Posted on May 1, 2020
Kita hidup di zaman yang mana hari ini kita perlu membiasakan diri dengan terma “new normal”. Jika dahulu, kita lihat segolongan orang sahaja ataupun mungkin selebriti Korea yang menjadikan topeng muka sebagai senjata harian mereka. Hari ini, satu dunia menjadikan topeng muka senjata hidup terbaru mereka. Kita didedahkan dengan foto-foto frontliners kita yang bekerja keras pagi, petang, siang dan malam sehinggakan wajah mereka bertanda dek menyarung pelindung ini. Namun, itu bagi mereka yang berada di barisan hadapan bertungkus-lumus menyelamatkan negara. Bagaimana dengan kita, orang biasa? Masih berisikokah untuk mencederakan atau membahayakan kulit wajah kita sendiri apabila kita bakal menjadi lebih kerap menyarung topeng muka ini? Jawapan saya ada risikonya. Kulit iritasi kemudian membawa kepada masalah jerawat dan keradangan.
Akan tetapi, mengapa masalah ini terjadi? Ramai yang tidak tahu, akibat terlalu lama menyarung topeng ini, bahagian kulit wajah yang terlindung itu (mulut, hidung, dagu dan pipi) akan berpeluh. Bukan itu sahaja, disebabkan tekstur kasar pada topeng, kemudian geseran saling berlaga antara satu sama turut menjadi punca utama iritasi berlaku. Masih dalam posisi yang sama, sebenarnya kita juga tidak sedar, topeng muka gred perubatan memiliki bahan kimia yang diadun di dalamnya. Mungkin itu juga menjadi punca mengapa kulit kamu boleh teriritasi.
Manakala trend menyarung topeng muka jenis fabrik seperti yang disarankan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat terhadap rakyatnya turut memiliki beberapa kesannya terhadap kulit wajah kamu. Topeng jenis fabrik lebih mudah membuat kulit kamu iritasi jika kamu tidak menjaga dan membersih dengan betul. Menurut Rachael Pontillo, pakar estetika bertauliah Amerika Syarikat menerusi temubualnya bersama TODAY, walaupun tekstur fabrik lebih lembut, ia masih boleh membuatkan kulit menjadi kering, lebih-lebih lagi jika kamu menyarung topeng jenis kain kapas. Ia boleh menyerap segala minyak natural yang terdapat pada kulit.
Memandangkan ini adalah the new normal, selepas tamat tempoh PKP, topeng muka dan kita mungkin sukar untuk dipisahkan. Saranan saya, pastikan wajah sentiasa bersih dan kekal lembap. Ini boleh mengelakkan daripada kulit yang kering iritasi terhadap tulang topeng muka yang melekap dan bergesel kuat pada wajah. Selain itu, buat kamu yang memilih topeng muka jenis fabrik, sapukan pelembap terlebih dahulu sekurang-kurangnya 30 minit sebelum menyarung topeng wajah kamu. Ini bertujuan untuk mengelakkan kebarangkalian liang pori tersumbat dan kulit sukar bernafas dengan jelas.
Apa pandangan anda?