Vagina gatal memang mengganggu! Bahkan, sebilangan besar wanita pasti pernah mengalaminya sekali dalam hidup mereka dan boleh menyebabkan ketidakselesaan.
Apa yang memburukkan lagi keadaan, kamu sendiri tidak tahu sebab ia berlaku…
Miss V gatal mempunyai pelbagai sebab, ia mungkin berkait rapat dengan cara pencucian, alahan atau yang lebih ditakuti, jangkitan kelamin!
Jadi… Mengapa vagina gatal?
#1 Kamu mengalami jangkitan yis
Salah satu masalah yang paling biasa dialami wanita ketika mereka mengalami gatal-gatal pada faraj adalah jangkitan yis menurut Dr Audra Williams, Penolong Profesor Obstetrik dan Ginekologi di University of Alabama di Birmingham School of Medicine.
Untuk pengetahuan kamu, sekitar 75% wanita akan mengalami sekurang-kurangnya sekali jangkitan yis sepanjang hayat mereka.
Jangkitan yis sama seperti namanya, membawa maksud pertumbuhan kulat di dalam faraj, di tempat yang tak sepatutnya, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan.
Tambah Dr. Williams, kulat adalah organisma hidup yang menyebabkan jangkitan.
Selain gatal-gatal, simptom jangkitan yis yang lain termasuk discharge yang tebal dan putih, seakan yogurt dan mengalami sensasi terbakar ketika kencing.
Berita baik, terdapat banyak rawatan over-the-counter (OTC) jangkitan yis yang berkesan.
Sekiranya gejala masih tidak hilang setelah rawatan awal, pastikan kamu mengunjungi doktor ya!
#2 Vaginosis bakteria juga buat vagina gatal
Berbeza dengan jangkitan yis, vaginosis bakteria sebenarnya bukan jangkitan.
Ia berlaku apabila keseimbangan semula jadi bakteria di dalam faraj terjejas, maka pertumbuhan berlebihan bakteria tertentu akan menyebabkan beberapa gejala, termasuk kegatalan faraj.
Selain gatal-gatal, vaginosis bakteria sering menunjukkan simptom lain seperti keputihan berair yang berbau hanyir.
Sekiranya kamu mengalami gejala-gejala ini, temui doktor segera untuk mendapatkan preskripsi antibiotik yang akan membantu mengembalikan keseimbangan sihat di dalam faraj.
#3 Tukar sabun atau beli seluar dalam baru
Miss V gatal-gatal, tetapi kamu tidak mengalami sebarang gejala berkaitan jangkitan yis atau vaginosis bakteria.
Mungkin kalian perlu berhenti sejenak dan bertanyakan diri soalan seperti:
“Apa yang telah saya ubah dalam rutin kebersihan atau pakaian akhir-akhir ini?”
Ini kerana perubahan produk tertentu boleh menyebabkan kondisi yang disebut sebagai dermatitis kontak, di mana kulit kamu bertindak balas terhadap alergen atau perengsa, seperti sabun, seluar dalam, losen, pewarna, detergen bahkan tuala wanita.
Menurut Dr. Williams, sebilangan wanita lebih sensitif terhadap produk dengan kandungan pewangi atau pewarna yang mencetuskan reaksi alergi.
Setelah berjaya mengenal pasti perubahan baru yang menjadi punca miss V gatal, hentikan penggunaannya segera dan biasanya, masalah kegatalan akan mula reda.
Bagi penggunaan seluar dalam pula, panties yang diperbuat daripada material 100% kapas amat disarankan, ini membolehkan faraj ‘bernafas’ dengan lebih baik.
#4 Melalui fasa menopaus
Bagi kaum Hawa yang sedang menghampiri atau berada pada usia di mana menopaus mula berlaku, menurut North American Menopause Society, kegatalan faraj mungkin akibat perubahan hormon semasa dan selepas putus haid.
Selepas menopaus, perubahan hormon yang wanita alami boleh menyebabkan kekeringan faraj dan penipisan kulit, disebut atrofi faraj (vaginal atrophy).
Untuk mengatasi masalah ini, kamu boleh cuba pelembap faraj OTC, yang tersedia dalam bentuk krim dan suppository (objek dimasukkan ke dalam badan, selalunya di bahagian rektum).
#5 Kamu mungkin mengalami… jangkitan kelamin!
Walaupun jarang berlaku, jangkitan kelamin (STD) masih antara pemicu yang difikirkan oleh pakar sakit puan apabila kamu mengalami gatal-gatal pada faraj.
Satu jenis jangkitan kelamin khususnya, adalah trichomoniasis atau Trich, disebabkan oleh parasit Trichomoniasis vaginalis dengan anggaran sebanyak 3.7 juta orang di A.S. dijangkiti, menurut CDC.
Tambah Dr. Williams lagi, trichomoniasis cenderung menyebabkan lebih banyak keputihan dan gejala faraj.
Rawatan trich terdiri daripada ubat oral dan berupaya untuk sembuh dengan cepat sebaik sahaja anda mula mengambilnya, walaupun kamu boleh dijangkiti semula.
Sekiranya vagina gatal, lakukan pemeriksaan!
Memerhatikan sama ada simptom dialami bertambah baik atau sebaliknya usai rawatan adalah amat penting.
Jika ia masih berlarutan, segera lakukan konsultasi bersama doktor kerana dikhuatiri terdapat masalah yang lebih serius yang perlu dikenal pasti.
Tahukah kamu, kegatalan faraj yang berterusan malangnya boleh menjadi tanda kanser vulva!
Walaupun bentuk barah ini jarang berlaku, vagina gatal adalah antara gejalanya.
Oleh itu, usah abaikan simptom ini dan ambil tindakan sewajarnya agar masalah kegatalan faraj dapat dihilangkan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor.
Apa pandangan anda?