
Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Nama saya Shelen, berusia 26 tahun dan berasal dari negeri di bawah bayu – Sabah. Secara profesional, saya bekerja sepenuh masa sebagai seorang doktor gigi di sektor kerajaan. Namun di luar waktu klinik, saya juga aktif sebagai pencipta kandungan di media sosial. Minat saya terhadap dunia kreatif mendorong saya untuk berkongsi pelbagai jenis kandungan secara konsisten – sama ada berkaitan gaya hidup, kesihatan, kerjaya, mahupun rutin harian yang lebih peribadi.
Saya percaya media sosial boleh menjadi ruang positif untuk memberi inspirasi, mendidik dan dalam masa yang sama, menunjukkan sisi berbeza diri saya yang mungkin orang tak jangka daripada seorang doktor gigi. Bagi saya, keseimbangan antara kerjaya profesional dan ekspresi diri secara kreatif adalah sesuatu yang sangat penting – dan saya bersyukur kerana dapat menjalani kedua-dua dunia ini dengan penuh semangat.

Boleh kongsikan bagaimana kamu mula dan terus berkembang sebagai pencipta kandungan?
Perjalanan saya sebagai pencipta kandungan sebenarnya bermula secara organik ketika saya masih bergelar pelajar universiti. Pada waktu itu, saya mula berkongsi video secara suka-suka – sekadar ruang untuk meluah dan mengekspresikan diri di tengah kesibukan menyiapkan ijazah dalam bidang pergigian. Tak sangka, kandungan yang saya hasilkan mula menarik perhatian ramai, dan dari situlah segalanya bermula. Walaupun saya sangat komited terhadap pelajaran, saya tidak mahu meminggirkan sisi kreatif dalam diri.
Saya percaya kita boleh berjaya dalam lebih daripada satu bidang, asalkan tahu mengurus masa dan keutamaan. Kini, saya rasa sangat bersyukur kerana dapat menjalani dua dunia yang sangat saya cintai – sebagai doktor gigi dan juga pencipta kandungan. Sebagai content creator, saya suka berkongsi pelbagai perkara yang dekat dengan diri saya – daripada solekan, ulasan makanan, gaya hidup, sehinggalah kepada cabaran harian sebagai individu bekerja. Bagi saya, ia bukan sekadar tentang mencipta kandungan, tetapi tentang berkongsi nilai dan mencipta hubungan dengan komuniti yang mengikuti perjalanan saya. Saya rasa inilah yang menjadikan dunia pencipta kandungan begitu bermakna dan menyeronokkan.

Bagaimana kamu menguruskan masa antara dua kerjaya dan menghadapi cabaran yang ada?
Saya bekerja sepenuh masa dari 8 pagi hingga 5 petang dan jika ada waktu terluang seperti waktu makan, saya akan manfaatkannya untuk edit video atau mencari idea kandungan baru. Selepas waktu kerja, saya akan bersenam sebelum sambung edit lebih banyak video. Memang penat, tapi kerana saya lakukan apa yang saya minat, semuanya terasa lebih mudah.
Sejujurnya, kadangkala saya rasa burnout dan letih untuk menghasilkan kandungan selepas bekerja. Ada masa saya hampir berputus asa, tetapi apabila pengikut saya berkongsi yang mereka terinspirasi daripada apa yang saya buat, saya jadi bersemangat balik dan rasa semua usaha itu berbaloi untuk diteruskan.
Sebagai doktor gigi, apakah satu habit penjagaan gigi yang kamu rasa ramai orang masih terlepas pandang? Selain itu, boleh kongsikan juga mitos tentang penjagaan gigi yang perlu diperbetulkan?
Ramai orang tidak memberus gigi dengan betul, biasanya mereka hanya memberus kawasan permukaan gigi sahaja. Namun, ruang antara gusi dan gigi adalah bahagian yang sangat penting untuk dibersihkan. Jika sisa makanan di kawasan itu tidak dibersihkan dengan baik, kamu berisiko mengalami masalah gusi. Satu mitos yang sering didengar adalah ‘boleh cabut gigi tanpa pakai gigi palsu.’ Sebenarnya, jika tidak memakai gigi palsu selepas cabut gigi, kedudukan gigi lain boleh mula bergerak dan menyebabkan lebih banyak masalah.

Kamu sering berkongsi kandungan review makanan, bagaimana kamu menjaga kesihatan sambil tetap menikmati hidangan yang enah?
Kini saya lebih fokus kepada latihan peribadi di gim dan menjaga pemakanan dengan lebih teliti. Saya percaya kunci kesihatan adalah pengambilan secara sederhana – jangan paksa diri untuk makan berlebihan. Badan kita bukannya tong sampah, jadi tidak elok jika kita ‘sumbat’ apa saja tanpa kawalan. Kita perlu bijak mengawal pengambilan kalori demi kesihatan yang baik.
Apabila terlalu stres dan letih dengan kerja, apa yang biasanya kamu lakukan untuk rasa lebih lega dan bertenaga semula?
Bila tekanan kerja mula terasa dan badan serta minda mula letih, saya ada beberapa cara ringkas tapi sangat berkesan untuk membantu saya rasa lebih tenang dan bertenaga semula. Antara yang paling saya gemari ialah menonton filem – terutamanya filem yang sentimental dan penuh emosi. Saya memang cenderung kepada jalan cerita yang menyentuh hati kerana ia memberi saya ruang untuk melepaskan emosi dengan cara yang selamat dan menenangkan. Saya kurang gemar filem yang terlalu berat atau memerlukan saya berfikir terlalu banyak, kerana pada saat saya penat, saya lebih memilih sesuatu yang ringan dan mudah dicerna. Selain itu, saya juga suka menonton siri komedi seperti Friends – sesuatu yang sentiasa boleh buat saya tersenyum atau ketawa, walaupun hanya untuk seketika.

Selain daripada hiburan, saya juga akan ambil masa untuk meluangkan waktu bersama keluarga dan rakan-rakan. Kadangkala, hanya dengan berkongsi cerita atau ketawa bersama orang yang rapat pun sudah cukup untuk menyegarkan semula semangat saya. Gabungan dua perkara ini – hiburan ringan dan sokongan emosi daripada orang tersayang – adalah ‘terapi’ terbaik saya setiap kali berdepan stres.
Adakah kamu merancang untuk mencuba jenis kandungan baru di media sosial? Jika ya, apa yang ingin kamu fokuskan?
Ya, saya memang merancang untuk memperluaskan skop kandungan saya di media sosial dengan mencuba beberapa jenis kandungan baru. Salah satu yang paling saya teruja ialah kandungan berkaitan travel. Saya memang gemar meneroka tempat-tempat baru – sama ada destinasi dalam negara mahupun luar negara – dan saya ingin membawa pengikut saya ‘ikut sama’ dalam setiap pengalaman tersebut. Saya percaya setiap perjalanan ada cerita dan keunikan tersendiri yang boleh memberi inspirasi kepada orang lain untuk keluar dari zon selesa dan menghargai dunia di sekeliling mereka.
Selain travel, saya juga ingin memberi lebih fokus kepada fesyen. Ini adalah antara minat saya yang semakin berkembang, dan saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berkongsi lebih banyak tentang gaya peribadi, tip padanan pakaian, serta cara mengekspresikan diri melalui fesyen. Ia bukan sekadar tentang pakaian cantik, tetapi juga tentang keyakinan diri dan ekspresi kreativiti. Secara keseluruhan, saya ingin kandungan saya terus berkembang seiring dengan diri saya — lebih matang, lebih pelbagai dan lebih reflektif kepada siapa saya hari ini.
Writer : Syafiqah Alkaf
Art Director: Merrissa Emilda
Project Manager : Ija Rahman
Studio : Peeking Visuals
Photographer/Videographer : Kelemayar Studio & Peeking Visuals
Videoeditor : Kelemayar Studio
BTS Videographer : Jordi Harris
Stylist: Ben Ong/ETC Smiles
Solekan : Barenbliss Malaysia
Rambut : El Manda Zuhairy
Apa pandangan anda?