Posted on May 28, 2020
Masih belum terlewat untuk kami ucapkan Selamat Hari Raya. Bagaimana sambutan Raya kamu setakat ini? Kami berharap agar kamu kekal menjaga jarak sosial ketika menziarah sanak-saudara. Elakkan daripada melepak lama ataupun berada di dalam keadaan sesak dan penuh orang. Ini hanya akan menyemarakkan lagi rantaian jangkitan virus yang popular ketika ini virus Corona. Baiklah, saya tidak mahu membebel tentang itu. Hari ini, saya ingin kongsikan beberapa solekan Raya selebriti yang menjadi pilihan kami minggu ini. Walaupun beraya di rumah dan tidak dibenarkan merentas negeri pulang ke kampung, saya perhatikan di laman sosial, banyak yang memuatnaik foto OOTD serta solekan Raya yang menarik, #STAILLAVVV! Namun, hari ini saya hanya ingin berkongsi top picks kami. Jom lihat!
Elfira Loy
Masih mengekalkan SOP beraya. Walaupun menyarung topeng muka, Elfira masih tahu bagaimana hendak bercantik-cantik di Hari Raya. Separuh wajah ditutup tidak bermakna kamu tidak boleh bermekap. Elfira memfokus lebih pada solekan matanya. Menyarung solekan mata smoky rona jingga sepadan dengan topeng muka yang dibeli di farmasi Caring!
Sophia Liana
Manisnya Sophia menyambut Raya! Menyarung solekan minimal namun yang menarik perhatian kami ialah padanan klip rambut mutiara yang disarung pada rambut yang didandan lepas. Sweet sangat. Walaupun solekannya minimal, namun rona gincu bibir koralnya tetap menarik perhatian.
Shalma Eliana
Si cantik manis ini tampil bersiap di pagi raya. Lihat solekan glamor berpaletkan rona metalik tanah sebagai highlight solekannya. Kemudian rambut didandan belah tengah, dipadu dengan anting-anting statement. Lengkaplah look Hari Raya Eliana! #STAILLAVV
Ain Edruce
Tidak jemu mata memandang si cantik ini. Apa jua yang disarung pasti kena dengan si tinggi lampai Ain. Pagi Raya Ain memilih untuk menyarung solekan favorit kami. Solekan bibir glos. Ramai yang masih tidak gemar menyarung gincu bibir glos, malah ramai yang memilih untuk menyarung gincu kemasan pusam mahupun krim. Lepas ini, kalau hendak pergi beraya, cuba sarung gincu glos seperti Ain, hasil solekan kamu akan tampak lain, lebih berseri!
Nana Al-Haleq
Nana sering tampil dengan solekan signaturnya, bergincu merah jambu lembut dan wajah sentiasa bersolek segar. Namun, yang menarik perhatian ialah pada gaya rambutnya yang diikat sanggul tinggi dengan kemas. Jarang saya lihat, wanita memilih gaya dandanan seperti ini untuk hari Raya #STAILLAVV!
Apa pandangan anda?