Posted on June 12, 2026

Saya mungkin agak ketinggalan atau sedikit lambat menonton “Ghost in the Cell”, sedangkan filem ini sudah pun memasuki minggu-minggu terakhir tayangan. Namun keputusan untuk akhirnya meluangkan masa menonton naskhah arahan Joko Anwar ini ternyata langsung tidak menghampakan. Dalam lanskap filem seram Asia Tenggara hari ini, Joko Anwar masih menjadi antara pengarah yang paling konsisten dalam membina pengalaman sinematik yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga mempunyai identiti dan gaya yang tersendiri.
Sejak “Pengabdi Setan”, “Perempuan Tanah Jahanam” sehingga “Siksa Kubur”, Joko membentuk namanya sebagai pengarah yang cukup memahami ritma genre seram dan thriller. Dan “Ghost in the Cell” meneruskan kekuatan itu dalam acuan yang lebih santai, sinis dan penuh elemen hiburan. Apa yang menarik tentang filem ini adalah bagaimana Joko Anwar berjaya mengimbangi unsur seram, gore dan komedi dalam satu naskhah yang terasa cukup menghiburkan. Pada saya, filem ini sebenarnya tidak terlalu seram, tetapi lebih banyak bermain dengan adegan gore yang agak keterlaluan di beberapa bahagian. Namun ia tidak terasa berat kerana pengarah bijak menyelitkan banyak momen lucu yang membuatkan keseluruhan pengalaman menonton menjadi lebih ringan dan mudah dihadam.
Nada komedi itu menjadi antara elemen paling menyerlah dalam filem ini. Dialog-dialog sinikal dan interaksi antara karakter memberi keseimbangan kepada sisi brutal yang dipaparkan. Ia membuatkan “Ghost in the Cell” terasa lebih mesra penonton tanpa menghilangkan identiti gelap yang sering menjadi signature Joko Anwar.

Dan satu lagi sisi menarik tentang “Ghost in the Cell” adalah keberanian Joko Anwar menyelitkan sindiran sosial dan politik secara terang-terangan dalam filem ini. Ada beberapa dialog dan situasi yang jelas seperti memerli kerajaan serta budaya korupsi yang semakin membarah dalam masyarakat. Bahkan di media sosial sendiri muncul pelbagai teori yang mengatakan beberapa nama watak dalam filem ini mempunyai kaitan simbolik dengan individu tertentu di dunia nyata.
Sama ada ia disengajakan atau tidak, saya suka keberanian filem ini untuk bermain dengan sindiran sebegitu. Ia membuatkan “Ghost in the Cell” terasa lebih hidup dan dekat dengan realiti semasa, selain membuktikan bahawa filem genre juga mampu menjadi medium komentar sosial yang tajam tanpa perlu terasa terlalu berat atau menggurui. Dari sudut lakonan, Abimana Aryasatya sekali lagi membuktikan kredibilitinya sebagai antara pelakon terbaik Indonesia masa kini. Lakonannya tidak perlu diragukan lagi, bersahaja tetapi penuh intensiti pada waktu yang tepat. Dia membawa karakter tersebut dengan karisma yang cukup kuat untuk memastikan emosi filem ini terus bergerak.
Namun bagi saya, antara yang paling mencuri perhatian tentunya Aming Sugandhi menerusi watak Tokek. Sisi Aming dalam filem ini terasa sangat berbeza daripada apa yang biasa kita lihat sebelum ini, bahkan saya hampir tidak mengenali bahawa itu adalah dirinya. Lakonan antagonisnya begitu sampai. Menjengkelkan, menyeramkan dan dalam masa yang sama masih memiliki sisi eksentrik yang membuatkan watak Tokek terasa cukup hidup di layar.

Visual filem ini juga tampil kemas dengan tona warna gelap dan gaya sinematografi yang moden. Rekaan produksi serta wardrobe membantu menghidupkan dunia filem ini tanpa terasa terlalu berlebihan. Joko Anwar jelas masih mempunyai kekuatan besar dalam membina atmosfera visual yang kuat untuk setiap karyanya.
“Ghost in the Cell” mungkin bukan filem seram paling menakutkan daripada Joko Anwar, tetapi ia berjaya menjadi sebuah filem genre yang cukup menyeronokkan untuk ditonton. Ada gore, ada komedi, ada thriller dan ada momen-momen absurd yang membuatkan filem ini terasa unik dalam caranya sendiri. Dan mungkin itu kekuatan terbesar Joko Anwar di mana dia sentiasa tahu bagaimana mahu menjadikan filem-filemnya terasa hidup, menghiburkan dan tetap mempunyai identiti tersendiri.



















.gif)

Apa pandangan anda?