Posted on December 29, 2020
Berani candang. Mencabar kualiti kemaskulinan. Jeremy O’ Harris serupa tidak peduli apa orang kata tentang dirinya. Sedang yang lain bergerak sejurusan, Harris ‘berpapasan arus’. Bak penentang, Harris tidak kecut hati tampil dengan imej yang kata orang, bersifat tidak konformis.
Memadankan skirt bercorak geometri seperti corak tapak catur bersama kemeja bermotifkan organik akromatik dan kaca mata penuh berlian itu bukan satu isu baginya. Menyarung jumpsut berona seakan-akan warna buah pic, bersama durag baldu berikat pada kepala serta subang telinga dempak dan dipadankan dengan beg Telfar itu membentuk identiti stailnya. Kami membayangkan dalam hatinya pasti berkata, “Who the f**k cares?!”
Adakah Jeremy O’ Harris seyogia ‘dimahkotakan’ gelaran ikon fesyen masa kini dan untuk tahun mendatang? Hell yeah!
Buat yang tidak kenal siapa Harris, dia adalah seorang dramatis yang menghasilkan seni pentas ‘Slave Play’ – yang memecah rekod tahun ini, kerana berjaya merangkul 12 pencalonan di Tony Awards 2020. Bukan hanya dramatis serta penulis sahaja, Harris malah sudah menyenaraikan model juga aktivis dalam resume-nya dan kini, dia membabitkan diri dalam ‘menanjak banjaran baharu’ pula. Harris menjadi pereka fesyen, berkolaborasi dengan tapak sesawang e-dagang SSENSE dan memperkenalkan himpunan kapsul gender neutral – kolaborasi ini adalah sebahagian daripada inisiatif SSENSE yakni SSENSE WORKS. Menurut Harris (dalam temu bualnya bersama Vogue), himpunan kapsulnya itu diumpamakan sebagai satu monolog dan seperti cereka Phantom Thread, setiap rekaan pakaiannya tersisip sekali mesej-mesej tersembunyi.
Kerap menjadi muse kepada Alessandro Michele untuk Gucci, tidak hairan mengapa Harris dipilih menjadi wajah rasmi untuk jenama tersebut (sebaris dengan Harry Styles). Bukan kepalang mencintai fesyen, menggenggam teguh sifat individualistic, sedikit eksentrik dan selesa dengan jati dirinya mendasari pemilihan Harris sebagai wajah rasmi Gucci. Kerana citra begitulah yang Michele serta Gucci paling suka : individualistic dan eksentrik.
“Femme on top, masc on bottom, or vice versa,” kata Harris dalam menghuraikan stail peribadinya kepada GQ.
ANTARA GAYA-GAYA JEREMY O’ HARRIS YANG KAMI SUKA. #STAILAVVV!
Skirt berlisu bersama blazer & sniker
Gaya malas ketika berlibur. Cukup sekadar seluar panas, baju panas, kot & topi… bucket?
Salah satu look Harris untuk Gucci
Gaya Harris ketika menghadiri pertunjukan Thom Browne
Gaya lockdown? Jumpsut bersama durag yang berikat pada kepala dan subang telinga dempak. Love!
Selesa berskirt. Begitulah identiti gaya Harris. Gaya yang ditampilkan dalam penggambarannya bersama GQ
Apa pandangan anda?