Posted on September 18, 2023
DALAM KEENAKAN DUNIA SEKARANG DISUGUHI KECERDASAN BUATAN SERTA TEKNOLOGI TINGGI, NAMUN TERKADANG HAMPIR TERGELINCIR DARIPADA LANDASAN KESAMARATAAN, MAWAR RASHID MENARUH KEPERCAYAAN PADA SATU : YAKNI IA BEPALING KEPADA KEINDIVIDUAN DAN KECEKAPAN. TANPA MEMPEDULIKAN APA JANTINANYA. TIDAK PERLU ADA SIKAP KOMPETITIF ATAU AUTORITATIF YANG BERUNSURKAN NEGATIF. PERLU SAMA-SAMA BERBIMBING TANGAN, MEMBIDIK KEBAHAGIAAN.
Penata Gaya/Pengarah Seni : Max Mak (By Max Mak)
Teks : Ardi Idewani Zaini
Fotografer : Edmund @ Studio134
Solekan : Celine
Stylist Assistant : Keat Kit & Noelle Chong
Sehamparan harapan Mawar Rashid atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid adalah untuk orang ramai menelan hakikat bahawa dunia ini dihuni oleh lebih daripada satu jantina. Tidak harus ada sikap seseorang itu megah menumpas yang lain hanya berasaskan jantinanya. “Tanpa mengira dia lelaki atau perempuan, seandainya dia bagus atau berkelayakan, makanya dia layak,” ucap Mawar. Tidak perlu melulu sehingga dilihat jahil. Sepatutnya ada kesedaran dalam cepu kepala agar bertindak logik.
Sungguhpun dunia sekarang berbeza ; umpama lapangan untuk mengucapkan bermacam-macam perasaan yang menggelodak seperti sanggahan, gembira, rasa benci atau rasa sayang ; Mawar percaya masih ada ruang untuk pupuk sentimen kerjasama. “It’s a tag team! We are stronger together,” jelas Mawar. Biar adil dan sama-sama membangun. Baginya, ia memudahkan kita untuk mengeset matlamat. Asalkan masing-masing, baik lelaki mahupun perempuan, tahu mengerjakan tanggungjawab yang dipikul.
Pada usia 28 tahun kini, tingkat pengalaman yang dirangkul mendasari Mawar untuk menjadi lebih matang. Kecekalan hati tidak menggoncangkan kedudukannya di persada seni hiburan tanah air. Mawar terus tabah bergelar selebriti, pelakon, usahawan, pencipta kandungan digital dan seorang ibu. “Saya sudah terarah kepada work-life balance. Bila sudah berkeluarga, amat penting untuk ada keseimbangan tersebut agar saya bisa membahagikan masa untuk diri sendiri, keluarga dan kerja,” kongsi Mawar kepada kami.
Mawar menjadualkan aturan kehidupan harian, mingguan dan bulanan. Apalagi dinamisme baharu yang terdapat dalam kehidupannya tidak lagi sama seperti dahulu. Tambahan pula, dia sekarang lebih giat bekerja sebagai pengasas bisnes dan pencipta kandungan digital. “Senang untuk saya lihat susunan masa kerja saya. Bila masanya untuk bekerja menguruskan bisnes serta buat content dan bila masanya untuk personal space saya dengan yang tersayang. Itulah pentingnya jadual dibuat seawal mungkin,” sambung Mawar.
Adakah Mawar akan kembali berlakon? Atau mahu menumpukan perhatian kepada bisnes sahaja?
Insya Allah, saya akan kembali berlakon. Seandainya mendapat tawaran yang sesuai atau kena dengan imej dan personaliti saya. Apalagi bila sudah berkahwin dan memiliki tiga orang anak – Rafael, Cinta dan Camilya. Buat masa ini, saya mahu memfokuskan kepada perniagaan kosmetik Mawarose yang kini sudah masuk empat tahun saya menguruskannya.
Bagaimana Mawar ‘sustain’ aturan hidup sekarang? Apatah lagi sudah bergelar usahawan.
Sebagai seorang selebriti tanah air, saya ‘sustain’ keberadaan saya dalam industry ini dengan terus menjadi relevan. Waima agak sibuk mengerjakan bisnes, tidak bermakna saya mahu menoktahi kerjaya saya yang lain – antaranya, sebagai pelakon. Saya konsisten dari aspek mencipta kandungan digital di platform media sosial, masih lagi aktif ke acara-acara tertentu serta menyertai bicarawara yang dikendalikan oleh stesen-stesen televisyen lokal. Malah, saya juga selalu beri kerjasama untuk diinterviu.
Berbicara tentang bisnes saya pula, saya bersyukur kerana memiliki sepasukan pekerja yang bagus dalam hal-hal mengendalikannya. Acapkali ada mesyuarat, saya akan menyuarakan visi serta misi, rencana pemasaran dan strategi. Daripada situ, pasukan bisnes saya tahu bagaimana mahu memenuhi kehendak tersebut dan Alhamdulillah, mereka menjayakan ia dengan baik sekali!
Mungkin agak klise untuk menanyakan soalan ini. Tetapi, kami kagum dengan kehebatan Mawar menyusun rutin harian sebagai figura publik, usahawan dan mengepalai keluarga. Apakah rahsia ‘kemenangan’ itu?
Sentiasa merancang dengan lebih awal. Harus bijak dalam pengurusan dan komited! Hal-hal ini membabitkan semua perkara ; bukan sahaja bisnes atau kerja, bahkan sebagai ibu bapa dan hal-hal peribadi. Kerana perancangan awal itu tidak memayahkan kamu untuk mengecapi work-life balance itu. Saya harus berterima kasih kepada suami saya, Raf Yaakob yang banyak membantu dalam menguruskan jadual saya. Dia tahu bagaimana mahu menyusun ia agar tidak bertindih atau bertentangan dengan yang lain.
Menyentuh hal seperti Mawar sebagai wanita berkerjaya, seorang isteri dan ibu, semestinya ia mencerminkan Mawar seorang yang memperkasakan kuasa wanita. Dengan kedudukan Mawar sekarang, bagaimana ia diterjemahkan sebagai memperjuangkan keperkasaan wanita?
Mawar Rashid yang kamu lihat sekarang adalah Mawar Rashid yang sudah tahu bab memilih hala tujunya sendiri. Mawar Rashid itu adalah Mawar Rashid yang sudah membenih matlamat dan aidicitanya dan dia akan lakukan apa sahaja yang terbaik untuk mencapai sasaran tersebut. Apa yang saya amalkan dari dahulu lagi adalah saya percaya bahawa setiap individu tidak harus melepaskan peluang untuk speak up and make their own choices in life. Bagi saya, individu yang yakin atau percaya pada diri sendiri dan mampu menterjemahkan ia menjadi sesuatu yang positif… itu… adalah keperkasaan! Itulah empowerment. Tidak kiralah kamu lelaki ataupun perempuan.
Berbicara tentang keperkasaan wanita lagi, apakah kesedaran mengenainya masih lagi kurang di Malaysia? Adakah ia masih dibayangi oleh patriarki?
Dalam agama Islam, kita semua sedia maklum yang lelaki adalah ketua dalam organisasi keluarga. Lelaki seharusnya mengeset contoh terbaik sebagai suami, pelindung dan seumpamanya. Namun, ia juga tidak mengabaikan kedudukan perempuan dalam organisasi tersebut. Perempuan pun ada tanggungjawab atau tugas-tugas yang harus dipikul. Jadi, apa sahaja tugas atau amanah yang diberi itu dan beroleh kemenangan dalam melaksanakannya, baik lelaki ataupun perempuan, bermakna dia berjaya menjadi ‘ketua’. Makanya, kita tidak perlu memberatkan kepala kita dalam memikirkan wujudnya patriarki versus matriarki. Seperti yang dinyatakan oleh saya tadi, jika seseorang itu bagus dan bekelayakan, jadi dia memang layak. And the best is, we must work together because we are stronger together.
Tetapi sayangnya, masih ada yang salah anggap atau salahuna kuasa keperkasaan wanita itu, menjadikan ia sebagai ‘tiket’ untuk mengubur terus keberadaan jantina yang bertentangan. Sehingga hilangnya tujuan asal keperkasaan wanita yakni mencapai kesamarataan. Pendapat kamu?
Senang sahaja. Untuk sesiapa yang mahu memperkasakan sesuatu itu perlu berlaku adil. Ya, keadilan adalah kata kunci di sini! JIka berlaku adil mendasari niat, Insya Allah, tidak akan terhapus hak sama rata itu.
Pesan Mawar untuk golongan perempuan atau wanita (secara spesifiknya) agar tidak hilang keperkasaannya dan tidak terus lemah.
You should know your worth. Sentiasa bertegas atau mempertahankan hak kamu, apakala perlu untuk kamu berbuat demikian. Be blessed, thankful and focused. Stay in the right circle that gives you positive vibes. Sentiasa berbuat baik dengan orang lain. Dan, jangan mudah hilang harapan seandainya ggal kerana ia adalah proses pembelajaran untuk kemajuan diri.
Bagaimana Mawar mengatasi senario yang mencabar kedudukan kamu sebagai seorang wanita?
Jangan balas dengan kekesaran, sebaliknya ‘balas’ ia dengan kebijaksanaan. Jika kamu benar-benar berada di landasan yang salah, akui kesilapan itu. It makes you the bigger person. Jika kamu berada di landasan yang betul, bimbing dan ajari mereka.
Apa pandangan anda?