Posted on December 16, 2019
RedRecords umum Jannine Weigel sebagai artis naungan pertama
Kumpulan AirAsia dan Universal Music Group (UMG) melancarkan RedRecords – sebuah rumah rakaman baharu yang memberi tumpuan kepada muzik A-Pop (Asia Pop) untuk pendengar serantau dan global.
Ia usahasama yang inovatif untuk memperkenalkan dan membangunkan artis-artis baru di seluruh Asia, di samping mengangkat muzik A-Pop lebih tinggi di satu platform yang sama. Usahasama tersebut diumumkan pada sidang media yang berlangsung awal bulan ini.
RedRecords akan memberi tumpuan kepada pencarian dan pembangunan bakat dari Asia Tenggara, khususnya dan seluruh Asia dengan kriteria pemilihan yang mencerminkan kepelbagaian budaya yang terdapat di benua terbesar ini.
RedRecords berpangkalan di Kuala Lumpur dan Los Angeles. Ia bakal menggabungkan kepakaran industri UMG dalam pembangunan artis dengan kekuatan pemasaran serantau dan global AirAsia untuk mengembangkan muzik A-Pop untuk kebaikan pendengar di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Pengumuman ini amat penting untuk saya. Ini tidak mungkin terjadi jika tidak kerana rakan seperjuangan saya, Kamarudin dan Nadda – yang saya temui melalui industri muzik.
Kami merevolusikan perjalanan udara supaya semua orang boleh terbang dan sempena meraikan operasi AirAsia yang ke-18 juga, kami akan memberi fokus kepada transformasi sebagai peneraju gaya hidup dan syarikat penerbangan yang berteraskan perjalanan digital.
Bagai sirih pulang ke gagang, kami kini kembali kepada industri muzik untuk merevolusikan budaya pop Asia pada masa hadapan dan meletakkannya di pentas global bersama Universal Music Group sempena pelancaran RedRecords,” ucap Tan Sri Tony Fernandes.
Kejayaan muzik Latin dan K-Pop di seluruh dunia membuktikan bahawa tiada halangan untuk muzik tanpa mengira bahasa dalam era penstriman ini. Melalui gabungan pemasaran strategik dan sumber sedia ada oleh AirAsia dan UMG, RedRecords menawarkan artis-artis Asia peluang keemasan untuk menempa nama secara global.
Ketua Bahagian Muzik Kumpulan AirAsia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RedRecords, Hassan Choudhury berkata, “Ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan potensi AirAsia dan UMG dalam perjalanan muzik.
Setelah mempunyai pengalaman bekerja bersama kedua-dua syarikat terkemuka ini, menyaksikan kekuatan mereka dalam industri masing-masing, saya berhasrat untuk menggabungkan kreativiti kedua-dua pasukan ini untuk membantu membangunkan dan mengembangkan bakat muzik yang terdapat di Asia,” katanya.
Pada masa sama di sidang media tersebut, RedRecords mengumumkan artis naungan pertama mereka – Jannine Weigel – seorang pelakon, penyanyi, penulis lirik yang berpengaruh dari Thailand. Weigel mempunyai lebih 3.3 juta pengikut di Youtube, 3.2 juta di Facebook, 1.5 juta di Instagram dan lebih 500 ribu pengikut di TikTok.
Awal tahun ini, UMG mengumumkan perkembangan operasi di rantau Asia Tenggara dengan pelancaran ibu pejabat baharu di Singapura. Di samping itu, UMG SEA turut mengumumkan rancangan untuk melanjutkan fokus dan komitmennya dalam bahasa tempatan, untuk memberi peminat pengalaman muzik terbaik di seluruh rantau ini melalui bahasa masing-masing.
Apa pandangan anda?