Posted on December 1, 2025

Musim perayaan selalunya dikaitkan dengan kilauan lampu, hadiah terbungkus rapi dan detik-detik kecil yang kita simpan dalam ingatan. Tahun ini, Oribe mengangkat ritual kecantikan harian ke satu dimensi baharu lewat koleksi perayaan edisi terhad, dihasilkan bersama seniman tekstil dan artis multidisiplin Finland yang berpangkalan di Amsterdam, Kustaa Saksi.
Di bawah tema “Golden Threads. Shared Moments.”, koleksi ini bukan sekadar pembungkusan cantik yang mengiringi rangkaian penjagaan rambut ikonik Oribe; ia adalah kanvas seni tekstil yang menyalurkan cerita tentang alam, mitologi, keterhubungan dan kehalusan kraf—semuanya bersulam dalam satu naratif visual yang kaya.

Seni, Kraf & Cerita Dalam Sebuah Kotak
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kolaborasi perayaan Oribe bukan sekadar gimik hujung tahun. Ia berpaksikan rasa hormat yang mendalam terhadap pertukangan halus (craftsmanship) dan kreativiti. Setiap tahun, jenama ini mengundang pengkarya dari pelbagai disiplin — dari dunia seni visual, kraf tekstil hingga komuniti artisan — untuk mentafsir dunia Oribe melalui lensa dan tangan mereka sendiri.
Naib Presiden Penciptaan Produk Oribe, Jennifer Smith, menjelaskan bahawa kerjasama perayaan ini bermula daripada hasrat untuk mengangkat kotak sekunder — lazimnya sekadar fungsi pembungkus — menjadi kanvas seni yang mencerminkan nilai jenama: cerita, kraf dan budaya pembikin (makers). Tahun ini, pilihan mereka jatuh kepada Kustaa Saksi, seorang artis yang karyanya berlegar di persimpangan corak grafik, seni tekstil dan instalasi, dengan idea-idea alam yang selalu kelihatan seolah-olah dilihat dari pinggir persepsi – separa nyata, separa mimpi.


“Golden Threads”: Di Mana Sif, Mitologi & Emas Bertemu
Untuk Oribe, Kustaa mereka bentuk empat set hadiah edisi terhad di bawah judul “Golden Threads”. Rekaannya diilhamkan daripada:
- Identiti visual hitam dan krim koleksi kegemaran peminat, Oribe Gold Lust
- Emblem Oribe Goddess, simbol elegan yang sudah sinonim dengan jenama
Dari titik permulaan inilah Kustaa membawa kita menyelam ke dalam mitologi Nordik, khususnya kisah dewi Sif dan rambut emasnya yang mengalun. “Rambut Sif adalah simbol segala yang bumi berikan kepada kita,” kata Kustaa. “Campuran kecantikan, perubahan dan alam itulah yang mengilhamkan karya ini.” Hasilnya ialah satu visual yang terasa mitos namun moden: alunan garis yang mengingatkan kita kepada helaian rambut emas, disulam dengan corak organik yang seakan-akan akar, sungai atau arus tenaga bumi. Kotak-kotak hadiah ini bukan sekadar menarik mata di atas meja dandanan, tetapi mengajak kita berhenti sejenak, menatap dan merasai ceritanya.

Dari Digital ke Analog: Tapestri Sepanjang 10 Kaki
Untuk memanjangkan lagi penghargaan terhadap kraf, Oribe turut menugaskan Kustaa menghasilkan sebuah tapestri satu-satunya (one-of-a-kind) berasaskan rekaan “Golden Threads” ini.
Menggunakan teknik tradisional Jacquard weaving, Kustaa menggabungkan:
- Serat semula jadi seperti mohair, alpaca, kapas dan bulu
- Unsur tidak konvensional seperti getah, logam, akrilik dan benang fosfor
Hasilnya ialah permukaan teksur yang kompleks — pertembungan dunia digital (sketsa, reka bentuk grafik) dengan kehadiran fizikal yang sangat analog dan tak terganti. Tapestri sepanjang lebih 10 kaki ini mengambil masa enam bulan untuk disempurnakan, menggunakan lebih daripada 180 paun bahan. Ia bukan sekadar karya seni dinding, tetapi manifestasi fizik kepada visi Oribe dan Kustaa tentang benang, masa dan cerita.
Baca: Pilihan STAIL: Produk Must-Have untuk Kulit Glowing & Solekan Natural

Eksklusif: Kustaa Saksi Bercerita Tentang “Golden Threads”
Dalam temu bual eksklusif, kami mengupas lebih dalam hubungan di antara dunia seni Kustaa dan visi kecantikan Oribe.
Tentang apa yang menarik Kustaa Saksi kepada Oribe
Karya Kustaa sering mengangkat alam dan mitologi melalui tekstur dan corak. Jadi, apa yang membuatkan kerjasama dengan Oribe terasa begitu “kena”? “Ia bermula daripada keterikatan jenama ini kepada seni, craftsmanship dan storytelling,” jelasnya. “Nilai-nilai itu sangat serasi dengan pendekatan kreatif saya sendiri.” Dia menambah bahawa kolaborasi ini membenarkan dia mentafsir dunia Oribe melalui bahasa visualnya sendiri — menggabungkan bentuk-bentuk semula jadi, corak surreal dan motif yang terasa seolah-olah diambil daripada tekstil. “Ia tentang nilai bersama: cinta terhadap perincian, rasa hormat kepada tradisi dan semangat kreatif yang berani.”

Sif, mitologi Nordik dan rambut emas
“Golden Threads” hadir dengan aura mitos yang kuat. Interpretasi Kustaa terhadap dewi Norse, Sif, bukan sekadar rujukan visual, tetapi inti naratifnya. “Saya mengambil inspirasi daripada kisah Dewi Norse Sif dan rambut emasnya yang begitu indah,” katanya. “Rambutnya adalah simbol segala yang bumi berikan kepada kita. Campuran kecantikan, perubahan dan alam itulah yang mengilhamkan karya ini.” Dalam konteks Oribe, rambut bukan sahaja objek penjagaan kecantikan tetapi lambang hubungan kita dengan tubuh, identiti dan alam.
Weaving sebagai penceritaan
Kustaa sering menggambarkan aktiviti menganyam sebagai satu bentuk bercerita. Jadi, apakah cerita yang ingin dia sampaikan melalui karya untuk Oribe? “Apabila orang melihat karya ini, saya berharap mereka berasa ingin tahu dan terinspirasi, seolah-olah mereka melangkah ke dunia lain,” katanya. “Golden Threads” lalu berfungsi seperti pintu kecil ke sebuah alam yang mirip mimpi—di mana rambut emas Sif berayun bersama angin dan setiap garis corak menjadi sungai kecil yang membawa kita mengembara.

Cabaran terbesar: menyatukan semua lapisan
Tapestri “Golden Threads” bukan sekadar percubaan gaya; ia adalah kerja tangan yang intensif, berbulan-bulan lamanya. “Cabaran paling besar — dan juga bahagian paling saya ingati — ialah menyeimbangkan semua unsur berlapis supaya ia harmoni dalam anyaman akhir,” kata Kustaa. Setiap material membawa tekstur dan pantulan berbeza; setiap benang menuntut ruang. Menyatukan semua ini tanpa “hingar visual” adalah latihan kepekaan, kesabaran dan ketelitian.
“Shared Moments” & makna perayaan bagi seorang seniman
Tagline “Golden Threads. Shared Moments.” menangkap semangat koleksi ini: tentang hubungan, ritual dan detik-detik kecil yang dikongsi. Bagi Kustaa, frasa ini sangat peribadi. “Bagi saya, musim perayaan selalu tentang memperlahankan langkah, meluangkan masa dengan orang tersayang dan menghargai tradisi,” katanya. Dia mengumpamakannya dengan proses menganyam:
“Saya fikir ia sedikit seperti weaving, di mana setiap benang berhubung dengan sesuatu yang lebih besar.” Seperti rambut yang disikat rapi, diikat atau digelung, momen-momen kecil bersama insan tersayang disusun menjadi satu “tapestri hidup” – warisan emosi yang kita bawa ke tahun-tahun seterusnya.

Hadiah Yang Lebih Dari Sekadar Produk
Dalam dunia kecantikan yang sering dikuasai oleh trend pantas dan pembungkusan sementara, Oribe memilih jalan yang berbeza:
- Menjadikan pembungkusan sebagai objek seni
- Mengundang pengguna untuk merasai cerita dan kraf di sebalik setiap produk
- Mengaitkan ritual harian — menyikat, membasuh, merawat rambut — dengan rasa syukur kepada alam dan hubungan manusia
Koleksi perayaan edisi terhad Oribe x Kustaa Saksi ini akhirnya mengajukan satu persoalan halus kepada kita. Jika setiap benang rambut, setiap lapisan tekstur dan setiap corak punya cerita, apa pula cerita yang kita mahu anyam dalam momen-momen yang kita kongsi musim ini? Mungkin, jawapannya bermula dengan satu botol Oribe yang berdiri di meja dandanan — terbungkus indah dalam karya seni yang mengingatkan bahawa kecantikan sebenar sentiasa punya lapisan lebih dalam: kraf, cerita dan benang-benang halus yang menghubungkan kita semua.
Dapatkan koleksi ini di pautan berikut: kensapothecary.com
.gif)


















.gif)

Apa pandangan anda?