Posted on January 29, 2026

Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan melalui kelantangan dan pencapaian luaran, Nadia Brian hari ini memilih arah yang lebih senyap — tetapi jauh lebih jelas. Tiada lagi keperluan untuk membuktikan apa-apa. Sebaliknya, yang ada hanyalah seorang wanita yang semakin berdamai dengan dirinya sendiri. “Saya rasa tenang dan berdamai,” ujar Nadia apabila ditanya tentang versi dirinya hari ini. “Dahulu, saya mungkin mengukur diri melalui pencapaian luar, tetapi sekarang saya melihat seorang wanita yang lebih menyayangi dirinya sendiri, tahu apa yang dia mahu, dan tidak takut untuk menjadi tidak sempurna.” Satu perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan fasa hidupnya kini? Grounded. Berpijak di bumi nyata — tidak lagi terbuai dengan keriuhan industri atau jangkaan orang lain. Nadia memilih untuk kembali kepada akar, nilai dan perkara yang benar-benar memberi ketenangan jiwa.

Tenang yang Datang dari Disiplin
Gaya sporty yang menghiasi cover kali ini bukan sekadar pilihan visual. Ia adalah refleksi kehidupan sebenar Nadia — hampir seratus peratus, katanya. Bagi Nadia, fitness bukan tentang fizikal semata-mata, tetapi latihan minda. “Kekuatan yang saya bina di gim mengajar saya untuk bertahan apabila hidup menjadi sukar, dan untuk kekal fokus walaupun letih,” jelasnya. Namun disiplin paling mencabar bukanlah fizikal, sebaliknya mental.
“Untuk kekal positif, untuk tidak melayan ‘noise’ negatif, dan untuk konsisten menjaga hati — itu disiplin yang paling sukar tetapi paling saya utamakan sekarang.” Bersenam juga menjadi bentuk terapi dan ruang pelarian buatnya. Peluh menjadi medium untuk menjernihkan fikiran, menukar tekanan dan emosi negatif kepada tenaga yang lebih produktif. Dalam dunia yang bergerak terlalu pantas, disiplin menjadi caranya untuk kembali seimbang.

Kekuatan Yang Tenang
Bagi Nadia, kekuatan sebenar tidak pernah tentang siapa yang paling lantang. Ia tentang ketenangan ketika ribut melanda. “Kekuatan sebenar adalah keupayaan untuk kekal rasional, baik hati dan teguh pendirian walaupun dunia sedang menekan,” katanya. Di awal kerjaya, Nadia juga pernah terperangkap dalam keperluan untuk menjadi “lebih” — lebih cantik, lebih menyerlah, lebih diterima. Namun kesedaran datang apabila dia menyedari bahawa kepuasan orang lain tiada penghujungnya.
“Saya mula menjadi ‘cukup’ untuk diri sendiri terlebih dahulu.” Penetapan boundaries menjadi titik perubahan besar. Nadia belajar bahawa menjaga jarak bukan tanda sombong, tetapi satu bentuk penghormatan terhadap diri sendiri. “Orang akan melayan kita mengikut cara kita benarkan mereka melayan kita.”
Belajar Bergerak Perlahan, Tetapi Tidak Hilang Arah
Jika dahulu Nadia melihat dirinya sebagai seseorang yang perlu sentiasa membuktikan sesuatu, hari ini perspektif itu berubah sepenuhnya. Perjalanannya kini lebih tentang pembelajaran dan memberi manfaat, bukan sekadar untuk dilihat. Satu kepercayaan lama yang dilepaskannya ialah idea bahawa kejayaan memerlukan melakukan segalanya. Kini, Nadia percaya pada kualiti berbanding kuantiti — dan yang paling penting, rehat juga adalah sebahagian daripada kejayaan. Tentang growth yang perlahan tetapi konsisten, Nadia mengakui ramai sering salah faham. “Perlahan bukan bermaksud gagal. Seperti pokok, akar yang kuat memerlukan masa untuk tumbuh ke dalam tanah sebelum ia boleh meninggi dengan stabil. Consistency beats intensity.”

Memilih Kerja Dengan Niat Dan Makna
Dalam memilih projek hari ini, Nadia semakin jelas dengan apa yang tidak boleh dikompromi. Naskhah mesti mempunyai jiwa dan mesej — bukan sekadar lakonan kosong. Persekitaran kerja yang positif juga menjadi keutamaan demi kesihatan mental. Baginya, peluang yang “menarik” dan peluang yang “bermakna” sangat berbeza. Yang pertama mungkin memuaskan ego atau memberi populariti segera, tetapi yang kedua mencabar bakat, menyentuh hati penonton dan memberi impak jangka panjang. Kepada wanita muda dalam industri kreatif, Nadia berharap mereka tahu bahawa nilai diri tidak ditentukan oleh jumlah tawaran kerja atau pengikut di media sosial. Bakat dan sikap kerja yang baik akan membawa seseorang lebih jauh daripada rupa paras semata-mata.
Wanita yang Tahu Bila Perlu Berhenti
Menjadi wanita yang kuat, bagi Nadia, bukan tentang membuktikan apa-apa. Ia tentang keselesaan dengan kelemahan sendiri dan keberanian untuk jujur dengan diri sendiri. Belajar berkata tidak tanpa rasa bersalah juga satu proses penting. “Setiap kali saya berkata ‘Ya’ kepada perkara yang saya tidak mahu, saya sebenarnya berkata ‘Tidak’ kepada kesejahteraan diri sendiri. ‘Tidak’ adalah satu ayat lengkap.” Dalam dunia yang sentiasa membandingkan wanita, Nadia melindungi keyakinan dirinya dengan mengurangkan scrolling tanpa tujuan dan kekal fokus pada laluannya sendiri. Media sosial, katanya, hanyalah highlight reel — bukan realiti penuh.

Di Mana Segalanya Bermula Semula
Jika Nadia hari ini boleh bercakap dengan dirinya sepuluh tahun lalu, pesannya ringkas tetapi penuh makna: “Breath, girl. Everything will be okay.” Jangan terlalu keras dengan diri sendiri — perjalanan ini panjang dan indah. Hari ini, perkara yang paling diutamakan ialah tidur yang cukup, masa berkualiti bersama keluarga, dan hubungan spiritual dengan Tuhan — sumber tenaga yang suatu ketika dahulu mungkin diketepikan demi kerja.
Dan bagaimana Nadia ingin dikenang, bukan sebagai selebriti, tetapi sebagai manusia? “Saya ingin dikenang sebagai seseorang yang baik hati, membawa tenaga positif, dan tidak pernah berputus asa untuk menjadi versi terbaik dirinya — seseorang yang membuatkan orang lain rasa dihargai.” Dalam kesenyapan itulah, evolusi sebenar berlaku. Nadia Brian tidak menjadi lebih lantang. Dia menjadi lebih jelas — dan di situlah kekuatannya hari ini.
Nadia Brian tampil dalam helaian sporty yang menekankan kekuatan, keselesaan dan fokus — keseluruhan look boleh didapati di ANTA Malaysia, menerusi laman rasmi mereka di my.anta.com



















.gif)

Apa pandangan anda?