Posted on April 8, 2020
Semenjak berlakunya COVID-19 di Malaysia, sebut sahaja hand sanitizer, topeng muka, tisu basah, semuanya sudah menjadi benda essential setiap manusia. Seperti pisang panas, susah hendak dijumpai malah ada yang menaikkan harga tidak semena-mena. Namun, hendak saya tanya, adakah benda seperti hand sanitizer ini sesuatu yang wajib kamu beli? Kalau betul ia suatu keperluan, tahukah kamu apa itu sebenarnya hand sanitizer?
Saya terbaca di media sosial, ada di antara kita yang memiliki 1001 soalan tentang hand sanitizer ini. Dan tidak kurang masih ada yang musykil sama ada basuh tangan dengan sabun adalah lebih baik atau sekadar menggunakan produk ini sudah mencukupi. Biar saya terangkan di sini.
Sesungguhnya hand sanitizer ini membantu membunuh kuman, namun tidak dikeluarkan daripada telapak tangan kamu. Berbeza dengan basuhan tangan. Bukan sahaja sabun mampu membunuh kuman, namun aliran air membantu membuang segala kotoran dan kuman dari setiap celah jari-jemari kamu.
Adakah hand sanitizer membahayakan kulit tangan?
Jika kamu asyik sanitasi tangan, mungkin akan perasan bahawasanya tangan kamu semakin lama semakin menjadi lebih kering dan kasar. Ini kerana ia mengandungi kadar alkohol yang tinggi. Sekurang-kurangnya 60 peratus ethyl alkohol diperlukan dalam setiap hand sanitizer yang efektif. Menurut pakar dermatologi dari Amerika Syarikat, Hadley King, MD, terdapat kajian sebelum ini yang menunjukkan bagaimana sanitizer ini boleh mengganggu mikrobiom yang sihat malah sebenarnya ia lagi mendedahkan kamu kepada beberapa jenis jangkitan.
Bukan itu sahaja, cara kamu menggunakan produk ini juga harus betul. Pastikan tangan kering selepas menggunakan sanitasi ini. yang paling penting, elakkan menyentuh mata selepas menggunakan produk ini. Ia boleh memberi kesan iritasi teruk.
Bolehkah kita menyapu hand sanitizer ini sebelum menyentuh makanan?
Menurut Internis juga Ahli Gastroenterologi New York, Niket Sonpal, MD,
Kamu harus membasuh tangan sejurus menggunakan hand sanitizer, lebih-lebih lagi sebelum hendak menyentuh makanan.
Jangan risau, sesungguhnya itu adalah teknik yang betul. Bukan bermakna membasuh tangan membuatkan proses sanitasi kamu itu tadi tidak berkesan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, jika hanya sekadar sanitasi, kuman yang mati tadi masih ada di telapak tangan. Juga segala kimia dan haruman komersial yang terdapat pada sanitizer kamu itu. Dan jikalau di sekeliling kamu tiada sumber air yang boleh kamu gunakan untuk membasuh tangan, pastikan tangan kamu benar-benar kering daripada produk ini sebelum menyentuh makanan.
Dan ada juga yang bertanya, bagaimana hendak mencari hand sanitizer yang betul dan terbaik?
Carilah yang memiliki sekurang-kurangnya 60 peratus kadar alkohol. Paling baik ialah jika kamu menjumpai hand sanitizer yang memiliki 95 peratus kadar alkohol ini. kuncinya di dini ialah alkohol. Alkohol seperti ethyl alcohol mahupun ethanol. Ini antara bahan kandungan yang harus kamu cari di dalam produk ini. Jika kamu mahukan alternatif lain tanpa menggunakan alkohol, boleh cuba cari sanitizer yang memiliki bahan seperti benzalkonium chloride, namun ia tidaklah sehebat alkohol yang mana rata-rata pakar sains setuju mampu membunuh virus Corona ini.
Jangan lupa untuk pastikan sanitizer kamu berada dalam keadaan yang baik, bukan melebihi tarikh luput. Sesuatu sanitizer hanya mampu bertahan selama tiga tahun dari tarikh pembuatannya.
Terakhir sekali, jangan sekali-kali membeli sebarang produk sanitasi tangan yang tiada pengiktirafan daripada klinik mahupun farmasi (memandangkan produk ini sering habis terjual) kerana belum tentu kita tahu keberkesanannya ya.
Apa pandangan anda?