Posted on November 10, 2021
Mengapa tangkai signal kiri pada Proton? Ramai yang rasa bahawa ini adalah isu eksport tetapi sebenarnya ia lebih dari itu.
Sebagai rakyat Malaysia, tentunya kami pernah mengalami situasi ini. Sebagai pengguna kereta Jepun, apabila kamu terpaksa bertukar kepada model Proton moden, kamu dapati bahawa ‘signal’ yang selalu digunakan telah terbalik. Lebih memeranjatkan, kamu tertekan pula tangkai pengelap ‘wiper’ sebagai gantinya!
Proton, pengeluar kereta pemanduan belah kanan (RHD) tapi tangkai signal kiri?
Jawapan umum yang diberikan adalah Proton akan mengeksport model keretanya ke pasaran pemanduan belah kiri (LHD), tetapi jawapan ini hanyalah 50% tepat. Malah di pasaran eksport seperti UK, negara pemanduan belah kanan, elok sahaja kereta baru (Toyota misalnya) dijual dengan tangkai isyarat dan pengelap terbalik seperti Proton.
Posisi tangkai signal kiri adalah keperluan di Eropah kerana rantau berkenaan mengikuti standard ISO. Sementara itu, kebanyakan kereta Jepun dibangunkan untuk memenuhi Japan Industry Standerd (JIS). ISO memerlukan tangkai isyarat berada di sebelah kiri, tidak kira sama ada stereng terletak di sebelah kiri atau di sebelah kanan kereta.
Sebagai pengeluar berkuantiti rendah, Proton harus memilih satu standard untuk diikuti justeru mereka memilih ISO.
Langkah ini bermula dengan Proton Waja (dijual di UK sebagai Proton Impian) pada 2001. Setiap Proton baru yang dikeluarkan sejak itu (kecuali Proton Perdana, Proton Inspira, dan Proton Ertiga yang berasaskan kereta Jepun) menawarkan tangkai isyarat terbalik. Model yang berasal dari Geely seperti Proton X50 dan Proton X70 juga dilihat meneruskan trend itu.
Mengapa Proton tidak kekal dengan tangkai ‘signal’ kanan?
Ketika Proton pertama kali mengorak langkah, rakan teknikal terawal mereka adalah Mitsubishi.
Jepun menggunakan Japanese Industrial Standards (JIS) sebagai panduan. JIS menetapkan bahawa kedudukan tangkai isyarat ‘signal’ harus berada di sebelah kanan, sementara tangkai pengelap ‘wiper’ mesti berada di sebelah kiri.
Inilah sebabnya kereta domestik Jepun mempunyai tangkai isyarat mereka di sebelah kanan dan tangkai pengelap di sebelah kiri – berbeza sama sekali dengan seluruh dunia. Di luar Jepun, wilayah seperti Eropah, Amerika Syarikat, dan China mempunyai piawaian yang berbeza.
Namun apabila kereta buatan Jepun dieksport ke AS atau Eropah, kereta tersebut harus mematuhi peraturan di rantau berkenaan justeru memerlukan konfigurasi tangkai terbalik, tanpa mengambil kira sama ada kereta tersebut dikeluarkan sebagai kenderaan pemanduan sebelah kiri atau di sebelah kanan.
Adakah Jepun menerima kereta dengan tangkai terbalik?
Walaupun Jepun mengikuti piawaian JIS, negara ini juga mengiktiraf standard ISO, yang membolehkan kereta dengan tangkai terbalik dijual di Jepun.
Oleh itu, jenama Eropah seperti BMW, Mercedes-Benz, dan Volkswagen mengekalkan konfigurasi tangkai terbalik untuk model yang dijual di Jepun.
Perodua tidak terkecuali
Perodua juga mengikuti konfigurasi tangkai isyarat sebelah kanan kerana rakan kerjasama teknikal mereka adalah Daihatsu. Semua model Perodua yang dijual di Malaysia mengekalkan tangkai standard Jepun dan bukan tangkai terbalik seperti Proton.
Sama seperti Proton, Perodua juga ada mengeksport model mereka ke UK. Model Perodua sebelum ini, seperti Kancil, yang dijual di UK sebagai Perodua Nippa, tidak menawarkan tangkai terbalik. Tangkai terbalik hanya pertama kali digunakan pada Perodua Kenari pada tahun 2000.
Oleh itu, apabila kamu tidak sengaja menghidupkan tangkai pengelap untuk memberi isyarat, jangan risau. Kamu hanya perlu membiasakan diri dengan konfigurasi yang berbeza.
Artikel ini ditulis oleh Haris untuk WapCar
Apa pandangan anda?