Posted on September 2, 2021
Buat mereka yang sudah menonton siri Kingdom di Netflix, pastinya puas setelah menonton Kingdom Ashin of North. Ini kerana sudah hampir setahun sebenarnya selepas Kingdom musim kedua tamat. Pun begitu, Kingdom Ashin of North bukanlah musim baru siri ini sebaliknya hanyalah pengubat rindu kepada peminat siri ini. Filem berdurasi 1 jam 33 minit ini mengisahkan tentang asal-usul bunga yang menyebabkan kejadian zombie di Joseon.
Ia juga memperkenalkan watak baru, Ashin, yang memiliki semangat juang dan keazaman yang tinggi. Menonton Ashin saya tidak dapa tidak daripada merasakan wataknya ini persis Lara Croft dalam Tomb Raider atau Alice daripada Resident Evil. Cuma Ashin adalah watak dalam zaman Joseon yang lebih kuno dan tradisional. Maka ini menjadikan watak ini lebih menarik walaupun bukanlah terlalu orginial.
Bagi saya inilah yang menjadikan siri ini menarik. Tema yang diketengahkan juga bukanlah sesuatu yang baru. Politik, perebutan kuasa dan pertumpahan darah adalah tema biasa yang kita banyak tonton dalam siri lain sebelum ini. Malah tema zombie juga bukanlah suatu yang baru. Tetapi tema Joseon dan Korea kuno itu yang menjadikan seluruh siri ini menarik dan memancing penonton.
Jun Ji-Hyun Berjaya Membawa Watak Ashin
Ashin ialah wanita berasal dari perkampungan puak Seongjeoyain Utara. Pendek cerita, dia ingin membalas dendam terhadap ayahnya yang disangka sudah mati sewaktu di kecil. Sejak dari itu, hidupnya didedikasikan untuk membalas dendam terhadap kematian ayahnya. Dia belajar memanah dan seni mempertahankan diri secara sendirian. Semuanya atas dasar dendam yang perlu dia lunaskan.
Waktu membesar ini juga dia menemui bunga yang dikatakan dapat menghidupkan semula orang mati kerana mahu menyelamatkan ibunya yang mati kerana sakit.
Twist dalam siri ini tentunya pabila Ashin mendapati ayahnya masih hidup tetapi tidak dapat menyelamatkan malah terpaksa melihat ayahnya mati di depan matanya sendiri. Setelah itu dia bertekad membunuh semua orang yang menyebabkan perpisahan dia dengan ayahnya dan seterusnya menjurus kepada kematian.
Pelakon Jun Ji-hyun yang membawa watak Ashin saya kira amat berjaya dalam membawa watak ini. Karakter bad-ass itu nyata dibawanya dengan cemerlang tanpa melupakan kelembutan yang ada pada wanita Korea apalagi di zaman Joseon. Ashin juga di penghujung filem ini dapat kita lihat bijak memanipulasi bunga resurection yang menjadikan manusia zombie. Tetapi watak Putera Mahkota Lee Chang (Ju Ji-hoon) langsung tidak muncul walaupun dia ada dalam teaser Kingdom Ashin of North.
Nampaknya kita perlu menunggulah musim ketiga Kingdom untuk mengetahui sambungannya…
Apa pandangan anda?