan bukan hanya mengandungi protein dan lemak, tetapi juga terkandung vitamin, mineral dan juga antioksidan.
Kesemua nutrien ini sangat bermanfaat dalam melawan stres yang dialami. Selain itu, telur juga mengandungi kolin.
Kolin adalah sejenis nutrien yang berperanan melindungi otak daripada stres yang berlaku. Selain itu, kolin juga sangat membantu menaikkan mood kamu.
Stress eating 5: Kerang-kerangan
Tidak terhad kepada kerang sahaja, ia juga merujuk kepada pelbagai jenis makanan bercangkerang lain. Ini termasuklah tiram, kupang dan kepah.
Kerang-kerangan seperti ini sangat kaya dengan sejenis asid amino yang disebut sebagai taurin.
Taurin amat diperlukan bagi menghasilkan dopamin. Dopamin adalah neurotransmitter otak yang berperanan mengawal tindak balas stres.
Kajian juga menunjukkan bahawa, taurin mempunyai kesan antikemurungan.
Selain taurin, kerang-kerangan juga kaya dengan pelbagai mineral lain yang sangat membantu meningkatkan mood kamu.
6: Ikan berlemak
Apabila disebut ikan berlemak, kamu pasti terbayangkan ikan salmon. Namun, di negara kita, ikan salmon bukanlah sejenis ikan yang mudah untuk dijumpai.
Tambahan pula, harganya juga agak mahal. Namun, ada beberapa jenis ikan lain yang juga kaya asid lemak omega-3 sebagai ganti ikan salmon.
Kamu boleh makan ikan tenggiri dan ikan sardin yang sangat kaya kandungan omega-3. Omega-3 sangat terkenal dengan fungsinya yang meningkatkan kesihatan otak.
Menurut kajian, mereka yang kurang mengambil sumber omega-3 akan lebih mudah mengalami kemurungan dan juga keresahan.
Stress eating 7: Bawang putih
Tidak ramai yang gemar memakan bawang putih disebabkan baunya yang kuat. Namun, tidak ramai juga yang tahu bahawa bawang putih amat berkesan dalam menangani stres yang berlaku kepada kamu.
Bawang putih mengandungi kandungan sulfur yang membantu meningkatkan paras glutathione.
Glutathione adalah sejenis antioksidan yang membantu tubuh kamu melawan stres.
Kajian juga melaporkan bahawa, bawang putih membantu mengawal simptom keresahan dan kemurungan melalui kajian yang dilaksanakan ke atas haiwan.
Oleh itu, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan kesannya ke atas manusia.
Kesimpulan
Bagi kamu yang sedang cuba mengawal keadaan stres yang dialami, cuba masukkan senarai makanan yang dinyatakan ini dalam diet.
Jadikannya sebagai salah satu bahan wajib dalam masakan harian kamu.
Kamu mungkin akan berasa lebih tenang dan relaks selepas ini.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?