Posted on August 11, 2020
Mengayunkan langkah longlai, menjadi mempelai sehari seraya mendandani diri dalam gaun perkahwinan Max Mara Bridal yang putihnya bak rona bunga srigading. Cantik, apalagi gaun perkahwinan itu diilhamkan oleh jasmani seorang penari dan disatukan dengan cita rasa moden Max Mara lantaran membingkai rekaan yang tak makan dek zaman. Bikin mata yang memerhati tak jenuh jemu memandang!
Max Mara Bridal 2020 kali ini menerokai alam seni tari – yakni dunia seni tari balet yang mempertemukan ligat penari legenda Isadora Duncan dengan kisah cinta indah di balik rintihan puteri angsa, karya Pyotr Ilyich Tchaikovsky.
Mustahil tak jatuh hati pada karya klasik ‘Swan Lake’, hasilan Pyotr Ilyich Tchaikovsky, yang dikenali sedunia. Sebuah karya yang mendekatkan pencinta-pencinta seni tari balet dengan terjemahan makna cinta terlarang, sehingga mencungkil emosi dan mencabar daya intelek. Sandiwara seni tari balet ini memberatkan kisah dambaan cinta seorang puteri angsa terhadap putera idamannya, dihidupkan dalam satu seting penuh magis, dengan kehalusan santun gerak tari yang di luar jangkaan dan jalan ceritanya melambangkan kesucian serta keutuhan kasih. Segala yang terbentuk ini menyaingi budi fikiran Max Mara, memperkayakan ia sebagai satu interpretasi untuk himpunan Bridal 2020.
Max Mara mengamati karya Tchaikovsky, memahatkan ingatannya pada kostum-kostum dalam Swan Lake – yakni rekaan skirt tutu pendek keras penari balet yang bukan sahaja kelihatan romantik, malah bak satu ‘apungan’. Max Mara memperhalusi inspirasi kostum penari balet Swan Lake itu dengan menaruh sekali satu eksperimen. Di mana ia bermain dengan aspek keringanan, kelapangan serta rasa leluasa. Inspirasi seni tari Max Mara tidak berhujung di situ sahaja. Max Mara mengaitkan lagi ia dengan sosok penari legenda, Isadora Duncan, meminjam bentuk soft peplos yang sinonim buat wanita-wanita purba Yunani.
Pengaruh seni tari balet yang mendorong Max Mara, memperlihatkan himpunan Bridal 2020 membarui tulle tradisional, bustier berbentuk hati, butiran-butiran bulu serta perincian lipatan lisu. Kemodenan yang tersisip sekali menjadikan himpunan Bridal kali ini lebih condong kepada rekaan minimal, sarat dengan kelembutan dan banyak mengolah kecantikan pada fabrik-fabrik sheer. Ia disempurnakan lagi dengan potongan baju atau gaun yang unik, butiran dasi mikro juga disertakan tali pinggang. Lantas, ia mencadangkan penggayaan si pengantin moden! Pengantin moden yang berani menyongsong arus dan tak gusar pada sifat elegan yang tak konformis serta pembaharuan stail di hari istimewanya.
Apa pandangan anda?