Posted on June 21, 2025

Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Nama saya Faa Asyiqin, tapi kebanyakan orang mengenali saya sebagai Unnieqin di media sosial. Saya berusia 29 tahun dan satu perkara yang mungkin mengejutkan ramai – saya fasih berbahasa Cina. Cuma, saya jarang gunakan bahasa itu dalam kandungan saya… mungkin sebab masih rasa segan.
Sebelum ini, saya pernah bekerja dalam sektor kerajaan, namun akhirnya saya membuat keputusan untuk mengejar minat saya sepenuhnya – iaitu sebagai pencipta kandungan sepenuh masa. Dalam masa yang sama, saya juga menguruskan perniagaan kecil saya sendiri. Sekarang, saya benar-benar menikmati fasa ini dalam hidup – lebih bebas, lebih kreatif dan lebih dekat dengan komuniti yang saya bina bersama para pengikut saya.

Apakah isi kandungan yang kamu ketengahkan melalui media sosial kamu dan mengapa?
Di media sosial, saya banyak berkongsi tentang gaya hidup, terutamanya dalam aspek fesyen dan kecantikan – dua perkara yang sangat dekat dengan hati saya. Saya percaya gaya seseorang adalah cerminan keyakinan diri dan saya suka berkongsi tips atau inspirasi yang boleh bantu orang lain untuk tampil dengan lebih yakin dan ekspresif.
Kebelakangan ini, saya juga mula fokus kepada kandungan berkaitan travelling. Saya ingin membawa para pengikut saya ‘mengembara’ bersama saya – bukan sahaja untuk berkongsi tempat-tempat menarik, tetapi juga pengalaman dan budaya yang saya temui sepanjang perjalanan. Bagi saya, media sosial adalah ruang untuk berkongsi minat dan mencipta hubungan yang tulen dengan orang ramai dan saya harap kandungan saya boleh memberi inspirasi dan sedikit kegembiraan dalam hari mereka.
Ceritakan perubahan hidup kamu setelah bergelar pempengaruh?
Secara jujurnya, tidak banyak perubahan besar yang berlaku dalam hidup saya – saya masih orang yang sama. Namun, satu perkara yang saya rasakan ialah keperluan untuk menjadi lebih peka terhadap keadaan sekeliling. Apabila kita menjadi perhatian umum, setiap perkongsian atau perbuatan akan dinilai, jadi saya belajar untuk lebih berhati-hati dalam cara saya membawa diri.
Bukan bermaksud saya perlu berpura-pura, tetapi lebih kepada menjaga imej dan menyedari tanggungjawab yang datang bersama gelaran pempengaruh. Apa yang kita kongsi boleh memberi kesan – sama ada kecil atau besar kepada orang lain. Jadi bagi saya, penting untuk tampil dengan ketulusan dan niat yang jelas, namun dalam masa yang sama berhemah agar mesej yang disampaikan memberi kesan dan nilai positif.

Jika bukan seorang pempengaruh siapa kamu sekarang?
Kalau bukan bergelar pempengaruh, mungkin saya masih bekerja dalam sektor kerajaan seperti sebelum ini. Tapi kalau bercakap tentang impian sebenar sejak kecil, saya sebenarnya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor haiwan.
Saya memang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang veterinar – saya sangat sukakan haiwan dan sentiasa tertarik dengan cara mereka dirawat, dijaga dan difahami. Walaupun laluan hidup saya kini berbeza, minat terhadap haiwan itu masih kekal dan siapa tahu… mungkin satu hari nanti saya dapat melibatkan diri dalam bidang itu dalam cara yang lain pula.
Kongsikan sedikit mengenai jenama yang kamu usahakan?
Saya mengusahakan jenama SQIN (@sqinforyou), yang memfokuskan kepada produk bibir serbaguna – berfungsi bukan sahaja sebagai solekan, tetapi juga sebagai penjagaan kulit. Saya mahu setiap produk bukan sekadar mempercantik, tetapi juga merawat. Atas sebab itu, SQIN dirumus khas agar cruelty-free dan sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit sensitif atau masalah seperti ekzema.
Keutamaan saya adalah untuk mencipta sesuatu yang selesa dipakai dan memberi manfaat jangka panjang, bukan sekadar cantik di permukaan. Saya percaya bahawa penjagaan bibir sering diabaikan, padahal bibir memainkan peranan penting dalam penampilan — bibir yang sihat dan terjaga boleh memberi keyakinan serta melengkapkan keseluruhan wajah.
Buat masa ini, saya memberi tumpuan kepada produk asas untuk bibir, namun saya memang merancang untuk meluaskan rangkaian kepada produk penjagaan kulit lain seperti serum, masker muka dan sebagainya. Ini hanyalah permulaan dan saya teruja untuk membawa SQIN ke tahap yang lebih tinggi, sedikit demi sedikit.

Siapa Celebrity Girl Crush kamu dan kenapa?
Saya sangat mengagumi Nabila Huda (@kupu_kupu). Bagi saya, dia bukan sahaja berbakat besar, tetapi juga seorang figura yang berani dan autentik. Apa yang paling saya kagumi adalah bagaimana dia begitu bangga dengan kulit sawo matang yang dimilikinya – sesuatu yang jarang diraikan secara terbuka dalam industri hiburan kita.
Sebagai seseorang yang turut memiliki tona kulit yang sama, saya pernah melalui fasa sukar semasa zaman sekolah – sering diejek, dianggap ‘kurang cantik’ hanya kerana warna kulit saya. Tetapi apabila melihat bagaimana Nabila Huda tampil dengan penuh keyakinan dan menjadikan keunikannya sebagai kekuatan, ia benar-benar memberi saya semangat. SSaya belajar untuk menerima diri saya seadanya, dan yang paling penting, untuk tidak merasa malu dengan apa yang secara semula jadi ada pada diri saya.
Pendapat kamu apakah peranan yang harus dimainkan seorang pempengaruh sebagai contoh yang baik kepada masyarakat?
Bagi saya, perkara paling asas tetapi sangat penting yang perlu dititikberatkan oleh seorang pempengaruh ialah pendidikan. Kita tidak sepatutnya mempromosikan naratif bahawa seseorang boleh berjaya atau menjadi kaya tanpa ilmu atau pelajaran. Ya, rezeki boleh datang dalam pelbagai bentuk – tetapi untuk benar-benar menjadi figura yang dihormati dan berpengaruh, kita perlu ada asas ilmu yang kukuh.
Pendidikan bukan sekadar tentang sijil atau kelayakan, tetapi tentang cara kita berfikir, bercakap, membawa diri dan berinteraksi dengan orang lain. Ia membentuk keperibadian dan kedewasaan kita sebagai individu. Saya percaya seorang pempengaruh perlu sedar bahawa setiap kandungan yang dikongsi membawa impak – sama ada kecil atau besar – kepada pengikut mereka. Tanpa asas pendidikan dan kesedaran intelektual, mudah untuk kita tersilap langkah atau menyampaikan mesej yang kurang sensitif. Sebab itu, saya rasa penting untuk kita sentiasa belajar, berfikir secara kritikal dan mengambil tanggungjawab terhadap pengaruh yang kita miliki.

Writer : Syafiqah Alkaf
Art Director: Merrissa Emilda
Project Manager : Ija Rahman
Studio : Peeking Visuals
Photographer/Videographer : Kelemayar Studio & Peeking Visuals
Videoeditor : Kelemayar Studio
BTS Videographer : Jordi Harris
Stylist: Ben Ong/ETC Smiles
Solekan : Barenbliss Malaysia
Rambut : El Manda Zuhairy
Apa pandangan anda?