Posted on January 2, 2020
Jurusolek yang semakin meningkat namanya kini, Ummi Nasir, antara wanita riang dan peramah pernah saya kenali. Walaupun pernah menjalani hidup sebagai ibu tunggal (kini sudah bahagia berumah tangga) membesarkan satu-satu anak manjanya, Maisarah, langsung tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan hidup. Antara strong women yang pernah saya jumpa juga! Bercakap soal mekap, Ummi Nasir adalah antara jurusolek juga influencer yang pada saya cukup bagus dalam mencipta content untuk media sosialnya. Langsung tidak lokek ilmu dan dia juga sebelum ini pernah menjadi wajah buat kempen Lancome sebaris bersama Neelofa dan Venice Min. Mari saya kongsikan antara 5 solekan terbaik Ummi Nasir yang boleh kamu cuba dan jadikan inspirasi.
Antara look kegemaran kami. Ini digayakan Ummi sewaktu menonton pertunjukan fesyen Adila Long baru-baru ini. Solekan mata menggunakan produk Heavy Metal Glitter daripada Urban Decay Cosmetics itu yang menjadi fokus utama kami. Manakala layangan gincu rona merah cili itu adalah antara pilihan bijak Ummi dalam mencipta mood keseluruhan solekan glamor ini.
Hasil inspirasi Dior musim sejuk 2019, Ummi mengenakan solekan mata garis hijau yang cukup in tahun ini. Menggunakan pensel mata DiorShow Pro Eyeliner dalam rona hijau jid 456 dan kemudian dipadankan pula dengan gincu bibir ikonik Dior Rouge kod 999. Sungguh Dior Girl!
Ini pula hasil solekan Ummi pada model, Rekha. Kami sukakan bagaimana solekan mata rona ungu dan perak metalik ini tampak kemas di wajah Rekha. Dipadankan pula dengan gincu bibir rona nude dan asas solekan yang begitu mulus, WE LOVE!
Ummi juga sering menerima tempahan solekan perkahwinan. Dan setiap kali melihat hasil solekan perkahwinan Ummi, kami dapat rasakan kekuatan Ummi adalah pada asasnya. Ummi tahu bagaimana hendak membuatkan wajah seorang pengantin itu lebih berseri. Walaupun signatur Ummi dilihat lebih kepada solekan pengantin minimalis. Namun kekuatan Ummi itu dapat dilihat menerusi keserian mekap itu sendiri.
Antara content kecantikan yang menjadi pilihan kami. Ummi adalah Beauty Guru pilihan STAIL! Buat kamu yang mahu belajar dan mendalami ilmu mekap, Ummi turut mengadakan kelas solekan. Jangan lupa untuk menyertai!
Apa pandangan anda?