
Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Hai, nama saya Zzal. Saya seorang yang sederhana, tetapi cukup aktif dan sangat menghargai gaya hidup sihat. Setiap kali ada masa terluang, saya akan manfaatkannya dengan aktiviti fizikal – sama ada ke gim, berjoging, atau melakukan apa sahaja yang boleh kekalkan tenaga dan keseimbangan kesihatan tubuh dan minda. Perjalanan saya di media sosial bermula dengan niat yang sangat peribadi — sekadar berkongsi rutin dan perkembangan diri sendiri sebagai bentuk motivasi.
Ia menjadi seperti diari digital yang membantu saya kekal konsisten dengan gaya hidup sihat. Namun tanpa saya sedar, kandungan tersebut mula mendapat perhatian dan memberi inspirasi kepada orang lain juga. Dari situlah saya mula melihat potensi yang lebih besar dalam perkongsian saya. Ia bukan lagi sekadar untuk diri sendiri, tetapi juga sebagai dorongan kepada mereka yang ingin memulakan atau kekal dalam perjalanan kesihatan mereka. Sejak itu, minat saya untuk terus mencipta dan berkongsi kandungan semakin berkembang – kerana saya percaya, jika satu video atau satu mesej boleh mengubah hari seseorang jadi lebih baik, itu sudah cukup berbaloi.

Apakah isi kandungan yang kamu ketengahkan melalui media sosial kamu dan mengapa?
Kandungan saya lebih tertumpu kepada topik kecergasan seperti rutin senaman, tips workout, penyediaan makanan sihat, serta sedikit perkongsian mengenai kesihatan mental. Saya suka berkongsi sesuatu yang jujur dan mudah untuk difahami agar ia boleh memberi inspirasi kepada orang lain untuk memulakan perjalanan kesihatan mereka tanpa rasa terbeban. Saya percaya setiap langkah kecil itu penting dan saya mahu tunjukkan bahawa menjaga diri bukanlah sesuatu yang mustahil, malah boleh menjadi satu gaya hidup yang menyeronokkan.
Apa mesej yang kamu harap orang rasa atau faham setiap kali mereka menonton kandungan yang kamu hasilkan?
Saya mahu orang tahu bahawa sesiapa sahaja boleh mula menjaga diri, tidak kira bentuk badan atau tahap kecergasan sekarang. Yang paling penting adalah usaha dan keberanian untuk bermula, walaupun langkah pertama itu kecil. Jangan biarkan rasa malu atau keraguan menghalang kamu untuk berubah. Setiap perjalanan bermula dengan satu langkah dan dengan konsistensi, perubahan positif pasti akan berlaku. Jaga diri bukan sekadar tentang penampilan, tetapi juga tentang kesihatan fizikal dan mental yang lebih baik. Jadi, marilah kita sama-sama mulakan hari ini!

Bagaimana cara kamu paksa diri untuk kekal konsisten buat ke gim?
Setiap kali saya teringat kenapa saya mula berjinak dengan gaya hidup sihat, ia selalu berkisar pada keinginan untuk jadi lebih kuat, sihat dan merasakan kepuasan selepas setiap sesi workout. Memang tak dinafikan, ada masa rasa malas datang tiba-tiba. Tapi bila saya dah sampai di gim, perasaan itu terus hilang. Rasa puas dan tenang yang saya dapat selepas bersenam membuatkan saya sentiasa bersemangat untuk teruskan perjalanan ini. Itulah sebabnya saya tak pernah menyesal dan sentiasa berusaha untuk kekal konsisten, kerana saya tahu setiap usaha kecil itu membawa saya lebih dekat ke arah kehidupan yang lebih sihat dan cergas.
Apakah nasihat kamu untuk mereka ingin mula ke gim, tetapi berasa segan atau kurang keyakinan diri?
Perasaan ragu dan itu memang biasa, semua orang pernah rasa. Tapi yang penting, jangan biarkan itu halang kamu untuk mula. Semua orang di gim pun bermula dari tahap yang sama – tiada yang terus pandai atau kuat. Jadi, fokus pada perjalanan sendiri dan jangan cepat putus asa. Lama-kelamaan, ia akan jadi sebahagian daripada rutin harian kamu. Bila dah terbiasa, kamu akan mula nikmati prosesnya dan hasilnya pun akan mula nampak. Teruskan usaha, kerana setiap langkah kecil itu membawa perubahan besar.

Apakah kaitan antara penjagaan fizikal dan kesihatan mental bagi kamu?
Bila badan sihat, minda juga jadi lebih tenang dan fokus. Bagi saya, workout bukan sekadar aktiviti fizikal, tapi satu bentuk terapi yang sangat berkesan. Selepas melalui hari yang penuh tekanan, melakukan senaman membantu melepaskan segala beban dalam fikiran, membuatkan saya rasa lega dan segar semula. Dengan tubuh yang cergas, saya dapat lakukan aktiviti harian dengan lebih bertenaga dan positif. Jadi, workout bukan hanya untuk kesihatan fizikal sahaja, tetapi juga untuk kesejahteraan mental dan emosi.
Kalau boleh pilih satu lagu untuk semua sesi workout — lagu apa yang wajib ada dalam playlist gim kamu?
‘Till I Collapse’ oleh Eminem memang lagu wajib saya setiap kali nak push diri lebih kuat semasa workout. Rentak dan liriknya seolah-olah menyuntik tenaga, terutama ketika badan dah letih tapi fikiran perlu kekal fokus. Lagu ini ibarat ‘boost’ tambahan yang membuatkan saya enggan berhenti, meskipun sedang penat. Setiap kali mendengarnya, saya rasa semangat baru untuk terus berusaha dan mencapai sasaran senaman. Ia bagai sumber motivasi terbaik untuk beri ‘extra power’ sepanjang latihan!

Writer : Syafiqah Alkaf
Art Director: Merrissa Emilda
Project Manager : Ija Rahman
Studio : Peeking Visuals
Photographer/Videographer : Kelemayar Studio & Peeking Visuals
Videoeditor : Kelemayar Studio
BTS Videographer : Jordi Harris
Stylist: Ben Ong/ETC Smiles
Solekan : Barenbliss Malaysia
Rambut : El Manda Zuhairy
Apa pandangan anda?