Posted on February 6, 2020
Memang kita diajar untuk memakai pelindung sinar setiap masa untuk melindung kulit daripada anasir-anasir yang tidak baik daripada sinaran ultraviolet (UV) yang berlebihan oleh matahari. Dan saya percaya juga setiap kali kamu hendak membeli produk pelindung sinar ini, kamu pasti akan mencari pelindung sinar dengan SPF paling tinggi. Namun, tahukah kamu apakah sebenarnya maksud di sebalik SPF ini?
Menurut pakar dermatologi, SPF ini adalah singkatan buat Sun Protection Factor iaitu faktor perlindungan matahari. Ia sejenis ukuran saintifik yang berupaya menapis sinaran UVB matahari. Sebagai contoh, jika kamu lihat sesuatu pelindung sinar itu memiliki kadar SPF sebanyak 30. Itu bermakna, secara teknikalnya kamu boleh keluar berada di bawah sinaran matahari 30 kali lebih lama sebelum kulit kamu mula terbakar. Lebih tinggi kadar SPF, lebih banyak perlindungan kamu akan peroleh. Dan perlu kamu ingat, SPF50 sudah dibuktikan secara klinikal dimana ia boleh menghalang 99 peratus sinar UV daripada menembusi kulit.
Kamu juga mungkin akan terkeliru jika berjumpa dengan produk yang dipanggil sebagai Broad-Spectrum SPF. Pelindung sinar jenis ini mampu melindung kulit daripada sinar UVB dan UVA manakala produk pelindung sinar yang hanya berlabel SPF hanya melindung daripada sinar UVB.
Apakah perbezaan di antara sinaran UVB dan UVA ini?
Jika kamu hendak tahu, sinaran paling berbahaya buat kulit dipanggil sebagai sinaran ultraviolet (UV) dan sinaran UV ini pula menghasilkan dua jenis sinaran iaitu sinaran UVB dan UVA.
Sinaran UVB bertanggungjawab besar dalam menyebabkan kulit terbakar atau sunburn. Dan yang paling penting harus kamu ingat, sinaran UVB inilah yang mendorong kepada kanser kulit. Manakala sinaran UVA pula mampu menembusi lebih jauh ke dalam kulit. Ia antara punca utama kulit wajah menua dengan cepat serta kedutan jelas terlihat. Bukan itu sahaja, ia juga membantu mempercepatkan lagi pembiakan kanser dalam kulit. Sinaran UVA ini memiliki lebih 500 kali ganda banyaknya berbanding sinaran UVB. Mana tidaknya, sinaran jenis UVA ini ada pada setiap masa baik waktu terik, mendung dan memiliki keupayaan untuk menembusi tingkap dan awan.
Adakah kamu perlu menyarung SPF setiap hari?
Jawapan kami YA. Kamu wajib sarung SPF ini setiap hari, baik kamu berada di luar mahupun dalam rumah, waktu panas terik, mahupun hujan mendung, senang kata, setiap masa. Cara hendak menyarung produk SPF yang betul adalah dengan menyapunya pada kulit wajah dan tubuh pada sebelah pagi sebelum keluar rumah, kemudian menyarungnya kembali setiap dua jam. Tidak kira berapa jumlah SPF pada produk kamu itu, kamu wajib untuk menyapu kembali sekerap yang boleh.
Rajah di atas mampu membantu kamu memilih produk SPF dengan betul
3 Produk Pelindung Sinar Pilihan STAIL.MY
Estée Lauder Crescent White Full Cycle Brightening Ultra-Light UV Protector SPF 45/PA++++ RM255
Supergoop! 100% Mineral Sunscreen Stick SPF 50 RM100
Clinique Even Better Dark Spot Defense SPF 50/PA++++ 30ml RM162
Apa pandangan anda?