Posted on March 24, 2020
Video Call: Menyedarkan betapa cantiknya saya sebenarnya. Mengapa saya kata demikian? Mengapa setelah sekian lama saya tak pernah sedar pun. Mengapa baru sekarang baru saya perasan, setelah 37 tahun hidup? Semuanya gara-gara aktiviti waktu coronavirus yang kerap saya lakukan dalam seminggu ini. Ya, video call. Semuanya kerana itu.
Atas sebab perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan kerajaan, banyak antara kita dalam masa seminggu ini menggunakan medium panggilan video untuk berhubung dan bertanya khabar dengan teman-teman dan keluarga. Pada mulanya saya agak skeptikal menggunakan medium ini kerana saya fikir aduh kena mandi dan bersiap. Kena pastikan muka flawless dan kena pastikan latar belakang sewaktu panggilan kena cantik.
Tetapi selepas beberapa kali melakukan panggilan video kesemua kerisauan ini hilang langsung. Tiada siapa pun yang peduli semua yang kamu senaraikan tadi. Panggilan video itu hanyalah untuk melihat keadaan kamu atau teman-teman sama ada mereka berada dalam keadaan sihat atau tidak. Ya lah kalau sekadar panggilan telefon biasa, mana kita nampak rupa orang itu kan? Malah selepas beberapa sesi panggilan video saya mula menyedari sesuatu yang tidak pernah saya sedar selama ini.
Saya ini cantik rupanya….
Hahaha… memang kedengarannya perasan tetapi dalam galak movement loving yourself hari ini, saya rasa ini bukan lah sesuatu yang pelik. Malah kita sepatutnya harus menyokong dengan perasaan teman-teman andai kata mereka merasa sedemikian. “Bagus sisssss… You are pretty.” Tapi bukanlah saya merasa cantik itu kerana muka saya menepati gambaran wajah cantik ideal yang saya bayangkan selama ini.
Ia lebih berkenaan dengan melihat mimik muka, ekspresi dan tingkah laku diri sendiri sewaktu berbual dalam panggilan video. Selama ini saya tidak pernah melihat diri saya sendiri pabila berbual dengan orang. Hanya teman-teman dan keluarga dapat melihat ekspresi muka dan tingkah laku saya dari mata mereka. Bagi saya inilah yang membuat saya boleh kata saya cantik.
Saya suka dengan cara saya berbual, membuat mimik muka dan turun naik suara kala berbual. Semua kriteria ini bagi saya menjadikan saya seorang individu yang cantik. Bukanlah kerana bentuk kening saya sempurna, hidung saya mancung terletak dan bibir saya bak delima merekah. Apalagi mengatakakan jawline saya on point atau kulit saya sihat berseri. Tidak.
https://www.instagram.com/p/B9mgTiKoIiq/
Madonna, antara mangsa yang tunduk kepada idea kecantikan normal dan tunduk kepada prosedur kecantikan estetika
Ketidaksempurnaan inilah yang menjadikan…
… saya cantik di mata saya. Dan alangkah bagusnya kalau semua wanita dapat merasa yang sama. Kerana perasaan sebegini yang memberi keyakinan dan kecantikan yang tiada siapa pun mampu beri kepada kamu. Perasaan cantik begini akan lebih tahan lama berbanding falsafah kecantikan normal yang banyak wanita pegang. Apabila kamu merasa kecantikan kamu itu datang daripada perlakuan dan mimik muka, ia akan kekal dalam diri kamu selama kamu hidup.
Tetapi kalau kecantikan itu kamu pandang dari segi luaran – berkenaan dengan bentuk dan struktur muka, kulit yang licin dan gebu, percayalah kamulah yang akan menjadi mangsa prosedur estetik di pusat-pusat kecantikan. Kamulah yang akan menjadi penjana perniagaan dan industri kecantikan estetik dunia. Aduhhh sungguh rugilah kalau kamu akur.
Jadi, apa kata kamu ubah persepsi kecantikan kamu hari ini! Kalau pun bukan daripada video call, mungkin daripada melihar video-video rakaman tentang kamu yang ada dalam telefon teman. Atau boleh sahaja buat panggilan video dengan teman-teman dan keluarga untuk bertanya khabar dalam tempoh kawalan pergerakan kerana coronavirus ini. Dalam masa sama sedar dengan semua ketidaksempurnaan pada wajah kamu yang menjadikan kamu cantik sempurna.
Apa pandangan anda?