Posted on July 7, 2021
Ibu bapa kini boleh menarik nafas lega kerana vaksin COVID-19 untuk remaja 12 tahun ke atas akan dilakukan pada masa hadapan, lebih-lebih lagi untuk mereka yang perlu mengambil peperiksaan penting.
Sudah lebih setahun negara kita dilanda wabak COVID-19. Oleh sebab itu, bahaya Coronavirus sudah pasti telah diketahui ramai. Syukurlah, melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), ibu bapa di Malaysia kebanyakannya sudahpun menerima vaksinasi.
Namun, baru-baru ini, satu lagi berita gembira telah disampaikan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi PICK, Khairy Jamaluddin.
Menurut Khairy Jamaluddin, pemberian vaksin untuk golongan remaja 12 tahun ke atas akan dijalankan di negara kita pada masa terdekat menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech.
Walau bagaimanapun, dalam kegembiraan yang dirasai oleh sebelah pihak, masih ada segelintir ibu bapa sangsi terhadap keberkesanan vaksin COVID-19 untuk anak-anak mereka.
Malah, muncul pula mitos-mitos mengenai bahaya vaksin untuk anak-anak yang berusia 12 tahun ke atas.
Jadi, bagaimanakah kita dapat membezakan informasi yang salah dan betul?
5 mitos lazim mengenai vaksin COVID-19 untuk remaja
Sebenarnya, ada terlalu banyak mitos dan salah faham yang berlegar dalam masyarakat mengenai vaksinasi terhadap virus COVID-19.
Kami faham, ramai ibu bapa yang ingin melindungi anak mereka daripada sebarang bahaya. Walau bagaimanapun, bahaya Coronavirus lebih hebat jika anak kamu dibiarkan tanpa vaksin.
Di bawah, kami kongsikan 5 mitos utama berkaitan pengambilan vaksin COVID-19 dalam kalangan remaja.
Mitos 1: Kanak-kanak dan remaja tidak perlu divaksin kerana mereka bukan golongan berisiko
Sebenarnya, kenyataan di atas adalah tidak benar sama sekali. Di Amerika Syarikat, jumlah kes COVID-19 dalam kalangan remaja dan kanak-kanak telah meningkat dari 3% ke 24% dalam masa setahun.
Jadi, kanak-kanak juga berhadapan dengan bahaya Coronavirus, sama seperti orang dewasa.
Walaupun benar kanak-kanak tidak mengalami simptom yang teruk, masih ada juga yang perlu dikejarkan ke hospital. Malah, ramai yang telah meninggal dunia disebabkan COVID-19.
Oleh sebab itu, ibu bapa masih perlu membawa anak untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19.
Malah, selepas divaksin, anak kamu boleh melakukan pelbagai aktiviti dan tidak lagi terbatas berbanding semasa pandemik. Mereka juga dapat bergaul dengan bebas tanpa perlu risau mengenai penyakit COVID-19.
Mitos 2: Vaksin COVID-19 bahaya terhadap kanak-kanak
Ramai yang sangka pemberian vaksin adalah bahaya untuk kanak-kanak dan remaja.
Malah, ada juga yang anggap vaksin COVID-19 untuk remaja lambat diluluskan kerana ada masalah yang timbul!
Jangan cepat percaya! Sebenarnya, ujian klinikal untuk kanak-kanak dan remaja lebih panjang berbanding orang dewasa. Salah satu sebabnya ialah ia perlu melalui fasa demi fasa untuk memastikan keselamatan vaksin.
Selain itu, dos untuk kanak-kanak dan orang dewasa juga berbeza. Jadi, ujian klinikal pastilah memakan masa yang lebih panjang untuk menentukan dos yang sesuai.
Sebenarnya, bahaya Coronavirus lebih merisaukan berbanding bahaya vaksin! COVID-19 tidak akan melakukan diskriminasi. Ia akan menjangkiti sesiapa sahaja tidak kira bangsa ataupun usia.
Mitos 3: Vaksin COVID-19 boleh merosakkan DNA dan menyebabkan kemandulan
Vaksin tidak akan merubah DNA kamu dalam apa cara sekalipun.
Dua jenis vaksin yang sedang digunakan iaitu vaksin MRNA dan vaksin vektor viral tidak akan memberikan kesan terhadap DNA kamu ataupun anak kamu.
Selain itu, tidak ada sebarang bukti bahawa vaksin boleh menyebabkan kemandulan.
Vaksin COVID-19 selamat untuk masyarakat dalam setiap lapisan umur. Wanita yang hamil atau ingin hamil juga boleh mengambil vaksin.
Mitos 4: Vaksin COVID-19 mempunyai kesan jangka panjang
Sehingga hari ini, masih belum ada sebarang bukti yang boleh menunjukkan vaksin dapat mengakibatkan kesan buruk jangka panjang terhadap kanak-kanak dan remaja.
Sebaliknya, bahaya Coronavirus lebih besar berbanding pemberian vaksin. Malah, mereka yang pernah menghidap COVID-19 mungkin akan mengalami pelbagai masalah kesihatan kekal walaupun setelah sembuh daripada jangkitan COVID-19!
Mitos 5: Vaksin COVID-19 tidak berkesan terhadap kanak-kanak dan remaja
Menurut FDA, ujian klinikal menunjukkan bahawa pemberian vaksin amat efektif untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 yang sederhana dan teruk.
Malah, data yang sedia ada juga mencadangkan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech lebih efektif dalam kalangan remaja berbanding orang dewasa.
Setiap vaksin dan ubat-ubatan yang kamu ambil mempunyai risikonya yang tersendiri. Namun, kebaikan yang dibawa oleh vaksin melebihi sebarang keburukan yang ada. Sebab itulah, kita lebih digalakkan untuk mengambil vaksinasi.
Apa pandangan anda?