Posted on November 29, 2019
Walaupun ada beberapa masalah teknikal yang melanda pihak penganjur beberapa hari sebelum berlangsungnya parti penutup The Unlimited Grooves Festival (UGF), namun kami harus memberikan pujian tinggi kepada mereka kerana kepantasan mereka menyelesaikan isu tersebut. Mungkin ada antara kamu yang tidak tahu, pada awalnya, artis Indie Korea, Colde serta penyanyi asal UK, Boy Azooga, yang dijanjikan membuat persembahan pada parti penutup, atas sebab yang tidak diketahui, tidak dapat turun ke Malaysia. Urbanscape kemudian menggantikan dengan artis lokal, Midnight Fusic.
Namun, setiap persembahan yang ditampilkan langsung tidak menghampakan. Bermula dengan persembahan daripada artis lokal Iqbal M. Kemudian diteruskan dengan Gard Wuzgut, diikuti sesi persembahan penuh bertenaga barisan artis wanita lokal seperti Hullera, Loca B dan Heidi.
Selain itu, rata-rata seramai 1,200 pengunjung yang hadir bukan sahaja berpeluang menikmati konsert tanpa-henti, mereka juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik yang disediakan U Mobile seperti aktiviti U-Roller Rink, Connect Hoops, Shootout Spot dan Unlimited Flavours Yard.
Pentas semakin hangat apabila Midnight Fusic tampil membuat persembahan dan mendendangkan beberapa lagu popular antaranya Lovesick dan Little Did She Know. Tidak ketinggalan, mereka turut mendendangkan lagu barunya berjudul Vertigo, kolaborasi bersama Lunadira yang turut ada memeriahkan pentas petang itu.
Akhirnya, persembahan yang lama dinanti-nantikan oleh peminat, iaitu persembahan penuh bertenaga daripada The Marias, The Drums, SALES, Jakob Ogawa serta Glass Animals. Parti hingga lewat malam ini langsung tidak menghampakan. Mereka ternyata tahu bagaimana hendak menghiburkan peminat yang hadir dan rata-rata ramai menyatakan rasa puas hati dengan barisan artis yang dipersembahkan tahun ini.
Sudahkah kamu bersedia untuk Urbanscapes tahun hadapan kerana kami juga sudah bersedia dan tidak sabar lagi!
Apa pandangan anda?