Kanser meninggalkan impak yang amat besar kepada masyarakat di seluruh dunia. Setiap tahun, jutaan manusia di seluruh dunia didiagnosis dengan penyakit kanser. Orang kenamaan, termasuklah selebriti luar negara dan artis Malaysia juga diserang kanser. Dan ada beberapa personaliti berjaya lawan kanser.
Penyakit ini juga boleh menyerang sesiapa sahaja tidak kira kaya, miskin, terkenal ataupun tidak.
Bezanya, artis atau orang kenamaan yang menghidap kanser boleh menggunakan platform yang mereka ada untuk bercakap mengenai kanser yang mereka alami.
Walaupun mereka terkenal, kesusahan, cabaran dan perasaan yang mereka alami sama seperti pesakit lain.
Sempena Hari Pemandiri Kanser Kebangsaan 2021 yang disambut pada 6 Jun, mari kita ikuti pengalaman beberapa tokoh serta selebriti dalam dan luar negara yang pernah berhadapan dengan penyakit ini.
Jom ikuti perjuangan mereka termasuk artis Malaysia sakit kanser.
5 personaliti berjaya lawan kanser, kini menjadi cancer survivor!
Sebenarnya, ada beberapa orang artis atau tokoh di Malaysia dan luar negara yang berjaya melawan sakit kanser. Mari ikuti perjalanan mereka melalui artikel di bawah:
Kanser payudara – Tun Dr Siti Hasmah
Siapa sangka tokoh kesayangan rakyat Malaysia ini bekas penghidap kanser payudara?
Wanita cekal berusia 95 tahun ini berkata dia menyedari terdapat beberapa perubahan pada dirinya dan terus berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Gerak hatinya ternyata tepat apabila ketulan pada payudara kirinya itu disahkan sebagai kanser.
Pesan Tun Dr Siti Hasmah, sentiasa peka dengan keadaan diri masing-masing. Jika ada sebarang abnormaliti, rawat dengan segera dan jangan bertangguh-tangguh.
Pejuang kanser kulit – Hugh Jackman
Hugh Jackman yang amat terkenal melalui lakonannya sebagai adiwira Wolverine juga tidak terlepas daripada cengkaman penyakit kanser.
Dia disahkan menghidap kanser kulit jenis sel karsinoma basal (BCG) yang boleh menjadi serius dalam jangka masa panjang.
Menurut Jackman, kanser kulit ini boleh dicegah sekiranya kita memakai pelindung matahari secara konsisten.
Selain itu, pengesanan awal juga penting. Oleh sebab itu, dia menegaskan agar semua orang melakukan pemeriksaan sekerap mungkin untuk mengelakkan kanser kulit pada masa hadapan.
Kanser prostat – Ben Stiller
Apabila Ben Stiller mendedahkan kepada awam mengenai diagnosis penyakit kanser prostat yang diterimanya pada 2016, matlamatnya cuma satu iaitu meningkatkan kesedaran awam mengenai ujian darah yang telah menyelamatkan nyawanya.
Pelakon dan pelawak yang terkenal menerusi lakonannya dalam filem Night at The Museum ini menjalani pembedahan untuk membuang prostatnya.
Sama seperti lelaki lain, perkara pertama yang dia risaukan ialah kemampuan seksualnya selepas pembedahan.
Walau bagaimanapun, Ben Stiller menegaskan bahawa nyawanya lebih penting daripada kepuasan seksnya pada masa hadapan.
Oleh sebab itu, dia menjalani rawatan secepat mungkin dan surprise, dia masih mampu menjalani kehidupan seksnya seperti biasa!
Kanser hidung – Datuk Lee Chong Wei
Walaupun bukan bergelar artis Malaysia sakit kanser namun, nama Datuk Lee Chong Wei tidak perlu lagi diperkenalkan di negara ini.
Selepas bertahun-tahun menjadi pemain nombor 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei akhirnya menggantung raket setelah menerima diagnosis penyakit kanser hidung pada 2019.
Menurut Datuk Lee Chong Wei, dia tidak mempunyai pilihan lain selain bersara daripada sukan ini setelah menerima konsultasi daripada doktor.
Malah, doktor juga menggalakkan dia untuk berehat sebentar kerana badminton ialah sukan yang amat memenatkan dari segi mental dan fizikal.
Namun, ada ura-ura yang menyatakan hero Malaysia ini bakal kembali ke pentas dunia pada masa hadapan. Betul atau tidak, wira negara ini sememangnya mendapat sokongan penuh daripada rakyat Malaysia!
Kanser tekak – Michael Douglas
Siapa yang tidak kenal dengan pelakon veteran Michael Douglas? Bintang Hollywood ini didiagnosis dengan kanser tekak 10 tahun lalu dan seorang cancer survivor.
Suami kepada pelakon Catherine Zeta-Jones ini pernah berkata, sepanjang rawatan dia tidak pernah terfikir mengenai kematian.
Selepas diagnosis kanser tersebut, Douglas mula sedar mengenai kepentingan kesihatan. Malah, setelah kelahiran anak perempuannya, dia mula memandang serius tentang masa hadapan.
Apabila diminta mengulas tentang kanser yang pernah dia hadapi, Douglas berkata itu semua hanyalah sejarah lama.
Dia juga melakukan pemeriksaan kesihatan sekali dalam masa 6 bulan untuk memastikan kanser tersebut tidak akan kembali pada masa hadapan.
Personaliti berjaya lawan kanser
Jelaslah, sesiapa sahaja boleh menjadi menghidap barah hatta artis Malaysia sekalipun. Malah, statistik kanser juga mempengaruhi semua orang secara sama rata.
Semua orang mempunyai risiko untuk menghidap sakit kanser, sama jugalah dengan bapa, adik, jiran ataupun artis terkenal di Malaysia atau luar negara yang selalu kamu tonton di kaca televisyen.
Tetapi, apa yang membuatkan mereka berjaya menjadi pemandiri kanser ialah pengesanan dan juga rawatan awal.
Malah, selepas menerima rawatan kanser, artis Malaysia sakit kanser juga masih melakukan pemeriksaan berkala untuk mengelakkan barah kembali semula.
Apabila rawatan kanser tidak dapat dilakukan secepat mungkin, kos rawatan dan peluang untuk terus hidup akan semakin berkurangan.
Sebab itulah, ujian saringan kanser adalah sesuatu yang amat penting, lebih-lebih lagi jika kamu tergolong dalam kumpulan berisiko.
Artikel ini ditulis Fatin Zahra untuk Hello Doktor.
Apa pandangan anda?