Posted on June 23, 2025

Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Saya Shweta, berusia 28 tahun dan berasal dari Ampang. Selain bergelar pelakon, saya juga merupakan Miss Universe Malaysia 2019. Perjalanan saya dari pentas ratu cantik ke dunia hiburan dipenuhi dengan pelbagai cabaran – penuh turun naik yang mengajar saya erti kesabaran dan rasa syukur.
Tahun ini merupakan detik paling bermakna dalam kerjaya saya, apabila saya diberi peluang membintangi filem Keluang Man. Sebelum ini, saya juga pernah muncul dalam drama The Exchange serta sebuah filem Tamil.

Bagaimana pengalaman kamu bergelar Miss Universe Malaysia 2019?
Ia merupakan pengalaman yang benar-benar luar biasa — sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Ungkapan seperti ‘menakjubkan’ atau ‘hebat’ masih belum cukup untuk menggambarkan betapa istimewanya detik itu. Dalam tempoh dua minggu, saya berpeluang mengenali lebih 90 peserta dari seluruh dunia secara peribadi. Walaupun ia sebuah pertandingan, suasananya penuh dengan semangat persahabatan tanpa sebarang konflik.
Sokongan yang saya terima daripada rakyat Malaysia juga sangat mengagumkan. Di sana, kami tidak ditemani keluarga – tetapi rakyat Malaysia menjadi keluarga saya. Mereka memberikan semangat dan kata-kata dorongan yang sangat bermakna melalui media sosial. Saya benar-benar tersentuh dengan limpahan kasih sayang yang saya terima.
Jika masa boleh diputarkan, saya pasti ingin kembali ke saat itu. Peluang untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa adalah satu penghormatan yang tidak akan saya lupakan. Sepanjang dua minggu di sana, nama saya bukan lagi Shweta — nama saya adalah Malaysia.

Apakah satu perkara di sebalik tabir Miss Universe yang orang ramai tak tahu?
Miss Universe sebenarnya tentang darah, keringat dan air mata – dan saya maksudkannya secara literal. “Darah”, kerana kami perlu memakai kasut tumit tinggi berjam-jam lamanya, sampai melecet dan terseliuh pun pernah terjadi. Fun fact! Salah satu trik yang saya pelajari untuk elak daripada terjatuh di atas pentas adalah dengan menyembur hairspray di tapak kasut – ya, itu antara pengalaman baru yang tidak akan saya lupakan.
“Keringat” pula merujuk kepada latihan fizikal dan tekanan mental. Tak kira berapa kali kita naik pentas, setiap kali mendengar sorakan penonton, perasaan gugup itu tetap datang.
Dan “air mata” – kerana di sebalik senyuman, ada hari yang sukar. Bila dikritik, memang terasa sedih. Tapi yang lebih menyentuh hati, kadang-kadang saya menangis bukan sebab kecewa, tetapi kerana rasa terharu apabila menerima sokongan dan kasih sayang daripada orang ramai. Ramai sangka menjadi Miss Universe bermaksud dimanjakan sentiasa, tetapi hakikatnya, ada juga saat saya ditegur atau dimarahi kerana tidak memenuhi jangkaan dalam membawa nama Malaysia dan Miss Universe dengan sebaiknya.
Bagaimana pengalaman sebagai Miss Universe Malaysia memberi kesan jangka panjang dalam hidup kamu?
Apa pun yang saya capai selepas ini, tiada apa yang dapat menandingi gelaran Miss Universe. Saya masih ingat, baru-baru ini ketika menghadiri sebuah acara fun run, ada yang menegur, “Eh, Miss Universe!” Dan setiap kali gelaran itu disebut, seluruh kenangan indah sewaktu pertandingan itu seolah-olah terputar kembali dalam fikiran.
Bagi saya, Malaysia bukan sekadar tanah air tetapi sebuah keluarga. Mahkota, selempang bersama nama negara dan rakyatnya, semua terikat kuat di hati saya, seolah-olah terpahat selamanya. Ia adalah sebuah legasi yang tak boleh digantikan dengan apa pun. Tiada siapa yang boleh padamkan tahun 2019 daripada hidup saya. Saya akan sentiasa menjadi Miss Universe Malaysia 2019.

Dari mana datangnya minat untuk cuba berlakon?
Sejak kecil, saya memang meminati dunia lakonan. Saya masih ingat, setiap kali pulang dari menonton filem di pawagam – terutamanya Enchanted – saya akan terbawa-bawa dengan jalan ceritanya, seolah-olah saya sendiri adalah seorang puteri. Dunia imaginasi saya ketika itu sangat kuat, dan saya gemar membayangkan pelbagai watak serta suasana.
Namun begitu, saya tidak pernah menemui peluang untuk mengembangkan bakat tersebut… sehinggalah saya menyertai Miss Universe Malaysia. Dari situlah segalanya bermula – saya jadikan platform itu sebagai titik permulaan untuk mengejar impian dalam dunia seni.

Apakah impian kamu yang masih belum tercapai?
Impian saya adalah untuk benar-benar dikenali sebagai seorang pelakon. Mungkin saya sudah mula berlakon sekarang, tetapi apa yang saya maksudkan ialah keyakinan – apabila orang menonton lakonan saya tanpa lagi mempersoalkan kemampuan saya. Tiada lagi tanda tanya, hanya keyakinan penuh. Apabila hari itu tiba, saya tahu bahawa itulah detik di mana saya benar-benar hidup dalam impian yang selama ini saya kejar.
Bagaimana kamu mengatasi cabaran dan terus bangkit dalam kehidupan dan kerjaya?
Semasa menghadapi cabaran, saya percaya tenaga daripada saat-saat sukar itulah yang akan menyalakan semula kekuatan dalam diri saya. Kadangkala, kita perlu melalui kejatuhan terlebih dahulu untuk benar-benar mengenal potensi sebenar diri.
Bila berada di titik terendah, saya sedar masih ada banyak peluang dan pencapaian yang menanti di hadapan. Dari pengalaman tersebut, saya belajar untuk terus mengumpul ilmu, menerima setiap cabaran sebagai pengajaran, dan perlahan-lahan bangkit semula dengan lebih kuat. Itulah proses sebenar untuk membina diri dan maju ke hadapan dalam kehidupan serta kerjaya.
Writer : Syafiqah Alkaf
Art Director: Merrissa Emilda
Project Manager : Ija Rahman
Studio : Peeking Visuals
Photographer/Videographer : Kelemayar Studio & Peeking Visuals
Videoeditor : Kelemayar Studio
BTS Videographer : Jordi Harris
Stylist: Ben Ong/ETC Smiles
Solekan : Barenbliss Malaysia
Rambut : El Manda Zuhairy
Apa pandangan anda?