Posted on December 7, 2020
Huruf dan nombor baginya lebih daripada sekadar sistem tulisan juga hitungan. Jeremy Scott bukannya menggantang asap, tetapi dia mahu mencelikkan kita. Ketika kontak fizikal yang makin jauh terasa kini dan manusia pula kononnya mahu diberi berpadang luas, nyatanya kita dirangkaikan oleh satu aspek.
Aspek yang pada dasarnya bersifat maya, namun sekarang ia sudah mengusik jasmani. Terkadang memesrai hati, terkadang mengubrak-abrik fikiran. Seringkas 26 huruf dan sepuluh nombor, semuanya ada karakter tersendiri. Terserah kepada bagaimana kita mahu ‘menggunakannya’ – sebagai ungkapan pada kapsyen dalam media sosial, melahirkan kata-kata pejoratif, untuk meluahkan kebahagiaan, twit untuk bertalaran mahupun untuk menyampaikan mesej positif. Malah, sebagai tanda pagar untuk mengekspresikan sesuatu. Itulah fungsi huruf dan nombor sekarang, berubah secara drastik kerana disaingi oleh kehendak dunia digital.
Jeremy Scott menemukan ilham daripada budaya pop ini. Pertumbuhan grafik pada huruf atau nombor yang mencorakkan bahasa, masakan dia mengabaikan faktor perkembangan bahasa itu sendiri. But it’s not rocket science. Scott tidaklah terlalu mendalam, namun tak juga superfisial. Dia hanya mahu membina inspirasi menerusi citra huruf dan nombor, ‘beranekdot’ dengan kedua-dua aspek tersebut untuk himpunan lelaki Moschino Pre-Fall 2021.
Scott mengeluarkan idea huruf dan nombor ini untuk dijadikan motif berupa digit antik pada pacmen pudar sehinggalah berupa teks beraneka rona. Dia juga menyisipkan sekali motif-motif seperti keratan akhbar serta majalah yang diubah dalam rona perang bertemu biru boisenberi, yang memimik surat khabar sensasi era 80an atau 90an. Scott mengolah ia seperti satu kolaj pada seluar bermuda, kemeja juga kot.
Bernostalgia dan mengenang perkara lampau tidak terbantut di situ. Scott malah mengembalikan corak geometri klasik seperti corak petak Prince of Wales dan dia juga menunjukkan keberanian dalam mengubah corak klasik tersebut kepada rupa yang menyerupai tekstur weathered-paper.
Elemen digital yang diterapkan oleh Scott adalah tanda baca seperti tanda soal serta simbol alias dan tanda pagar bagi menterjemahkan kekinian, yang menjadi dasar ilhamnya untuk himpunan Moschino ini. Perkataan-perkataan seperti ‘Secure’, ‘Privacy’, ‘Hacked’, ‘Contents’ dan ‘Device’ – perkataan-perkataan yang menggambarkan era digital dan menyampaikan mesej tertentu tentang marcapada – diletakkan pada ceraian baju berhud, jaket puffer juga aksesori beg sandang.
Apa pandangan anda?