Posted on April 29, 2020
Kalau bercakap tentang trend bibir glos, pasti kepala terbayangkan nostalgia era 90-an. Bayang rona biru terang menghiasi mata, bibir bersinar tampak mungil bak Brooke Shields, kening nipis bak Gwen Stefani, ini semua terbayang di kepala. Namun, yang paling menarik perhatian saya ialah trend bibir glos ini. Jika tiga hingga empat tahun yang lalu, dunia kecantikan sibuk bercakap tentang trend bibir matte. Semua disebabkan oleh Kylie Jenner, Kat Von D, serta beberapa nama besar lagi yang mengetengahkan gincu bibir berkemasan ini. Sehinggakan pasaran lokal di negara ini juga meriah dan berpusu-pusu mengeluarkan gincu bibir matte ini. Namun trend itu sedikit demi sedikit, mulai reda. Bibir glos mula menjadi igauan peminat kecantikan. Setelah melihat ramai selebriti mula tampil dengan solekan bibir kemilau. Seperti Ariana Grande saat keluarnya muzik video “Thank You, Next” hujung tahun 2018. Bibir mungil, merah jambu lembut, berkemilau, siapa yang tidak mahukan bibir seperti itu?
Jujur saya cakap, trend bibir matte bukanlah kegemaran saya. Ditambah pula, bibir saya mudah kering dan kulit cepat terkopek, situasi bibir seperti ini memang langsung tidak sesuai untuk mengenakan gincu yang mengeringkan. Semestinya salap bibir menjadi peneman setia saya setiap kali menyarung gincu jenis ini. Namun, semenjak dua-menjak ini, apabila saya melihat semakin banyak jenama kecantikan mula mengeluarkan rangkaian gincu jenis glos, saya mula berpendapat bahawa, mungkin trend gincu glos ini bakal kembali? Setelah membuat comeback nya pada tahun 2018, adakah trend ini bakal menjadi hit tahun ini juga? Saya rasa ya.
Lihat Patrick Ta, jurusolek profesional yang sering mencantikkan Gigi Hadid, Adriana Lima dan ramai lagi, dia turut mengeluarkan rangkaian gincu bibir glos menerusi jenama kosmetiknya, Patrick Ta Beauty. Tidak cukup itu, Fenty Beauty, Milani Cosmetics, Bobbi Brown, Pat McGrath dan banyak lagi. Saya sering lihat selebriti seperti Bella Hadid, Kim Kardashian, Selena Gomez, Hailey Bieber sering menyarung gincu jenis ini.
Mungkin kerana trend kecantikan dunia hari ini yang turut terpengaruh daripada trend K-Beauty yang mana mahukan kulit gelas dan segalanya glow membuatkan trend bibir glos ini kembali. Walau apapun, jauh di sudut hati, saya amat gembira melihat comeback trend ini hari ini. Pada saya, bibir glos ini boleh digayakan oleh pelbagai bentuk bibir. Baik berbibir tebal, nipis, sarung sahaja, pasti bibir nampak mungil dan keseluruhan solekan kamu nampak manis dan nakal. Dan sekarang, ada pelbagai jenis gincu glos, ada yang berwarna, ada yang memberi efek holografik. Macam-macam! Makanya, kamu boleh gayakan baik untuk majlis formal ataupun ketika mahu berlibur. Dan setiap peringkat umur juga boleh menggayakan gincu glos ini!
5 Gincu Bibir Glos Pilihan Editor Kecantikan STAIL.MY
Tom Ford Beauty Ultra Shine Lip Gloss RM192
Bobbi Brown Crushed Oil-Infused Lip Gloss RM90
Mac Cosmetics Plenty of Pout Plumping Lip Gloss (Edisi Terhad) RM102
Fenty Beauty Gloss Bomb Universal Lip Luminizer RM93
Hourglass Unreal™ High Shine Volumizing Lip Gloss RM140
Apa pandangan anda?