Posted on October 21, 2020
Apa nak jadi Malaysia, katalah dalam 10 tahun lagi?
Bangun pagi sekarang saya tak perlukan penggera pun. Pada umur-umur begini (penghujung 30-an), kalau perlukan penggera juga baru boleh bangun memang malu lah. Anak-anak buah saya mungkinlah perlukan penggera. Itu pun masih tak bangun, sampailah kena ketuk pintu bilik dan goncang-goncangkan tubuh mereka barulah nak bergerak.
Pagi semalam saya terjaga dan tiba-tiba terfikirkan perkara ini (ayat pertama saya di atas). Dalam kekalutan pandemik yang kembali mencengkam (semalam 865 kes dilaporkan), kerajaan Malaysia seperti acuh tak acuh dalam menangani masalah ini. Teman saya mengulang beberapa kali dalam perjumpaan atas talian Zoom dan Whatsapp, “Half baked RMCO.” Ya kerana banyak yang tidak setuju dengan peraturan longgar yang diusulkan kerajaan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali ini (kedua).
Dua hari lepas kerajaan mengumumkan gimnasium dan taman rekreasi (termasuklah padang golf) boleh dibuka. Banyak yang menganggap ini tidak masuk akal kerana ia juga boleh menyebarkan COVID-19, tapi nak buat macam mana? Mungkin kerana banyak antara menteri-menteri dan ahli perniagaan yang kemaruk main golf, jadi peraturan ini diperkenalkan. Sudahlah penyebaran COVID-19 gelombang ketiga ini pun disebabkan oleh mereka juga yang berkempen dan berkunjung ke Sabah sewaktu PRN tempoh hari. Maka peraturan yang menyebelahi mereka juga pasti akan mendatangkan rasa tak puas hati di kalangan rakyat.
Seorang teman menghubungi dari Penang tempoh hari ingin bertanyakan kematian salah seorang kenalan kami. Tapi dalam perbualan kami tentunya termasuk sedikit tentang masalah yang didepaninya akibat PKPB ini. Dia kini terpaksa berualng-alik Penang-KL kerana kekurangan projek kesan pandemik. Jadi setelah diumumkan PKPB tempoh hari, dia pun pulanglah ke Penang kerana memikirkan takkan ada projek yang masuk sepanjang PKPB ini. Tapi kerana PKPB ini pun seperti melepas batuk di tangga, projek masuk sedang dia di Penang. Tentu sahaja dia serba salah, tidak pasti apakah prosedur sebenar yang perlu dilalui untuk dia kembali ke KL.
Terdengar nada stres dalam suaranya kala kami berbual. Saya kesian dengan dia. “Kalaulah kerajaan lebih ketat dalam melaksanakan PKPB ini serta tidak mengubah-ubah peraturannya sesuka hati, mungkin ini tidak terjadi,” kata saya padanya. Tidak perlu lah dia mengusung beg berat berisi alatan kerjanya KL-Penang-KL.
Saya bukanlah seorang pakar tetapi ini hanyalah buah pandangan yang lahir daripada fikiran yang waras serta memikirkan kebajikan dan keperluan orang lain, bukan hanya kepentingan diri sendiri
Inilah yang tidak difikirkan sebaik-baiknya oleh kerajaan kita waktu ini. Mereka yang mentadbir sama sekali tidak memikirkan kebajikan dan kesusahan rakyat dalam melangsungkan kehidupan di waktu pandemik ini. Mereka tidak memikirkan apa yang penting untuk dilakukan dahulu. Saya tahu banyak aspek perlu diambil kira terutamanya keadaan ekonomi negara. Tetapi mereka harus tegas dan membuat keputusan tentang perlaksanaan paling penting yang perlu dibuat dahulu.
Sekiranya memutuskan rantaian penyebaran COVID-19 yang perlu dititikberatkan waktu ini, maka perkasakan lah ini dahulu sampai ia benar-benar diputuskan baru disusuli dengan tindakan-tindakan seterusnya untuk memulihkan keadaan ekonomi negara. Janganlah kerana tamakkan semua, yang utama dilakukan keciciran merata-rata. Dan janganlah terlalu memikirkan kepentingan poket sendiri, periagaan peribadi yang mereka masing-masing usahakan, kebajikan rakyat terabaikan.
Punca gelombang ketiga ini juga daripada mereka. Jadilah pentadbir yang bertanggungjawab dan mengakui salah sendiri kemudian ambil tindakan paling penting untuk menyelesaikan masalah yang mereka cipta sendiri. Itu sahaja yang saya pinta. Dan ini semata-mata saya usulkan kerana kasihankan teman saya yang terumbang-ambing tindakannya kesan gelombang ketiga ini. Belum lagi kalau kita kaji sektor lain dan kehidupan rakyat lain yang saya pasti melalui kekeliruan yang sama.
Kurangnya pelan tindakan yang kukuh juga menyebabkan banyak antara rakyat masa ini yang merasa kehidupan mereka tiada makna lagi. Apa pun yang mahu diusahakan atau yang memerlukan keputusan, seperti ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’ ketika ini. Kerana tiada pelan konkrit dari pihak kerajaan sendiri dalam menangani masalah pandemik ini. Sekurang-kurangnya perlu ada langkah-langkah kukuh yang perlu disenaraikan sebagai garis panduan untuk rakyat ikuti katalah sehingga penghujung 2021 misalnya supaya masalah pandemik ini terkawal. Ia juga akan memudahkan rakyat merancang struktur kehidupan mereka dalam jangka masa setahun dua ini.
Hai… entahlah. Saya bukanlah seorang pakar tetapi ini hanyalah buah pandangan yang lahir daripada fikiran yang waras serta memikirkan kebajikan dan keperluan orang lain, bukan hanya kepentingan diri sendiri. Wajar lah pentadbir dan pemimpin berfikiran yang sama bukan kerana ada 32.7 juta orang yang bergantung kepadanya.
Neelofa bertudung mencipta gempita di seluruh Malaysia
Dalam pada suasana keliru dan kabut dengan pandemik, tempoh hari Malaysia dikejutkan pula dengan pengumuman Neelofa bertudung. Saya menerima beberapa mesej juga tentang hal ini. Baguslah Lofa, kamu trending untuk beberapa hari di Malaysia. Tindakannya itu saya pasti sudah mengambil kira semua faktor serta kesan dan sebab yang munasabah. Lofa wanita yang bijak. Setakat ini hampir semua tindakan yang diambil tentang kerjaya dan perniagaannya membuahkan hasil. Saya pasti keputusan ini juga adalah untuk beroleh kejayaan yang menguntungkan. Tidak kiralah untuk di dunia atau pun bekalan di akhirat. Itu hanya Lofa dan Allah yang tahu.
Biarpun seperti selalu, banyak pujian yang dikirimkan kepada Lofa tentang keputusannya itu. Ada juga yang mengata dan memberi pandangan masing-masing. Saya rasa ini tidak perlu. Sebaliknya kita hanya perlu menghormati keputusannya. Sekurang-kurangnya dia mengambil keputusan dan saya harap Lofa akan berpegang terus kepada keputusannya ini waima menguntungkan atau sebaliknya. Tentu sahaja godaan dan bisikan akan banyak mendampingi Lofa selepas ini. Ujian akan bertambah besar, tetapi jika dia terus berpegang dengan keputusannya, nescaya akan lebih besarlah hormat orang terhadapnya.
Cuma sesuatu yang saya tak sabar nak lihat ialah kesan pemakaian niqab Lofa ini terhadap wanita-wanita di Malaysia di masa depan. Apa nak jadi Malaysia dalam masa 10 tahun lagi misalnya. Apakah kita akan melihat lebih banyak wanita menggayakan niqab. Apakah ia akan terlihat dalam masa terdekat ini memandangkan niqab itu juga boleh berfungsi sebagai pelitup muka dalam masa pandemik ini? Apakah Lofa akan memperkenalkan koleksi niqab atau hijab sekali niqab selepas ini dan meletup juga jualannya lantas kita akan melihat lebih ramai wanita berniqab di Malaysia selepas ini? Nah inilah perkara-perkara yang saya teruja untuk lihat. Kerana dengan pengikut 7.9 juta di Instagram, saya pasti Lofa akan mencipta kesan yang siginifikan dengan keputusannya itu.
Pada hari yang sama juga, suami Sarah Hildebrand memuat naik IG Story yang menunjukkan sokongannya terhadap keputusan isterinya membuka hijab. Aduhai too much in a day right? Kerana itu juga saya keluar dengan tajuk rencana ini, “Apa nak jadi Malaysia?” Nyata, kita tidak dapat melihat corak yang tetap bukan dalam tindakan rakyat Malaysia hari ini. Satu yang pasti ialah kekeliruan dan kecelaruan dalam keputusan-keputusan yang melibatkan hal agama banyak kita saksikan terjadi di Malaysia hari ini. Saya pasti ini berakar daripada tindakan dan keputusan kerajaan lewat 10 atau 20 tahun lalu.
Oleh itu, penting untuk kita memikirkan sebaik-baik dan sedalam-dalamnya sebelum mengambil sebarang keputusan dalam hidup kita. Apalagi di kalangan pentadbir negara, kerajaan kita kerana semua keputusan yang mereka buat hari ini akan mencorakkan suasana dan norma masyarakat di masa depan. Tetapi seperti yang saya sebut tadi, asal saja ia berpaksikan kebajikan dan kepentingan rakyat saya pasti keputusan itu akan menjadi yang terbaik – tidak perlu pun menunggu sampai 10 tahun untuk melihat kesannya. Dalam masa terdekat pun apa juga masalah yang melanda negara pasti dapat diselesaikan dengan baik serta membawa keuntungan bersama. Percayalah.
Apa pandangan anda?