Posted on January 25, 2019
Pakaian: Uniqlo Musim Bunga/Panas 2019
Gambar: Chee Wei
Solekan: Fendi Sani
Pengarah Kreatif: Merrisa Emilda
Arahan Seni: Ashura Hakim
Penata Gaya: Ardi Idewani
Video: Jordi Harris
Isyraf Danish, 17 – Pelumba Kereta
1 – Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Hi semua. Nama saya Isyraf Danish, saya berumur 17 tahun dan berasal dari Selangor. Saya dilahirkan pada 19 Februari 2001, anak bongsu daripada tiga orang adik beradik. Saya seorang pelumba kereta dan kini sedang lagi berehat dan menunggu musim baharu tiba.
2- Kamu juga seorang Instafamous dan semestinya kamu punya peminat wanita yang banyak. Ada sebarang memori yang kamu tidak pernah lupakan bersama peminat wanita kamu?
Banyak sebenarnya namun yang paling tidak boleh saya lupakan sekali ialah pengalaman ketika di Indonesia. Mereka sungguh peramah sehingga memeluk saya. Mereka ini, apabila sudah mendapat tangan saya, mereka tidak mahu lepaskan. Dan jikalau peminat lelakinya pula yang bertemu saya, ada yang sampai berketar-ketar badan haha. Itu sememangnya pengalaman manis yang tidak dapat saya lupakan.
3- Jadi, kamu lebih popular di Indonesia?
Boleh dikatakan ya kerana sebenarnya saya pernah menjadi topik viral di sana menerusi aplikasi Dubsmash. Saya dulu aktif memuat naik video-video di Dubsmash. Saya pun mula dikenali ramai kerana Dubsmash sebenarnya.
4- Boleh ceritakan juga kepada kami bagaimana kamu mula-mula berminat untuk sertai sukan lumba kereta ini?
Saya mula menunjukkan minat ketika berumur 8 tahun, bermula dari sukan go kart. Ketika itu bapa saya bawa saya ke Subang Go Cart. Dan daripada situ bapa mula nampak minat dan merasakan saya punya potensi dalam sukan lumba kereta ini. Jadi pada 2015, saya mula lebih serius dan mula sertai sukan kereta formula pula.
5- Ada ahli keluarga lain yang terlibat dalam sukan ini membuatkan kamu lebih terdorong untuk sertainya?
Tiada ahli keluarga yang terlibat di dalam sukan ini. Mungkin ini adalah bakat yang lahir dari dalam diri. Hanya saya sahaja yang menunjukkan minat serius serta obses terhadap sukan ini.
6- Siapa yang paling banyak menyokong kamu dalam sukan ini?
Semestinya kedua ibu-bapa saya. Merekalah yang paling banyak membantu dan menyokong daripada setiap sudut karier saya.
7- Boleh kongsikan bersama kami, gol dalam hidup kamu yang ingin dicapai?
Saya mahu menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Itu yang penting. Jika bercakap daripada segi kerjaya, gol utama saya adalah untuk menjadi seorang pelumba kereta Formula 1 suatu hari nanti.
8- Siapakah idola kamu dalam sukan lumba kereta ini?
Tidak lain dan tidak bukan, Lewis Hamilton. Ini kerana dia pelumba kereta Formula 1 paling berjaya di dunia hari ini. Dia ialah inspirasi saya dan saya mahu menjadi seperti dia suatu hari nanti.
9- Perkara tentang diri kamu yang orang di luar sana tidak tahu.
Saya sangat sukakan makanan kampung. Terutama sekali petai haha. Dan orang juga sebenarnya tidak tahu, saya seorang yang kelakar dan suka menghiburkan keluarga ketika di rumah. Tetapi kalau di luar, saya ini seorang yang pemalu. Selain memandu, saya juga punya hobi lain seperti bermain bowling, luncur ais serta menghabiskan masa di gim. Saya juga suka mendengar muzik terutama sekali dari penyanyi kegemaran saya, Khalid.
10- Akhir sekali, sebagai seorang lelaki yang aktif bersukan, kamu ada sebarang rutin kecantikan terutama sekali penjagaan wajah?
Rutin penjagaan wajah saya sangat simple. Saya cuci wajah setiap hari dan tidak lupa untuk sapu toner di wajah. Dan kerana saya sering berada di litar dan terdedah kepada cahaya matahari yang berlebihan, saya tidak pernah abaikan rutin menyapu pelindung sinar. Kalau tidak, habislah kulit saya.
TRIVIA ISYRAF DANISH
#TeamMahathir / #TeamAnwar
Syed Saddiq / Khairi Jamaluddin
Nurul Izzah / Hannah Yeoh
Popular / Wisdom
Introvert / Extrovert
Hairy / Clean cut
YouTube/ Netflix
Apa pandangan anda?