Posted on January 1, 2020
2020. Tahun Baru. Bermulanya abad baru. Diri kamu yang baru. Dan jika kamu sedang menanam azam 2020 atau memasang resolusi tahun baru, kamu tidak keseorangan. Menurut tinjauan YouGov, kira-kira 26% koresponden mengambil bahagian dalam tradisi awal tahun ini dan ia sangat terkenal di kalangan mereka yang berusia di antara 18 hingga 34 tahun. Namun, pernahkah kamu terfikir atas sebab apakah kita membuat resolusi tahun baru?
Sebenarnya, tradisi resolusi tahun baru ini sudah wujud sejak zaman berzaman. Masyarakat Babylon purba adalah kelompok manusia pertama yang menyambut kedatangan tahun baru (mereka menyambutnya pada bulan Mac bersempena mulanya aktiviti persemaian tanaman), lapor History. Sambutan ini bermula 4,000 tahun yang lalu dengan janji kepada tuhan mereka untuk lebih beribadah dan taat setia kepada raja.
Menurut The Economist pula, masyarakat Mesir purba juga mempunyai sambutan tahun baru, di mana mereka memanjatkan sembahan dan haiwan korban kepada Dewa Hapi, Dewa Sungai Nil bagi menandakan musim air pasang pada bulan Julai. Dan pada awal 46 Sebelum Masihi, selepas Julius Caesar menukar kalendar supaya menjadikan bulan Januari sebagai pemula tahun baru, masyarakat Yunani purba menyembah Dewa Janus pada tanggal 1 Januari ini.
Sama seperti masyarakat purba yang lain, mereka mengadakan korban dan ‘berjanji’ akan berkelakuan lebih baik sepanjang tahun akan datang. Kata kuncinya di sini adalah BERJANJI sebagai RESOLUSI TAHUN BARU
Masa berlalu. Tahun berganti tahun. Tradisi sambutan tahun baru pun berubah mengikut peredaran zaman, tetapi tidak pernah hilang atau pupus sepenuhnya. Sementara agama Kristian mula tersebar, 1 Januari menjadi hari untuk renungan dan taubat daripada melakukan dosa-dosa pada tahun sebelumnya. Dan penganut agama Kristian berjanji untuk menjadi insan yang lebih baik pada tahun berikutnya.
Begitu juga dengan masyarakat Islam. Dalam takwin Islam, kita menyambut Tahun Baru Hijrah atau Maal Hijrah setiap tahun bagi memperingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari kota Mekah ke Yathrib (sekarang Madinah). Hijrah itu bermaksud perpindahan. Secara rohaninya, perpindahan yang dimaksudkan dalam konteks sekarang bukanlah perpindahan secara fizikal (tempat ke tempat), melainkan peralihan dari sudut sanubari dan jasmani yang lebih baik berbanding sebelumnya. Perhijrahan ke arah kebaikan.
Sementelahan, era 1600 adalah era pertama yang menggunakan frasa ‘resolusi’ yang berhubungkait dengan sambutan tahun baru. Merriam-Webster memetik nukilan penulis Scotland, Anne Halkett dalam diarinya pada 1671 yang diberi judul ‘Resolutions’. Ia dipenuhi dengan ikrar. Kebanyakan ikrarnya itu dicedok dari Kitab Injal (misalnya, ‘Saya tidak akan mengguris perasaan sesiapa lagi’). Pada 1740, pengasas mazhab Methodis, John Wesley memulakan hari ‘The Covenant Renewal Service’, juga berpaksi janji-janji pada tahun hadapan.
Seterusnya, perkataan ‘resolusi tahun baru’ mula-mula muncul di dada akhbar Boston Newspaper pada 1813. Pada masa itu, frasa keramat ini lebih bersifat sekular berbanding keagamaan. Menurut penulis BBC History Extra, Sam Willis dan James Daybell, pada 1 Januari, masyarakat di zaman Victoria di England selalu mengenang kesalahan mereka (yang mereka sudah berjanji) pada tahun sebelumnya dan berjanji akan memperbaikinya semula pada tahun berikutnya.
Justeru, untuk tahun 2020 ini, apa resolusi tahun baru kamu?
Dan seperti hari ini, ramai antara mereka memecahkan janji atau resolusi tahun baru mereka itu tadi. Jangan khuatir. Ia perkara biasa. Tidak mengapa jika kamu tidak mengotakan janji tahun barumu. Harus selalu ingat ia bukanlah dituntut oleh agama. Tidak wajib sama sekali. Lagi pula nenek moyang kita sejak zaman dahulukala pun sudah lama memecahkan janji-janji tahun baru mereka. Persetankan mereka yang bersikap skeptikal. Resolusi kamu dirangka untuk kebaikan diri kamu.
Kalau jadi – bagus, kalau tidak jadi – tidak mati. Hiduplah sebebasnya tanpa prasangka.
SELAMAT TAHUN BARU 2020!
Apa pandangan anda?