Posted on April 23, 2019
Korea Selatan terkenal beberapa tahun ini dalam sektor teknologi, automotif, mahupun bidang hiburan. Selain popular di kalangan peminat kecantikan, makanan segar dan inovasi tidak boleh dilupakan. Paling menarik sekali ialah identiti negara dan daerah masih boleh dilihat walaupun negara ini pesat dengan kemajuan. Korea Selatan mengundang STAIL.MY ke Busan dan Seoul dengan kerjasama AirAsia dan Korea Tourism Organization. Musim bunga masih dingin menyelubungi atmosfera Busan. Perjalanan kami bemula di KLIA2 melalui AirAsia Premium RED Lounge.
Kemudahan yang ada di AirAsia Premium RED Lounge
Terletak di KLIA2 Pelepasan Antarabangsa (Aras Mezzanine), ruangan ini tersedia untuk pelanggan Premium Flatbed dan Premium Flex yang bakal terbang ke luar negara dari Kuala Lumpur. Antara kemudahan lain ialah hidangan bufet pilihan, bilik mandi serta ruang pemandangan kapal terbang. Selain itu, bilik VIP turut disediakan untuk memudahkan kumpulan pekerja berbincang sebelum memulakan penerbangan sambil mendapat manfaat internet dan mengecas di lounge. Harga ke AirAsia Premium RED Lounge ialah RM85 (3 jam) untuk pelanggan walk in dan RM75 (3 jam) untuk pra tempah. Manakala percuma (3 jam pertama) untuk pelanggan Premium Flex dan Premium Flatbed.
AirAsia menawarkan lapan penerbangan seminggu ke Busan. Penerbangan selama enam jam setengah kami lalui dengan selesa dan selamat dengan adanya AirAsia Tune Protect. Kami dapat menikmati percutian tanpa rasa bimbang dengan kelebihan yang disediakan antaranya Perlindungan Kemalangan Peribadi & Perubatan, Perkhidmatan Bantuan Perjalanan 24 jam, Perlindungan Kerosakan atau Kehilangan Bagasi & Barangan Peribadi, Jaminan Ketepatan Masa Penerbangan dan Pembatalan Penerbangan. Bayangkan, kesemua ini dilindungi! Kunjungi airasia.tuneprotect.com untuk maklumat lanjut.
Videografer: Kevin Loh (Octopost Studio)
Arahan Seni: Ashura Hakim
Mekap: Emmy Agung
Penyelaras: Amira Azman & Ryan Mohamad
Pengembaraan bermula dari Kuala Lumpur ke Gimhae International Airport (Busan)
Lapangan terbang antarabangsa ini masih giat dinaik taraf dan dibesarkan untuk melengkapi kapasiti pelancong yang ramai ke Busan. Dari Kuala Lumpur, kita akan terus sampai ke Gimhae International Airport melalui penerbangan langsung. Terdapat kafe-kafe dan kedai serbaneka untuk pengembara menikmati hidangan pertama atau terakhir di Busan. Beralih ke pengangkutan awam pula, untuk ke pusat bandar ada pelbagai pilihan pengangkutan awam dari Gimhae International Airport antaranya Busan-Gimhae monorel di stesen Gimhae International Airport Station, bas limosin, bas ekspres, dan bas antara bandar bergantung kepada kawasan penginapan kamu.
Busan terletak di bahagian Selatan Korea Selatan, menempatkan dermaga dagangan yang kelima tersibuk di dunia. Perjalanan ke kotanya mengambil 10 minit masa perjalanan dari lapangan terbang. Mengambil masa kira-kira 4 jam perjalanan darat dari Seoul dan memakan hanya 2 jam 30 minit jika menaiki kereta api laju KTX dengan harga kira-kira ₩50,000 hingga ₩60,000 sekali perjalanan.
ESTETIK KOTA BUSAN
Tepat pada masanya kami sampai saat musim bunga sedang mekar. Salah satu lokasi terbaik bergambar bersama Bunga Ceri ini ialah di Dalmaji Hill. Sepanjang lereng bukit berkembangan Bebunga Ceri ditambah lagi panorama kota baharu Busan, lautan biru dan pasir putih dengan jambatan ikonik Gwangandaegyo. Terdapat dek pemandangan tempat berswafoto serta jualan makanan food truck di tanah rata bukit ini.
Bagaimana ke sana?
Dari Stesen Busan ambil bas lokal bernombor 139 atau 140 atau bas ekspres bernombor 239 atau 240 dan turun di perhentian bas Mido Apartment. Jalan kaki 10-15 minit dan ikut papan tanda. Atau gunakan Busan Subway Line 2 dari Stesen Haeundae, ambil bas bernombor 100 dan turun di perhentian bas Yeongnam Apartment, jalan kaki 10-15 minit dan ikut papan tanda.
Kombinasi nama ‘Nuri’ (dunia) ‘Maru’ (Sidang Kemuncak) dan ‘APEC House’, yang dirujuk sebagai Dewan Persidangan APEC apabila dikumpulkan bermaksud satu ruang yang mengumpulkan pemimpin-pemimpin dunia untuk mesyuarat APEC’. Dewan berprestij tiga tingkat ini kini dijadikan memorial dan tumpuan pelancong, rekaannya mengambil stail tradisional Korea atau ‘Jeongja’. Semasa mesyuarat ini berlangsung pada 2005, deligasi Malaysia diwakili oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri ketika itu) dan kamu dapat lihat di mana kedudukan Tun Abdullah duduk semasa bermesyuarat. Tidak lupa juga memori wajah serta tanda tangan Tun Abdullah dilekatkan pada satu dinding bersama pemimpin-pemimpin dunia lain yang terlibat sama mesyuarat itu.
Sesuatu yang kamu perlu tahu, APEC House Nurimaru terletak di Pulau Dongbaek, ia di tengah-tengah Pantai Haeundae dan Pantai Gwangalli. Ia pasti memberikan keterujaan berganda kerana Pulau Dongbaek adalah tempat yang popular untuk melihat Bunga Camelia pada musim sejuk.
Bagaimana ke sana?
Subway dari Stesen Dongbaek (Busan Subway Line 2) ambil bas bernombor 302 atau 307 dan turun di seberang hentian bas Grand Hotel.
Rizab perkampungan laut yang dipelihara dan dijadikan kawasan kunjungan ramai ini cukup mendamaikan kerana panorama dan nyanyian ombak yang menghempas ke pantai membuatkan pengunjung berasa tenang. Ia digelar “Santorini of Busan” kerana kedudukan perkampungan ini bergugusan di tebing tinggi. Selain seni mural dan warna-warni yang menghiasi sekitar dinding rumah, tangga dan laluan pejalan kaki, kapal-kapal yang berlabuh seketika di kawasan itu turut menarik perhatian.
Bagaimana ke sana?
Dari Stesen Busan keluar ke pintu 10 dan ambil bas bernombor 508 ke Yongseon Apartment atau dari Stesen Nampo ambil bas bernombor 7,70,71 atau 508 ke Yongseon Apartment.
Songdo Sky Observatory & Kereta Kabel
Gondola Songdo yang bergerak sekitar 1.62 kilometer atau 7 minit menuju ke kawasan peninjau kapal satu ketika dahulu, kini telah menjadi kawasan tarikan pelancong. Kamu boleh menikmati pemandangan sepanjang berada di atas awangan antaranya Amnam Park, Jambatan Namhangdaegyo, Taman Yongdusan dan Menara Busan melalui tingkap di semua sisi. Bagi siapa yang gerun akan ketinggian, usah gusar kerana kereta kabel Songdo ini tidaklah cerun.
Dengan ₩15,000 won (gondola biasa), ₩20,000 (gondola dengan lantai kaca) kamu boleh menaikinya bersama lapan teman lain. Selain melihat pemandangan teluk dan Amnam Park, banyak memori kamu boleh cipta antaranya Moment Capsul yang boleh dibeli dengan harga ₩8,800. Kamu juga boleh sampaikan hasrat rahsia di sini. Antara lain yang boleh menguji keberanian kamu ialah VR Swing yang betul-betul berada di pinggiran Sky Observatory. Ia seperti buaian besi yang menghayun penumpang ke udara sambil memakai VR dan melihat sekeliling.
Bagaimana ke sana?
Ambil bas lokal bernombor 6, 7, 26, 30, 71 dan turun di Perhentian bas Songdo Beach dan jalan 10 minit untuk sampai. Jika mengambil Subway, pindah ke bas di Pintu 1 atau 8 di Stesen Nampodong atau menaiki teksi dari Nampo-song dengan caj kira-kira ₩5,000 sahaja.
Amnam Park
Terdapat jalan titian yang menarik bagi pelancong untuk menikmati pemandangan persisiran laut Busan, sekiranya kamu tidak mahu ke Songdo Observatory dengan menggunakan kereta kabel. Ini adalah pilihan yang lebih sihat kerana kamu harus berjalan dan menempuh beberapa titian tangga serta dapat melihat lebih dekat aktiviti air seperti water splash. Selain daripada pemandangan yang indah dan nyanyian ombak laut yang damai, kamu juga dapat melakukan aktiviti trekking di sepanjang persisiran laut di situ.
Alamat:193, Amnam-dong, Seo-gu, Busan
Gwangbok-ro Culture & Fashion Street
Gwangbok-ro terletak berhampiran BIFF Square (Busan International Film Festival) dan Pasar Ikan Jalgachi. Pada sisi sejarah Busan, lokasi ini berkembang selepas Perang Korea berlaku. Jalan ini terkenal dengan jualan barang-barang fesyen, cenderahati, makanan dan hiburan. Kawasan lorong ini ditransformasi menjadi lokasi hiburan apabila musim Festival Filem Busan berlangsung, di mana lorong ini dihamparkan karpet merah untuk selebriti melintasinya. Setiap blok jalan terdapat Wall of Fame yang mengangkat selebriti ikonik yang telah berjaya menempa nama dalam industri perfileman Korea mahupun dunia. Tak sah kalau ke sini tak mencuci mata dengan membeli-belah. Selain jualan di sekitar jalannya, terdapat juga pusat membeli-belah Gwangbok Underground Shopping Centre di bawah tanah sepanjang jalan popular ini.
Bagaimana ke sana?
Turun di Stesen Nampo (pintu 7) atau Stesen Jagalchi (line oren).
Jika kamu mencari kesegaran yang nyata, tiada yang sesegar perkampungan lautan Daebyeon. Di sini kamu dapat melihat proses pengasingan ikan yang mengujakan di dermaga Daebyeon. Jika kamu ke sini ketika musim bunga/panas, berlangsung Festival Anchovy Gijang, satu festival makanan laut yang terkenal dan menarik di pelabuhan Daebyeon. Ia aktiviti memproses ikan Anchovy atau ikan bilis yang menarik untuk disaksikan. Namun, di musim lain terdapat pasar tepi pantai di bawah khemah sepanjang jalan dengan menjual ikan masin, sotong bakar serta hasil laut lain yang segar mahupun yang telah diproses.
Bagaimana ke sana?
Metro Line 2 Stesen Suyeong (Pintu 1) kemudian ambil bas 181 dan turun di Stesen Bas Daebyeon. Teruskan perjalanan 125m ke arah Pelabuhan Daebyeon.
2002 World Cup Theme Lighthouse
Tujuh belas tahun lalu Piala Dunia berlangsung di dua tempat iaitu di Korea dan Jepun. Sempena memperingati detik bersejarah itu, rumah api berwarna merah ini dibuat dan di bawahnya diletakkan memorial replika bola sepak dengan negara yang memenanginya. Brazil telah memahat sejarah pada tahun itu dengan merangkul kejuaraan. Rumah api dengan nama unik seperti Baby Bottle, Totem Pole (Mazinger Z) juga berdekatan di sepanjang pantai Gijang.
Bagaimana ke sana?
Ambil bas antara bandar bernombor 181 ke pintu masuk Pelabuhan Daebyeon.
Ia bukanlah gereja sebenar sebaliknya hanya dibina semata-mata untuk penggambaran drama ‘Dream’. Terletak di bibir pantai Jukseong, dinamakan Jukseong ‘Dream’ Church sempena drama itu. Di dalam gereja lama ini ada pameran mini yang menempatkan tidak kurang 20 lukisan. Ramai pelancong ke sini ketika matahari terbit dan bergambar di luar kerana lokasi dan bentuk bangunan ini benar-benar Instagram worthy.
Bagaimana ke sana?
Turun di Stesen Gijang (Donghae Line) dan ambil teksi atau bas untuk ke lokasi.
Menaiki Kereta Api Laju Ke Seoul Dengan KTX
Keterujaan ditambah dengan menaiki kereta api laju dari Busan ke Seoul yang mengambil masa perjalanan tiga jam. Lebih efisien, murah dan menjimatkan masa. Tren yang bergerak sepantas 300 km/j ini lebih popular dengan nama KTX (Korea Train Express). Tiket kereta api ini hanya dijual sekali jalan, tiada round trip pass. Namun, ia cukup berbaloi. Perpindahan kami dengan bagasi yang banyak juga lancar kerana terdapat tempat letak bagasi khas antara gerabak. Tambahan lagi, terdapat juga pas kereta api pelancong atau Korail Pass yang menjimatkan, dengan caj serendah ₩61,000 hingga ₩210,000 mengikut hari dan umur.
Harga tiket: ₩56,000 sekali jalan untuk kelas ekonomi KTX (Korea Train Express).
SEOUL YANG STAILISH
Dongdaemun Design Plaza (DDP) & LED Rose Garden
Lokasi panas selebriti tempatan beraksi di pentas juga menghadiri minggu fesyen Seoul di bangunan unik ini benar-benar mencuri tumpuan. Bangunan yang direka oleh Zaha Hadid dan Samoo ini mempunyai keunikan di setiap sudut rekaan neofuturistiknya yang tersendiri. Tangga di sini sering dijadikan lokasi OOTD selain bunga-bunga mawar putih bercahaya LED ditanam di luar bangunan. Ia juga berhampiran dengan pusat beli belah dan kafe-kafe Instagram worthy. DDP hanya mengecaj bayaran jika ada pameran istimewa berlangsung. Tunjukkan gaya kamu yang paling stailish dan memorikan kenangan di ruang kreatif ini.
Bagaimana ke sana?
Naik Seoul Metro Line 2, 4 atau 5, turun ke Stesen Dongdaemun History & Culture Park. Keluar ke pintu 1 dan berjalan sedikit untuk sampai ke tempat ini.
Masuk ke lokasi penggambaran drama hit ‘Goblin’ dan beraksi sebagaimana pelakon-pelakon berlakon di sini. Lorong-lorong perumahan sempit ini dikomersilkan setelah drama Goblin ke udara. Terdapat pelbagai mural di sekitar lorong, kamu cuma perlu mencari kerana seni dinding ini tersembunyi dan sediakan kamera untuk berinspirasi! Seongsu-dong juga dikenali sebagai Brooklyn versi Korea Selatan.
Korean Handmade Shoe Brand: From SS
Tidak jauh dari Seongsu-dong Mural Alley, kami sempat singgah ke kedai pembuat kasut Presiden Korea dan tetamu kenamaan yang pernah melawat ke negara ini. Namanya Jeon Taesu, pembuat kasut di JS Shoe Design Lab ini punya kedai yang kecil di kawasan ini. Timbunan kasut-kasut dapat dilihat dengan keberagaman rekaannya. Turut ditampal di dinding ialah gambar-gambar ketua negara yang pernah memakai kasut buatan Jeon. JS Shoe Design Lab ini terletak di tepi jalan betul-betul di bawah Stesen metro Seongsu. Sepanjang jalan ini penuh dengan seni tempatan antaranya pusat kasut buatan tempatan, arca seni di pinggir jalan hingga ke produk makanan tempatan.
Bagaimana ke sana?
Stesen Seongsu, keluar dari pintu 1 atau 2.
Kawasan ini pula bagi yang gemar berkelah di tepi sungai. Seoul dibahagi kepada dua dan yang membezakannya ialah Sungai Han. Pinggir sungai ini didirikan kawasan riadah Hangang Park. Berasa seperti menikmati angin tepi pantai, sungai ini berhadapan dengan hutan kongkrit di bandar Seoul. Terdapat juga aktiviti rekreasi yang boleh kamu lakukan dengan menyewa basikal atau skuter untuk meyusuri persisiran Sungai Han. Selain itu, kamu disarankan mencuba Han River Cruise dan menikmati daruan angin di atas kapal pesiar ketika matahari terbenam. Pasti meninggalkan memori indah yang tak akan dilupakan. Ingin membuatkan percutian kamu lebih bermakna? Kunjungilah Sungai Han ketika musim bunga untuk menikmati pelbagai bunga mekar dan cuaca dingin yang nyaman. Banyak juga aktiviti sihat yang dikelolakan kerajaan antaranya acara larian, renang dan pertunjukan bunga api (mengikut kalendar pelancongan).
Bagaimana ke sana?
Ambil metro (Line 2) dan turun ke Stesen Ttukseom, keluar ke pintu 8. Jika menaiki bas 2014, 2224, 2412 dan 2413. Bas berhenti betul-betul di hadapan Seoul Forest.
Perkampungan 100 tahun ini adalah satu tempat yang rare untuk dilawati. Kebanyakan perumahan lama di sini telah dijadikan restoran dan kafe selain terdapat butik vintaj (Ikseon Boutique) yang menyediakan khidmat sewa pakaian zaman awal abad ke 20 untuk tujuan bergambar.
Harga satu set persalinan sewaan baju termasuk topi dan aksesori;
3 jam – ₩30,000
6 jam – ₩40,000
Seharian – ₩45,000
2 hari satu malam – ₩50,000
Bagaimana ke sana?
Ambil metro subway ke Stesen Anguk atau Stesen Jong-no 3-ga
Dilihat seakan rumah tradisional daripada luarannya, sebaik saja mendekatinya terhidu haruman kayu pine,kamu pasti dapat meneka yang ia sebuah spa kaki selain terkenal sebagai Farmasi Herba Jinsan. Terdapat pelbagai pilihan pakej spa dan teh herba yang dihidangkan di sini mengikut cara tradisional lama dengan harga pakej bermula ₩20,000 hingga ₩300,000 mengikut pilihan rawatan dan per kepala.
Bagaimana ke sana?
Keluar dari Pintu 3 Stesen Gyeongbukgong, jalan hingga 600 meter melintas ke Tongin Market di lorong bersebelahan dengan Baeksong Suyook Jjim, atau naik bas bernombor 1020, 1711, 7016, 7018, 7022 dan 7212 ke Stesen Jongno-gu Health Centre.
Bermaksud ‘tiga batang jalan lurus’ ini terletak di kawasan membeli-belah mewah di Sinsa-dong, Gangnam-gu. Tertumpu kepada pelbagai jenis butik jenama mewah, galeri, restoran dan kafe. Galeri yang mempamerkan kesenian moden anak milenial Seoul ini dapat memberi inspirasi kepada pengunjung terutamanya penggiat seni luat negara. Seni kreatif tempatan, rumah mewah dan budaya baharu diteruskan hingga kawasan Apgujeong Rodeo Street, Gangnam. Meriah dengan anak-anak muda yang bijak otak kanannya (yang kreatif).
Bagaimana ke sana?
Stesen Sinsa (Line 3)
Syurga membeli-belah, kawasan ini terkenal dengan pusat membeli-belah barangan murah, cenderahati, makanan jalanan dan fesyen. Rambang mata dibuatnya jika melihat produk penjagaan kulit yang ditawarkan dengan harga berpatutan. Daripada produk penjagaan kulit hingga ke alat solek daripada jenama tempatan antaranya Innisfree, Nature Republic, Skin Food, Etude House, Tony Moly, Missha dan sebagainya. Gemarkan kasut berjenama? Kamu boleh memulakan berbelanja kerana terdapat pelbagai pilihan di sini.
Bagaimana ke sana?: NaikSubway Line 4 dan keluar dari pintu 4 di Stesen Myeongdong, atau Subway Line 2 ke Stesen Euljiro 1-ga dan keluar dari Pintu 5 atau 6.
Istana Deoksugung terkenal dengan dinding batu yang mengelilinginya. Ia juga satu-satunya istana yang terletak bersebelahan dengan beberapa bangunan moden yang menambah lagi keunikan pemandangan sekitarnya. Ingin tahu cara percuma untuk masuk ke mana-mana istana di Seoul? Sewa pakaian tradisional Korea, Hanbok di mana-mana butik yang berdekatan dengan istana, kamu boleh dapatkan dengan harga serendah ₩10,000! Sekiranya masa tidak mengizinkan untuk kamu mencuba Hanbok, harga tiket masuk masih berpatutan bagi pelancong, hanya sekitar ₩1,500 hingga ₩2,400 (mengikut umur) untuk melawat istana-istana tersebut. Acara paling popular di perkarangan istana ialah apabila tentera diraja membuat pertukaran tugasan dan upacara pemberian sering menjadi fokus orang lalu lalang di perkarangan istana itu.
Bagaimana ke sana?
Menggunakan Subway, ambil Seoul Subway Line 1 atau 2 dan turun di City Hall Station ke Pintu 1, 2 atau 3.
Tidak kalah dengan Myeongdong, di sini juga adalah kawasan membeli-belah murah yang menempatkan pelbagai jenis produk. Terdapat muzium 3-D (Trick Eye Museum) yang menarik terletak di bawah tanah di kawasan Hongdae. Namun, kami ke sini untuk melihat persembahan daripada penari jalanan dan sesi busking yang terdiri daripada anak-anak muda Korea yang amat berbakat. Seakan melihat persembahan tarian dan nyanyian K-pop yang kita lihat di kaca televisyen. Lokasi ini cukup ringkas, hanya menempatkan empat tangga separa bulat bersebelahan dan artis jalanan ini beraksi. Pengunjung bebas memilih mana satu persembahan yang kamu ingin lihat. Bebaskan ekspresi diri di Hongdae!
Bagaimana ke sana?
Naik Subway (Line 2) dan berhenti di Stesen Hongik University, keluar dari Pintu 9.
Incheon Airport
Dikenali sebagai lapangan terbang terbaik dan tersibuk di dunia, Lapangan Terbang Incheon adalah yang terbesar di Korea Selatan. Ia juga pernah dinobatkan sebagai lapangan terbang terbersih dan lapangan transit terbaik dunia oleh Skytrax. Lapangan terbang ini turut menempatkan lapangan golf, kasino, taman dalam bangunan, Muzium Budaya Korea, bilik tidur privasi, spa dan pusat membeli-belah. Terdapat empat pilihan jika ingin ke sini, antaranya dengan menggunakan bas limosin, kereta api AREX dan kereta sewa. Terdapat tujuh penerbangan AirAsiaX dari Incheon (ICN) ke Kuala Lumpur (KUL). Ia mengambil masa enam jam setengah dan mendarat menuju ke KLIA Terminal 1.
Apa pandangan anda?