Tanggal 28 Mei 2021, saya bangun tidur seperti biasa. Solat Subuh dan kemudian bersiap untuk morning walk yang saya lakukan setiap hari sejak beberapa bulan lalu. Saya tinggal di Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri. Keluar dari lif pagi itu, suasana hening dan rasa lain daripada biasa. Siapa tahu bahawa pagi itu adalah PKPD hari pertama untuk penduduk Blok C dan D Sri Penara.
Ya biasanya keadaan di luar lif setiap pagi akan sedikit sibuk. Orang keluar bekerja, pakcik-pakcik akan ke kebun yang mereka usahakan di tanah kosong berhanpiran pangsapuri ini dan akan ada juga makcik-makcik yang tergesa-gesa mahu ke Hero berdekatan untuk membeli barang keperluan. Tetapi pagi itu, heningnya lain macam. Seperti ada aura suram dan sedikit tegang di kawasan lif.
Ada tiga jalan keluar dari lobi lif untuk ke tempat letak kereta. Saya terkejut pabila saya mahu mengambil salah jalan keluar, yang saya nampak hanya kawat duri menghalang jalan. Saya keliru tetapi ada sedikit kesedaran bahawa mungkin kah pangsapuri saya diletakkan di bawah PKPD? Saya cuba pergi ke jalan keluar lain dan di situ ada meja menutup jalan keluar. Di sekelilingnya beberapa pegawai polis dan askar sedang berkumpul.
Turun bersama saya tadi dari lif sepasang suami isteri yang juga mahu keluar. Mereka menghampiri pegawai-pegawai di meja dan menunjukkan surat hospital. Mereka perlu ke hospital untuk pemeriksaan berkala. Salah seorang pegawai polis di situ menjawab, “Tak boleh encik. Awak kena hubungi hospital dan dan tukar tarikh pemeriksaan. Blok ini di bawah PKPD.” Saya semakin terpinga. Antara sedar bahawa kawat duri otu bermakna PKPD dengan pelbagai persoalan yang muncul di kepala, mengapa kita diletakkan di bawah PKPD, apakah saya tidak dapat pergi morning walk saya, saya harus membatalkan jadual memasak untuk pelanggan saya dan pelbagai lagi persoalan lain.
Saya hanya mampu bertanya, “PKPD ke?” kepada pegawai polis tadi. Dia menjawab, “Ya, blok C dan D di bawah PKPD. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan dua blok ini diletakkan di bawah PKPD. Jadi tiada sesiapa boleh keluar dari sini.” Saya bingung. Dalam kepala saya berkecamuk pelbagai persoalan tetapi saya tak mampu nak meluahkan kepada pegawai polis tersebut lalu saya memutuskan untuk naik sahaja ke rumah.
Seminggu Sebelum PKPD Hari Petama…
Kedai runcit yang selalu saya pergi untuk membeli barang-barang dapur ada hari dibuka dan ada hari ia ditutup. Saya dengar juga ura-ura ada kes COVID-19 dikesan di blok D. Tapi saya tak fikir ia serius (banyak jumlahnya) kerana sekarang ini di mana-mana pun memang ada kes. Jadi saya tidak berapa menghiraukan sangat. Walaupun dalam hati saya sudah terbetik bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan di pangsapuri saya.
Dua hari sebelum PKPD hari pertama, semua kedai di blok D tutup. Fikir saya, “Ah mungkin mereka perlu tutup kerana kes di blok D semakin meningkat.” Saya sama sekali tidak menyangka ia akan sampai ke tahap perlu diletakkan di bawah PKPD.
PKPD Hari Pertama
Dari rumah saya (tingkat 14) saya boleh lihat dari tingkap khemah-khemah sudah didirikan di pintu masuk 2. Pegawai-pegawai polis berlegar-legar dan di pintu masuk memang diletakkan sekatan polis. Saya juga boleh nampak kawat duri yang dipasang di blok D mengelilingi seluruh blok. Barulah saya sedar ini perkara serius. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermaksud, penduduk tidak dibenarkan keluar sama sekali dari kawasan perumahan walaupun untuk membeli barangan keperluan rumah.
Kawat duri dipasang untuk tujuan menghalang pergerakan penduduk (sama seperti yang dilaksanakan di Petaling Jaya). Bekalan makanan akan dihantar ke setiap rumah. Hanya itu sahaja yang saya tahu tentang PKPD. Ini sesuatu yang baru buat saya. Tentang SOP untuk kawasan di bawah PKPD juga saya tidak tahu sama sekali. Jadi seluruh pagi hari pertama PKPD itu saya habiskan dengan berbual dengan beberapa teman tentang PKPD. Saya memaklumkan kepada mereka bahawa saya kini berada di bawah PKPD dan mereka berkongsi dengan saya artikel dan Youtube temubual tentang PKPD di Sri Penara ini.
Saya juga mula menghubungi beberapa individu untuk memaklumkan mereka tentang hal-hal kerja yang perlu ditangguhkan kerana saya berada di bawah PKPD. Sekitar tengah hari, saya masih tidak dapat mendaftarkan dalam kepala dan menerima bahawa kawasan rumah saya di bawah PKPD. Ini kerana saya tidak sempat bersedia untuk keadaan ini terjadi. Pengumumannya dibuat sehari sebelum itu, pada tanggal 27 Mei 2021 melalu akhbar Harian Metro (seperti link di atas) tetapi kerana saya tidak perasan akan artikel tersebut maka, saya sama sekali menyangka dan bersedia.
Saya tidak sempat membeli stok makanan untuk tempoh 12 hari (tentunya). Mujur juga saya bekerja dari rumah jadi tidak banyak persediaan dan penyelenggaraan tempat kerja perlu dilakukan. Tetapi bagaimana dengan penduduk lain yang pastinya perlu menyelesaikan banyak urusan-urusan berkenaan perkara yang saya sebut tadi. Terutamanya yang berkeluarga.
Malah sehingga malam, saya tak henti-henti berbual dengan teman-teman rapat tentang hal ini hanya untuk membuat saya faham dan menerima situasi ini.
Senarai Semak PKPD Yang Perlu Kamu Lakukan
1
Hubungi dan maklumkan ahli keluarga atau teman rapat tentangnya. Ini supaya mereka tahu keadaan kamu dan boleh membantu mana-mana yang perlu terutamanya dari segi keperluan makanan dan harian. Ini kerana PKPD tidak akan diumumkan awal kerana tidak mahu penduduk lari ke tempat lain untuk mengelak PKPD. Ini akan mengakibatkan penyebaran COVID-19 yang tidak terkawal.
2
Selenggarakan semua hal berkenaan kerja dan tempat tinggal yang perlu. Maklumkan majikan dan teman sepejabat supaya mereka boleh membantu atau mengambil alih mana-mana kerja yang tidak dapat kamu laksanakan dari rumah. Mungkin akan ada yang tidak membawa pulang laptop atau dokumen-dokumen penting kerja pulang jadi mungkin kamu perlu meminta bantuan teman sekerja untuk menghantarnya kepada kamu.
3
Pastikan bekalan makanan cukup untuk tempoh yang panjang. Dalam kes saya, tempoh PKPD ialah 14 hari jadi saya bahagikan kepada tujuh hari dan tujuh hari. Minta bantuan teman atau ahli keluarga untuk menghantar bekalan makanan kepada kamu. Saya meminta teman menghantar bekalan untuk tujuh hari dahulu. Rancang juga jadual penghantaran makanan untuk sepanjang tempoh ini.
Ambil sebanyak yang kamu perlu untuk menerima keadaan ini terutama pada hari pertama PKPD
4
Jangan terlalu memikirkan akan pelbagai kemungkinan yang akan terjadi kepada kamu sebagai penduduk dalam kawasan PKPD. Ini akan merunsingkan lagi kepala kamu dan tidak sihat untuk mental. Cuma fokuskan kepada apa yang perlu kamu lakukan untuk memudahkan perjalanan hidup kamu sepanjang tempoh PKPD sahaja. Kerana itu yang paling utama kamu perlu lalui ketika ini.
5
Cari cara untuk memenuhkan masa kamu sepanjang tempoh PKPD. Fikirkan aktiviti-aktiviti yang boleh kamu lakukan seperti mengemas rumah, home workout, menonton siri TV kegemaran, memasak, menjahit, menyusun semula gerobok atau ada pelbagai lagi aktiviti lain yang boleh kamu laksanakan dalam tempoh ini. Dapatkan idea daripada media sosial atau Youtube. Inilah masanya untuk kamu mencari ilham dan membuat perkara yang tidak sempat kamu lakukan sebelum ini.
6
Ambil sebanyak yang kamu perlu untuk menerima keadaan ini terutama pada hari pertama PKPD. Antara rasa terkejut dan keliru itu biasa akan hinggap dalam diri. Tak mengapa. Usah panik atau gusar. Hanya ambil masa untuk menerimanya. Berbual lah semahunya dengan teman-teman atau ahli keluarga untuk membincangkan perkara ini. Kerana melalui perbualan dan perbincangan akan membantu kamu menerima situasi ini. Dan ingat! Jangan terlalu serius memikirkannya!!!
Apa pandangan anda?