Posted on June 19, 2025

Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Hai! Nama penuh saya Shahrul Izwan, tapi kebanyakan orang mengenali saya sebagai Ivan. Nama ini sebenarnya diberikan oleh nenek saya yang berketurunan India – beliau mahukan saya mempunyai nama yang berunsur Inggeris. Jadi, sejak zaman sekolah lagi saya sudah terbiasa menggunakan nama Ivan. Pernah juga saya cuba perkenalkan semula nama asal saya, Shahrul, tapi rata-rata lebih selesa memanggil saya Ivan. Saya kini berusia 34 tahun. Dilahirkan di Sabah, dibesarkan di Johor dan sekarang menetap di Kuala Lumpur sebagai pencipta kandungan sepenuh masa.
Apa cabaran paling besar jadi pencipta kandungan sepenuh masa dan apa yang buat kamu terus semangat hari-hari?
Cabaran paling besar bagi saya ketika ini adalah jumlah pencipta kandungan yang semakin ramai. Tapi secara jujur, saya tidak menganggap ia sebagai satu persaingan kerana bidang ini sangat luas dan setiap orang ada niche serta audiens masing-masing. Yang lebih mencabar sebenarnya adalah bagaimana untuk kekal relevan dan bertahan dalam industri yang sentiasa berubah ini.
Perjalanan saya tidak mudah pada awalnya – banyak yang perlu saya belajar dan lalui. Tapi dengan usaha yang konsisten dan keyakinan terhadap apa yang saya lakukan, saya akhirnya berjaya menjadikan ini sebagai kerjaya sepenuh masa. Apa yang membuatkan saya terus bertahan hingga ke hari ini adalah keyakinan penuh bahawa inilah sumber rezeki saya. Rasa syukur dan semangat untuk terus berkongsi juga menjadi dorongan utama saya setiap hari.

Boleh kongsikan bagaimana cara kamu mendapatkan inspirasi apabila kehabisan idea untuk menghasilkan kandungan?
Sebagai pencipta kandungan yang banyak berkongsi tentang gaya hidup, pelancongan, fesyen dan kecergasan – sudah tentu ada masanya saya buntu atau kehabisan idea. Tapi selalunya, saya akan kembali kepada rutin mencari inspirasi daripada pelbagai sumber — antaranya media sosial, video dokumentari, perbualan harian, mahupun pengalaman peribadi yang mungkin nampak biasa tetapi sebenarnya sangat relatable untuk dikongsikan.
Saya juga suka lihat cara pencipta kandungan dari luar negara menghasilkan karya mereka – bukan untuk meniru, tapi untuk memahami bagaimana mereka menyampaikan mesej dengan cara yang kreatif. Kemudian, saya olah idea-idea tersebut mengikut gaya dan identiti saya sendiri agar ia kekal autentik dan dekat dengan audiens saya. Bagi saya, inspirasi boleh datang dari mana-mana, asalkan kita sentiasa peka dan terbuka untuk belajar sesuatu yang baru setiap hari.
Tempat paling tak dijangka yang pernah buat kamu jatuh cinta semasa travel dan kenapa?
Tanpa ragu, saya pilih Kedah! Saya baru saja pulang dari sana dua hari lepas. Walaupun ini bukan kali pertama saya ke Kedah, sebelum ini saya tak pernah betul-betul luangkan masa untuk meneroka negeri ini secara menyeluruh. Tapi minggu lalu, saya berpeluang habiskan lima hari menjelajah beberapa kawasan – dan terus jatuh cinta.
Saya sempat melawat Baling, Alor Setar dan Sedim, tetapi yang paling mengejutkan saya adalah Gunung Jerai. Pada awalnya, saya sangka ia cuma lokasi untuk mendaki. Tapi rupa-rupanya, ada chalet yang selesa, ladang strawberi, kafe menarik dan kemudahan lengkap yang menjadikan pengalaman di sana begitu luar biasa. Pemandangan dari atas Gunung Jerai sangat mempesona — kabus yang menyelimuti pergunungan dan udara sejuk yang menyegarkan memberi rasa tenang yang sukar digambarkan. Jujurnya, saya tak sangka negeri yang sering dikaitkan dengan sawah padi ini menyimpan begitu banyak keindahan yang belum ramai terokai.

Tiga benda yang wajib ada dalam bag ketika melancong?
Mesti ada telefon bimbit, tripod dan powerbank! Telefon bimbit bukan saja penting untuk ambil gambar dan rakam video, tapi juga sebagai alat navigasi dan sumber rujukan sepanjang perjalanan. Tripod pula membantu saya ambil gambar sendiri dengan lebih kreatif, terutamanya bila travel secara solo atau nak hasilkan kandungan yang kemas. Dan sudah tentu powerbank – lifesaver bila bateri hampir habis di tengah jalan! Tanpa tiga benda ni, memang rasa macam ‘incomplete’ bila travel.
Kamu seorang yang lebih aktif pada waktu pagi atau malam apabila bersenam & apakah rutin kecergasan yang paling sesuai dengan gaya hidup kamu ketika ini?
Saya lebih selesa bersenam pada waktu malam. Mungkin ini hanya tanggapan peribadi — saya sendiri tak pasti sejauh mana kebenarannya — tapi saya selalu rasa waktu malam adalah masa terbaik untuk ‘balas balik’ semua kalori yang saya ambil sepanjang hari. Ia juga jadi semacam me time untuk saya selepas seharian bekerja. Rutin kecergasan saya sekarang agak konsisten — saya akan berjoging sekitar 10 kilometer setiap hari. Ia bukan sekadar untuk kekal cergas, tapi juga memberi ruang untuk saya tenangkan fikiran dan reset semula mental sebelum masuk ke hari yang baru.

Apakah jenis workout yang paling kamu gemari? — weight training, HIIT, atau lebih kepada functional fitness?
Saya paling gemar senaman kardio, terutamanya berlari dan berjoging. Aktiviti ini bukan sahaja membantu saya kekal cergas, tapi juga beri kesan positif pada mental – rasa bebas dan tenang setiap kali berlari. Walaupun sekali-sekala saya turut lakukan latihan beban (weight training) untuk seimbangkan kekuatan otot, saya tetap lebih cenderung kepada kardio kerana ia lebih serasi dengan gaya hidup saya yang aktif dan dinamik.
Writer : Syafiqah Alkaf
Art Director: Merrissa Emilda
Project Manager : Ija Rahman
Studio : Peeking Visuals
Photographer/Videographer : Kelemayar Studio & Peeking Visuals
Videoeditor : Kelemayar Studio
BTS Videographer : Jordi Harris
Stylist: Ben Ong/ETC Smiles
Solekan : Barenbliss Malaysia
Rambut : El Manda Zuhairy
Apa pandangan anda?