
Ceritakan mengenai diri kamu?
Nama sebenar saya Syarif Kamarul Husin, Daeng itu sebenarnya nama abang saya. Sedari kecil saya sentiasa rasa nama abang saya sangat menarik, jadi pun meminjamnya untuk diletakkan pada akaun platform Instagram saya. Saya rasa saya lebih dikenali sebagai pencipta kandungan hiburan seperti, komedi, nyanyian dan sebagainya. Tapi fokus saya sekarang adalah lebih kepada komedi. Dan dalam saya menghasilkan kandungan yang lucu ini, pengikut saya patut tahu yang saya sebenarnya sangat pemalu orangnya. Saya orang yang introvert secara realitinya dan saya bukanlah ‘tidak tahu malu’ seperti yang saya hidangkan di media sosial.
Mengapa tidak fokus pada nyanyian, memandangkan di bio kamu tertera sebagai Musician/Band?
Mungkin dari segi ‘timing’, maksud saya bukan masanya lagi. Memang ada tawaran untuk bekerjasama dan sebagainya, tapi timing selalunya tidak kena. Dan jika diberi peluang saya lebih ingin mencuba bidang lakonan, kerana saya rasa bakat lakonan lebih mudah untuk diasah berbanding nyanyian. Jadi saya sebenarnya cuba mengimbangkan minat dan usaha juga.

Selalunya kandungan yang kamu hasilkan adakah ia lebih spontan atau perlu dirancang terlebih dahulu?
Apabila melibatkan klien, sememangnya kandungan itu perlu dirancang, tetapi selalu kalau kandungan komedi, idea datang secara spontan. Itulah yang menarik. Dan saya memang lebih selesa menghasilkan kandungan yang lebih spontan, saya rasa apabila kita mahu menghasilkan sesuatu yang kelakar, terlebih dahulu kita mesti experience terlebih dahulu dan rasa ia lucu, barulah ia akan connect dengan penonton.
Di mana kamu lima tahun akan datang?
Sejujurnya saya tidak pernah meletakkan satu ekspektasi yang tinggi dan jauh pada diri saya, kerana saya akan buat apa yang termampu untuk cukupkan keperluan saya dan keluarga saya. Sudah tentu saya adalah impian untuk memulakan perniagaan dan sebagainya tapi, itu terserah pada rezeki juga. Tidak dinafikan penat sebenarnya menjadi pencipta kandungan, setiap hari perlu memikirkan apa yang trending dan sebagainya. Tapi itulah, bila fikir-fikir balik, kerja apa yang tidak penat betul? Yang pasti, I’ll go with the flow, dan terus bekerja untuk diri saya dan keluarga.
Siapa inspirasi kamu?
Kalau bercerita mengenai inspirasi saya untuk mula menjadi pencipta kandungan ini saya rasa tiada yang spesifik. Tapi semuanya bermula dengan lifestyle saya. Saya bukanlah lahir dari keluarga yang senang. Kakak dan abang saya yang menanggung saya ketika belajar dahulu, jadi saya selalu rasa seperti saya membebankan mereka. Jadi apabila saya terbaca sebuah artikel di akhbar mengenai seorang influencer ini menjana pendapatan sebanyak RM10,000 dalam sebulan hanya dengan mencipta kandungan di media sosial, saya terus mendapat motivasi untuk melakukan benda yang sama. Jadi saya hubungi kawan saya, dan katakan ingin ‘shoot content’, kawan saya pun terus setuju dan bawa saya menaiki motor untuk ke rumah dia yang lebih estetik, maklumlah dulu kami tiada rumah, hanya menumpang di rumah atuk yang mana rumah kampung, tidaklah berhias mana.

Apa fokus kamu sekarang?
Saya rasa planning saya seterusnya mungkin mula aktif nyanyian kemudian cuba untuk ceburi bidang lakonan. Bagi saya strategi itu penting, saya ingin menjadi seorang pelakon yang boleh menyanyi. Saya akan mula dengan nyanyian kerana saya tahu suara saya tidaklah begitu ‘power’, jadi apabila saya berlakon orang akan mengkritik hanya bab nyanyian saya sahaja. Berlakon kalau tidak begitu pandai, sekurang-kurangnya boleh masuk ke kelas dan sebagainya. Tapi nyanyian memang bergantung pada lunak suara bukan? Dan saya akui suara saya biasa-biasa sahaja, bakat lakonan itu boleh diasah lagi.
Sekiranya kamu serius di bidang nyanyian, apakah genre lagu yang ingin dibawa?
Mungkin balada, tapi jika betul-betul ada peluang, saya ingin mencuba genre lain sikit seperti emo. Saya cukup menggemari kumpulan My Chemical Romance. Jadi saya teringin untuk membawa genre yang sebegitu.
Mengapa kamu menyertai Fresh Face 2026?
Saya memang sudah lama untuk mencuba hasilkan kandungan fesyen, jadi ini membuka peluang saya untuk menghasilkan profil yang lebih versatile. Sekarang pun saya sudah mula menjaga estetik posting saya, agar lebih kemas dan menarik lebih ramai pengikut juga klien.
Photographer: Edmund Lee
Videographer: Jufri Jamaludin
Stylist: Azreezal Hafidz
Teks: Izzati Saadin
Makeup: El Manda Zuhairy
Rambut: VV Chan mengunakan Schwarzkopf Taft
BACA: Fresh Face 2025 : Ivan









.gif)

Apa pandangan anda?