Eeeeeee. Ada antara teman-teman kita yang ketagih fitness tracker. Setiap masa nak semak prestasi dan pencapaian. Kadang-kadang sampai buat kamu rasa eh eh takkan hidup kau untuk fitness semata-mata?
Siapa yang selalu bersenam pasti pernah dengar tentang alat senaman yang berjaya merevolusikan aktiviti kecergasan fizikal iaitu fitness tracker.
Alat yang menjadi pelengkap gaya setiap kali bersenam ini bukan sahaja boleh merekod aktiviti kamu, ia juga mampu menterjemahkan data tersebut kepada bentuk yang lebih mudah difahami.
Sebelum ini, sukar untuk mereka yang bersenam mendapatkan data yang tepat tentang jumlah langkah, jumlah larian dan juga amaun kalori yang dibakar setiap kali melakukan senaman.
Namun, dengan fitness tracker, semua informasi berkenaan kecergasan fizikal boleh didapati di hujung jari!
Semuanya di pergelangan tangan
Fitness tracker yang selalunya dipakai menggantikan jam tangan ini bukan sahaja boleh merekodkan semua aktiviti kecergasan, ia juga mempunyai pelbagai fungsi lain.
Alat ini kadangkala dilengkapi dengan personal trainer yang boleh menemani ketika larian dan ia juga boleh mengesan berapa lama kamu tidur setiap malam! Hebat bukan?
Malah, alat ini juga boleh diselaraskan dengan telefon pintar dan digunakan di samping aplikasi atas talian lain. Oleh sebab itu, kamu boleh mengakses informasi berkaitan kesihatan di mana jua kamu berada.
Walaupun fitness tracker ini amat berguna untuk membantu kita menjalani hidup yang lebih sihat, pakar pula mempunyai pendapat yang sebaliknya.
Disebabkan alat ini dilengkapi dengan sistem yang berorientasikan matlamat, ada yang rasa gelisah jika mereka tidak mampu berlari 10 km atau berjalan 10,000 langkah sehari.
Sedar tak sedar, ramai rupanya yang telah menjadi mangsa dan ‘ketagih’ fitness tracker!
Tanda kamu ketagih fitness tracker
Cuba tanya diri sendiri, adakah kamu obses dengan nombor yang dipaparkan pada skrin fitness tracker kamu?
Jika matlamat kamu hari ini adalah melengkapkan 10 kilometer larian, adakah kamu akan rasa gelisah dan resah jika tidak dapat menyarung kasut joging dan keluar berlari?
Bagaimana pula dengan jumlah langkah yang kamu lakukan hari ini? Adakah kamu sanggup berjalan dalam rumah atau berpusing-pusing di ruang tamu semata-mata ingin mencukupkan jumlah langkah harian kamu?
Jika jawapannya adalah ya, jaga-jaga, kamu mungkin ketagih dengan alat bantu senaman ini!
Mungkin bagi sesetengah orang, ‘ketagihan’ ini sesuatu yang baik.
Manakan tidak, disebabkan ‘ketagihan’ inilah mereka sanggup memaksa diri untuk bersenam lebih kuat setiap hari. Jadi, badan mereka akan jadi lebih sihat dan lebih cergas, betul tak?
Jawapannya adalah tidak.
Benar, senaman adalah sesuatu yang baik untuk badan. Namun, jika kamu melakukan semua aktiviti ini dalam keadaan sakit dan badan yang lenguh, kamu lebih berisiko untuk mengalami kecederaan pada masa akan datang.
Malah, keadaan ini juga mungkin tidak bagus untuk kesihatan mental.
Ramai pengguna alat bantu senaman ini mengakui bahawa mereka membiarkan fitness tracker mengawal hidup mereka secara keterlaluan.
Mereka juga tertekan jika tidak dapat menyelesaikan goal mereka pada fitness tracker setiap hari.
Tidak kurang juga, ada yang rasa diet mereka gagal kerana mereka makan tidak mengikut cadangan yang diberikan oleh alat bantu senaman mereka.
Jangan terlalu taksub menggunakan fitness tracker
Sebenarnya, ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan ketagihan kepada alat bantu senaman ini. Sebagai contoh, kamu boleh:
1. Tetapkan had menggunakan jam pintar
Jika kamu menghabiskan masa yang terlalu banyak untuk memeriksa jam pintar, cuba hadkan penggunaannya. Elakkan memakai fitness tracker sepanjang masa dan hanya pakai jika perlu bersenam.
2. Nyahpasang aplikasi kecergasan daripada telefon bimbit
Ramai yang jadi taksub dengan pencapaian diri masing-masing yang boleh diakses melalui aplikasi kecergasan di dalam telefon bimbit.
Jika kamu ingin mengurangkan ketagihan terhadap alat bantu senaman ini, cuba nyahpasang aplikasi tersebut dan bersenam tanpa menggunakannya.
3. Sibukkan diri
Sebenarnya, ada banyak lagi perkara yang penting dalam hidup. Alihkan fokus kamu kepada keluarga, kawan-kawan dan hobi supaya kamu tidak terlalu obses menggunakan fitness tracker.
Alat ini hanya untuk bantu senaman
Fitness tracker, jika digunakan dengan betul dapat membantu kamu bersenam dengan lebih baik. Malah, data-data yang dikongsi oleh alat tersebut amat bermanfaat, dan boleh membantu kamu mencapai matlamat kecergasan fizikal yang diingini.
Walau bagaimanapun, apa-apa yang berlebihan selalunya tidak bagus untuk kesihatan. Jika kamu menggunakan jam pintar secara berlebihan, mungkin inilah masanya untuk kamu kembali melakukan perkara yang asas.
Cuba bersenam tanpa menggunakan fitness tracker tersebut. Mana tahu, kamu akan jadi lebih seronok ketika bersenam!
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?